Wednesday, August 01, 2007

Saat yang Berlalu

Assalamu'alaikum warahmatuLlahi wabarakatuh

Semalam berlalu dengan kesedihan lagi. Tapi ada juga gembiranya. Gembira dapat duduk dalam library lebih lama daripada biasa. Itu adalah satu nikmat yang jarang saya peroleh. hehe =p


Luasan takluk Dinasti Abbasiyah 132-656 AH

Kelas Abbasid Chaliphate tadi, memperkenalkan saya pada nama-nama yang tidak pernah saya dengar sebelum ini. Belajar begitu luasnya taklukan Khalifah-khalifah dulu menjadikan saya bangga sebagai umat Islam. Tetapi bila mengenangkan jatuhnya kegemilangan Islam ini, terlalu sedih dan malu.

Bila terkenangkan kejatuhan ini, ada baiknya juga. Sebab apa? Sebab umat Islam akan terbangun dan tersedar dari lena yang panjang atas kemahsyuran dan gemilangnya Islam hasil titik peluh dan usaha ulama' dan umara' terdahulu. Umat Islam akan bangun daripada suasana selesa.

Tapi, bila semua ini akan terjadi? Bila umat Islam akan bangun kembali?

50 tahun Malaysia merdeka
Dari sudut istilah, ya Malaysia merdeka. Dari segi hakikatnya? Malaysia tidak pernah merdeka malahan terus terusan dijajah; pemikiran dan budaya hari demi hari. Muak dan loya bila fikirkan hal ini.


Penang Muslim Student Association
Tapak telah dibina, namun tiang masih belum ada. Tugasan kami, pimpinan PISA agak berat. Meluaskan 'jajahan' sangat perlu. Mengukuhkan 'tiang' yang cuba kami tegakkan sedikit demi sedikit agak sukar. Tapi kami cuba sehabis baik, sehabis daya. Demi kasih kami kepada adik-adik pimpinan akan datang dan sayang kami pada masyarakat Islam di Pulau Mutiara.

Meneladani ketamadunan Islam sejak zaman RasuluLlah SAW sehinggalah tumbangnya Turki Uthmaniyyah, memenatkan mandala saya berfikir. Sejauh mana strategi yang kami rancangkan mampu menghasilkan paling tidak sebuah 'kampung PISA' yang sempurna? Kalaupun kami tidak mampu membina sebuah 'negara PISA' yang besar, tapi sekurang-kurangnya generasi akan datang mampu meluaskan 'kampung' yang kami bina sebelumnya.

Tapi, untuk bina kampung tu pun susah jika tidak ada yang bersama-sama gembeling tenaga dan usaha serta buah fikiran.

Jadi, ayuh. Kita bekerja bersama-sama demi Islam tercinta!

Pelaburan yang tidak sia-sia, insya-Allah.

Allahu ta'ala a'lam

wassalamu'alykum

Tuesday, July 31, 2007

TeRiMa KaSiH

Assalamu'alaykum warahmatuLlahi wabarakatuh

Tak tahu pun yang blogspot boleh update di lab HS. So, lepas ni saya akan selalulah ke sini.

Meniti hari-hari selepas buka semester 1 ni, penuh dugaan yang menggugat ketenangan dan ketetapan hati. Digigit dengan kesibukan tugasan dan diasah dengan pelbagai dugaan perasaan yang saya harap tidak meregangkan atau mengeruhkan kejernihan ukhuwwah antara saya dan sahabat-sahabat seperjuangan.

Saya cuba untuk berlaku seperti biasa, namun kadang-kadang apa yang kita harapkan tidak kita peroleh. Sayang kita dan keikhlasan kita jarang-jarang dapat dirasa oleh sesetengah orang. Cukuplah ia sekadar dalam doa. Sayang dan ikhlas itu saya kongsi bersamaNya dalam doa yang dititipkan.

Menghadapi liku-liku awal semester ini, tidak seperti semester-semester sebelum ini. Banyak peluh dan air mata yang tumpah. Tapi tidak terluahkan.

Kenapa sukar dimengertikan gejolak rasa dan bentuk tekanan yang kita hadapi. Bukan kecil, tapi besar pada diri saya. Pada nilaian mata orang yang melihat, pastinya tidak seperti kita yang merasa dan menanggung. Rasa nak lari daripada semua ini. Tumpukan pada study dan tugasan. Abaikan cakap-cakap orang. Lupakan semua yang menyakitkan.

Mudah. Sangat mudah ungkapan itu terlontar dari bibir-bibir yang mendengar ceritera ini. Tapi, hati dan diri yang menanggung siapa tahu? Allahu a'lam.

Kenapa susah untuk mengerti? Aku ingin kembali seperti dulu. Menikmati ranjau perjuangan dengan kemanisan ukhuwwah dan kebersamaan.

Ya. Ini ujian untuk seorang Nur Hazwani. Moga Nur Hazwani ini kuat dan semakin kuat bila dihentam dengan semua ini.

Allah, bagi kekuatan pada diri wani. Pada Allah segala pergantungan. wani tak larat lagi. Allah yang Maha Kuat, kuatkan hati dan diri wani...

Faiza 'azamta fatawakkal 'alaLLah

Thursday, June 07, 2007

Catatan di Hujung Musim 3

Assalamu'alaykum warahmatuLlahi wabarakatuh.

AlhamduliLlah dan salawat kepada junjungan Kekasih yang dirindui, Nabi Muhammad SAW.

Syukur yang tidak terhingga dapat melalui semester 3 kali ini. Semester 3 lepas, saya berada di Ardul Kinanah mencari nafas dan semangat baru setelah mengalami kejutan berada di alam baru, UIA Gombak. Mencari nafas dan harapan kepada sekeping hati yang dirasakan terlalu lemah menerima cubaan dan dugaan. Menghadapi hakikat hidup mengundang luka di hati.

Pasti ada yang memandang enteng 'entry' saya kali ini. "Bercakap soal hati lagi. Ketepikan masalah hati. Pejuang tak boleh terasa terasa hati ni."

Tapi bilamana ungkapan begitu diucapkan, tanpa kita sedar, memang ada hati-hati baru yang dilukakan. Maka bertambahlah lagi hati yang terluka, dan bagi yang telah berparut hatinya, boleh berdarah kembali.

Namun, mengenangkan ungkapan tersebut ada benarnya, dan keluar dari bibir 'orang atasan' yang pastinya dihormati dan lebih daripada orang bawahan dari segi amalan dan kepimpinan mereka, nak tak nak, kata-kata itu ditelan walaupun pahit dan terasa hati. Hati cuba untuk dirawati.

[Entry saya kali ini tidak tahulah sepanjang mana. Saya rasa nak tulis sesuka hati saya (tapi insya-Allah masih dalam batas-batasnya).]

"Kerana Allah!"

Barangkali ungkapan inilah yang menjadi pemangkin semangat mereka yang masih istiqamah di atas jalan perjuangan ini. Soal terasa hati diketepikan kerana perjuangan ini adalah kerana Allah SWT, bukan kerana manusia yang dicipta.

Konsep persaudaraan dan Adik Beradik dalam persatuan adalah bertujuan untuk mengikat hati-hati para pejuang untuk lebih kuat dalam melaksanakan amanah untuk Islam. Benar. Sungguh benar. Hati menjadi kuat dengan sokongan Adik Beradik.

Satu corak kehidupan berpersatuan yang bagus untuk dipraktikkan. Betul. Kehidupan dalam persatuan adalah umpama kehidupan berkeluarga, masing-masing mengenali anggota keluarga, saling mendamaikan dan mententeramkan jiwa setiap ahli keluarga. Adik Beradiklah menjadi tempat berkongsi cerita dan masalah selain ibubapa yang pastinya sibuk melaksanakan tugasan untuk manfaat anak-anak mereka.



Saturday, June 02, 2007

Membunuh Peminat

Assalamu'alaykum warahmatuLlahi wabarakatuh

Pertemuan tidak dirancang dengan Sdr Amin Idris memberi satu tekanan pada saya. "Jangan membunuh peminat. Setakat ni Abg Amin masih belum terbunuh."

Aduh. Pesanan yang hampir membunuh saya. Tu ayat ingatan ataupun boleh dikatakan amaran oleh insan terkenal ni menyentuh perihal 'update' blog. Bukan nak membunuh, tapi tak nak diri terbunuh dengan mengikat perut berjimat semata-mata untuk selalu 'update' blog di CC. (Lab tak boleh update blog lah, abg Amin)

Ok. Cukuplah bicara bab 'update' blog ni. Cuma saya harap, pelawat atau pengunjung blog saya yang hina dina ni, tak 'terbunuh' sebab jarang di'update'. Cubalah fahami keadaan diriku...

25-27hb Mei, saya berpeluang jadi fasilitator di Maahad Ahmadi, Gemencheh, Negeri Sembilan. AlhamduliLlah, semuanya berjalan lancar pada zahirnya. Tapi kalau orang tahu kisah disebalik tabir, mahu sahaja diketawakan kami. Mana tidaknya, modul untuk keesokan hari baru dibincangkan pada malam sebelumnya. Aduh. Mujur dalam ramai fasilitator dan urusetia yang menyertai kem tersebut memiliki kebolehcekapan membuat keputusan segera dan kreatif serta berpengalaman. AlhamduliLlah.

Mulanya, agak terkilan juga sebab beberapa masalah yang timbul di saat akhir sebelum saya bertolak ke Negeri Sembilan. Pertemuan dengan Sdr Amin juga sedikit sebanyak (banyak sebenarnya) menggugat keputusan saya untuk ke Maahad Ahmadi sebab RK Training (milik bersama Amin Idris, Ahmad Fadzli Yusof dan sahabat) juga akan mengadakan program serupa. Tapi memikirkan ada misi yang perlu saya laksanakan di Maahad Ahmadi, membuatkan saya kembali tsabat dengan keputusan saya yang pertama. Banyak yang saya pelajari lewat program sulung (dan mungkin tunggal) bersama RK Training satu masa dulu. Bicara kami petang lalu berjaya me'recharge' semangat saya dalam urusan tarbiyah ini. Syukran. Jazakallahu khairan jaza' buat Abg Amin (dan kakRos yang ajak wani teman akak tempoh hari).

Mendekati manusia dengan hati
"Saya kena handle slot muhasabah. Saya kena jadi biro disiplin."

Aduh. Bagaimana pendekatan yang terbaik ni? Dalam mesyuarat pertama dahulu, diputuskan pendekatan kasar dan keras yang akan digunakan (yang terdiri daripada dua fasa; 1.runtuh dan 2.bina). Tapi bila menghadiri ceramah Ustaz Hasrizal Jamil (saifulislam.com) awal minggu lalu dan kemudian membaca tulisan beliau di saifulislam.com, ditambah pula bicara Abg.Amin petang tu, buatkan saya di dalam dilema (tingginya tahap bingung saya ketika itu..huuu).

"Gi mana ni....???" (Ada students Indon masuk CC sekarang dok cakap-cakap, jadi terikut pula.)

Esoknya, sampai di Maahad Ahmadi, "Adik-adik ni tak lah nakal sangat pun. Baik je. So, guna pendekatan hati ke hatilah. Mendekati manusia dengan hati. Insya-Allah. Allah, bantu kami mentarbiyah adik-adik ini. Bukakan hati mereka untuk terima tarbiyah ini. Tunjuki dan pandulah kami dalam urusan ini. Ameen". Monolog saya di dalam hati.

Akhirnya, alhamduliLlah. Ada adik-adik yang menitiskan air mata di akhir program. Program yang tidak menekan mereka, memberi kelonggaran dari sudut masa, banyak aktiviti fizikal (layaklah untuk mereka yang suka beriadah) dan melayani mereka dengan ikhlas.

"Adik-adik yang disayangi, kita jumpa lagi ye lepas ni. Insya-Allah, kak akan ke sana lagi."


-AlhamduliLlah. Minggu ni dapat pergi usrah wada'. Mesti Baca! "Wabak Sepanjang Jalan". Semoga kami tetap di jalan ini. Jauhkan kami daripada tersasar.


-Allah, mudahkan urusan 'kami'. wani takut dengan cabaran yang mungkin menanti di hadapan. jadikan kami tabah andai onak yang akan kami tempuh kelak. namun, ya Allah, wani mohon, dan kami mohon, mudahkan urusan kami... pada Allah jua kami pasrah, bergantung segalanya, dan kami bertawakkal pada-Mu, Allah...


Semester 1, kunanti dengan degup degup debaran.

Thursday, April 19, 2007

Terhitung Kembali Titis Peluh dalam Perjuangan

Ba'da bimiLlah wa salawat

Assalamu'alaikum warahmatuLlahi wabarakatuh

Melewati saat-saat bulan Rabi'ul Awwal berlalu semalam, saya merenungi sebuah catatan pilu insan-insan disekeliling Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Dato' Fadzil Noor (1937-2002). Kesedihan berlalunya Rabi'ul Awwal bulan kelahiran RasuluLlah SAW junjungan mulia kekasih Allah ditambah dengan kepiluan sebuah kisah pejuang Islam di Malaysia.

Setelah agak lama saya tidak berjaya menghabiskan walau sebuah buku dari kulit hadapan ke kulit belakang, akhirnya malam semalam menjadi titik permulaan kembali penjelajahan dunia buku saya. Entah kenapa tangan saya menggapai buku tersebut di antara timbunan buku-buku yang masih belum disusun di atas meja. Buku-buku tersebut sekadar menjadi hiasan di retina mata saya sahaja hari-hari lepas.

Mula daripada muka surat hadapan lagi, perasaan pilu sudah menerkam ke atma. Meneliti kalimat dalam coretan kisah pertama, telah merenggut hati saya. Kisah-kisah seterusnya menjadikan hati saya seolah-olah terkeronyok digumpal-gumpal oleh kepiluan dan keterharuan. Coretan kak Munna Izzah dan Dr Ammar menjadikan jiwa saya seakan-akan diperah sehingga menitiskan air mata yang tidak berhenti-henti keluar.

Begitu pengorbanan Almarhum dalam perjuangan Islam. Namun, status Presiden PAS tidak pernah membataskan Almarhum mengambil berat kelapan-lapan anaknya dan isteri yang menjadi penguat semangat dan peneman setia menelusuri duri sembilu di jalan perjuangan ini. Pengertian dan pengorbanan kasih sayang yang dilakukan oleh isteri dan anak-anak terhadap Almarhum menjadikan saya kepinginkannya. Teringin untuk berada di tempat mereka, menerima dengan redha suami dan ayah yang menginfakkan diri atas perjuangan Islam. Jujur, hati ini rindu kepada kehidupan sedemikian.

Kelembutan dan pendekatan kasih sayang yang semulajadi ada dalam diri Almarhum Ustaz Fadzil Noor membuatkan semua yang pernah berjumpa dengannya akan merasakan keakraban dan ia akan menjadi kenangan manis kepada mereka. Almarhum terlalu kasih dan sayang kepada semua. Tidak pernah berdendam walaupun kepada yang mengkritik Almarhum.

Walaupun saya tidak pernah berjumpa Almarhum dan ketika ini Almarhum sudahpun meninggalkan kita dengan jasa-jasanya, namun entah mengapa rasa kasih dan sayang Almarhum dapat saya rasakan.

Pemergian Almarhum membuatkan saya yang bukanlah sesiapa dalam perjuangan Islam ini meresa cukup kehilangan. Terkesal dalam diri bila mengenangkan mengapa aku tidak mengenali Almarhum sungguh-sungguh ketika hayat Almarhum. Saya akan menggali sejarah dan segala sumbangan Almarhum dalam perjuangan Islam di Malaysia ini. Semuanya akan saya jadikan pemangkin semangat saya dalam perjuangan ini.

Bila menghitung titis peluh saya dalam perjuangan ini, belum sampai tahap manapun. Cukuplah mengeluh dengan hanya dua tiga taklifan di kampus. Perjuangan masih jauh yang perlu saya tempuhi. Rintangan masih banyak yang belum saya lalui.

Semangat perjuangan terus mekar kembali sesudah kulit belakang buku tersebut saya tutup. Seolah-olah semangat baru yang hadir meresap memegang kejap hati dan jantung saya.

"Aku perlu terus berjuang! Jangan mengalah! LiLlahi ta'ala!"

Kata-kata Almarhum yang diingat oleh Ustaz Fawwaz, anakanda Almarhum, "Baba akan berjumpa Allah dengan dosa yang banyak."

Sedemikian kata-kata Almarhum Ustaz Fadzil Noor walaupun hidupnya diinfakkan atas kerja-kerja Islam, inikan saya yang hanya insan kerdil atas dunia ini.

Bagaimana dengan saya?

Friday, March 16, 2007

Mencari Celahan Kesempatan

BismiLlahirRahmanirRahim.
Selawat ke atas baginda SaLlahu 'alaihi wasallam.

ALLAHu sahla illa maja'altahu sahla, wa anta taj'alul hazan insyikta sahla

AlhamduliLlah. Akhirnya bertemu celah masa untuk saya update blog ni. Saya ada terima sms daripada junior, "Akak bila nak update blog? dah bersawang dah.." Aduh. Sungguh terkesan ke sanubari saya. Seingat saya sms tu dikirmkan bulan lepas. Baru hari ni dapat saya buang sawang-sawang dan sapu habuk dan debu yang bersepah di blog saya ni. Sudah mencecah 1000 yang view blog saya. Tak tahu bila, tapi terima kasihlah kepada yang berkunjung.

Apa yang nak diceritakan?
Sebenarnya sudah berkali-kali saya taip entry blog, tapi tak publish pun atas halangan lab UIAM ni. Kecewa juga memandangkan duit tidaklah banyak mana untuk online di Cyber Cafe.
Tidak mengapalah. Saya tinggalkan masalah tersebut, dan terus ke cerita aau pengalaman yang ingin saya kongsikan bersama saudara se'aqidah saya.

Tanggal 10 Mac 2007 lepas, saya dan ahli kumpulan subjek Leadership berziarah ke Rumah Ikhsan, Kuala Kubu Baru. Pasti ada yang tidak mengetahui rumah apakah ini? Tak popular pun. Rumah Ikhsan adalah rumah warga emas yang tidak mempunyai waris atau penjaga. Rumah Ikhsan merupakan sepenuhnya di bawah tanggungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor.

Ketibaan kami di sana ketika jam hampir mencecah 1400. Justeru agenda 'Bertemu Pencipta' kami dahulukan sebelum agenda 'Santapan Jasmani'. Berlegar-legar di luar Rumah Ikhsan selama beberapa minit sambil menjinjing buah tangan untuk warga emas di dalam, kami diberi ingatan oleh 'Trainer, Kak Fatin' agar menjaga tutur kata supaya tidak menyinggung perasaan nenek-enek dan datuk-datuk tersebut. Layan mereka seperti mana melayan anak kecil -dengan penuh kelembutan.

Masuk ke blok warga emas wanita bersama minyak panas dan kotak biskut, katil pertama yang saya dan kawan-kawan kunjungi ialah kail seorang wanita India yang terpejam matanya tapi bersuara agak kuat tanpa difahami butir bicaranya. Sekadar meletakkan buah tangan, dan berlalu dari situ kerana apa yang saya faham perkataan 'porah..' sambil tangannya terawang-awang dan menolak kami. Agak terkejut. 'Oh, bermacam ragam. Saya perlu bersedia dan bersabar.' Bisik hati saya.

Dipendekkan cerita.
Nenek terakhir yang saya hampiri ialah saudara baru (taklah baru tapi tak tahu nak guna perkataan apa) Islam, Mariani Abdullah menyentuh hati saya. Bergenang air mata, tapi bila teringatkan pesan Kak Fatin untuk tidak menangis, saya kuatkan hati.

Nenek Mariani nampak tasbih ditangan kawan saya dan meminta untuk diberikan padanya. Soalan pertama beliau, 'Apa yang boleh saya sebut lagi dengan tasbih ni?' Masya-Allah. Dia inginkan sesuatu' daripada kami.

Tutur kata nenek Mariani sangat lembut dan jelas. Satu per satu perkataan keluar dari mulut beliau. Beliau lebih fasih berbahasa Inggeris dan Melayu berbanding Hokkien atau Kantonis ataupun Mandarin. Memeluk Islam sebelum bernikah dengan lelaki Islam. Namun, belum sempat beliau belajar hal ibadah daripada suami, suaminya terlebih dahulu dijemput Ilahi dengan serangan strok. Cerita beliau, suaminya hanya sakit satu hari sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Nenek Mariani Abdullah tidak pandai tulisan jawi kerana bersekolah di Convent dahulu. Beliau membaca Al-Fatihah dengan telor cina, tidak sefasih mana, namun beliau tahu. Bas telah sampai ketika kami berbicara dengan beliau. Dalam keadaan tergesa, beliau meminta maaf kerana membuatkan kami lambat dan mungkin akan ketinggalan bas. Tapi kami cuba sedaya kami untuk berikan 'sesuatu' kepada beliau. Hati saya jatuh sayang dan simpati kepada beliau.

Ditanya kepada kami, doa apa yang dia boleh baca. Allahu Akbar. Tersirap darah saya bukan kerana marah tetapi terharu, simpati, dan bersyukur tergaul semua. Apa yang saya terfikir adalah ibu doa, "Rabbana atina fid dunya hasanah, wa fil akhirati hasanah, wa qina 'azaban nar". Dalam masa yang terbatas, sekadar itu yang mampu kami beri. Kami catatkan pada helaian kertas, lafaz doa tersebut dalam ejaan rumi. Beliau sangat gembira.

Nenek Mariani menceritakan kepada kami, beliau tak boleh baca doa secara lisan menggunakan mulut tetapi setiap apa yang beliau lakukan, makan dan tidur, beliau baca doa dalam hati kerana setakat itu yang mampu beliau lakukan.

Kata-kata terakhir beliau, 'I will miss all of you and always remember you because you have thought me these things. I want to die as a Muslim. Rabbana atina fiddunya hasanah, wa fil akhirati hasanah wa qina 'azabannar. Thank you ha...'

Tangan nenek Mariani kami kucup dengan rasa berat saya melangkah keluar dari Rumah Ikhsan yang mengajar saya erti syukur atas nikmat Islam dan ilmu 'ibadah yang saya peroleh.

Nenek Mariani Abdullah, saya janji dalam diri saya akan berkunjung lagi ke sana. Bila masanya, saya akan cuba. Saya bertanggungjawab pada nenek. Insya-Allah saya akan sampai ke katil nenek, mengucup tangan nenek dan ajar nenek apa yang saya tahu. Maafkan saya kerana baru temui nenek dan hanya bicara sekejap cuma dengan nenek tempoh hari. Saya akan datang pada nenek. Insya-Allah.