Tuesday, May 26, 2009

Mereka juga Guruku



Apabila setiap kali bertembung dengan seorang sahabat daripada KARISMA ini, maka acap kali itu jugalah hati ini dirundung pelbagai rasa. Rasa sayu, hiba, sedih dan pilu menjengah meliputi seluruh organ hati. Bukan kerana beliau tetapi kerana terkenangkan seorang penghuni teratak hidayah Raudhatus Sakinah.

“Kakak kenal abang (disebut namanya)?” Tanya adik berwajah polos dalam nada sedikit berbisik ketika sahabatnya daripada kumpulan lain sedang melakukan persembahan. Beliau duduk tenang di sisiku.

“Kenal. Macam mana adik kenal dia? Dia selalu datang sinikah?” Responku dengan sedikit perasaan teruja dengan soalannya tadi.

“Ha’a. Abang ni selalu juga datang mengajar kami dan jumpa adik.” Jawabnya dengan sedikit sayu. Mungkin kerana rindu pada hikmahnya tutur kata sahabat saya tersebut dan kata-kata prihatin beliau.

Kami menoleh kembali ke depan melihat sambil tersengih pada persembahan sketsa melakonkan watak gadis-gadis nakal yang cuba mempengaruhi gadis baik untuk menyertai kumpulan mereka. Sambil-sambil itu, hatiku disuntik rasa simpati kepada adik tersebut dan kekaguman kepada sahabatku itu.

Kemudian, lengan baju saya ditarik dengan lembut dan terdegar panggilan mulus, “Kak wani…”. Saya menoleh kembali sambil tersenyum kepada adik berusia 15 tahun itu. “Ya, adik sayang.”

“Nombor telefon kakak sama tak dengan nombor kad pengenalan…?” Nada separuh berbisik dengan mata yang bening membuat hati seorang kakak yang ada dalam diri ini dijentik rasa.

“Adik nak nombor handphone akak ke?”

“Tak. Adik cuma nak tahu nombor telefon akak sama tak dengan tarikh lahir akak. Sebab ada orang pilih nombor telefon yang sama dengan tarikh lahirnya.”

Saya dapat membaca apa sebenarnya yang diinginkan olehnya. Namun, disebabkan sudah peraturan di situ tidak dibenarnya pelawat memberikan nombor telefon, adik tersebut mencuba dengan bentuk soalan yang lain.

Lalu, saya bisikkan kepadanya, “Adik tahukan kakak tak boleh bagi nombor phone akak. Tapi adik ambil alamat rumah dan email akak ye. Bila-bila pulang ke kampung, boleh berziarah ke rumah akak. Akak minta maaf sangat ye dik. Kakak nak bagi, tapi tak boleh.” Dengan wajah yang sedih, beliau mengangguk faham.

Saya biarkan adik itu melayan kesedihannya. Tangan saya menyelak halaman-halaman buku catatan yang saya bawa mencari kalau-kalau ada penanda buku atau apa-apa bahan cetakan yang menarik yang boleh saya titipkan sebagai kenangan buatnya. Alhamdulillah, terjumpa sekeping gambar yang bertulis kata-kata hikmah tanda kenangan daripada IMIU, PJ ketika lawatan saya ke sana. Lalu, di belakangnya saya coretkan alamat rumah dan email, juga kata-kata semangat untuknya. Sekuntum mawar juga saya lukiskan penyeri coretan tersebut. Kartun Muslimah tersenyum tidak saya lupakan. Moga-moga terubat hatinya daripada kesedihan itu. Dan adik berwajah polos itu nyata tersenyum manis menerimanya.

Semuanya kebetulan. Kebetulan saya ditempatkan bersamanya dalam aktiviti berkumpulan. Kebetulan kami duduk bersebelahan. Kebetulan kampungnya dalam kawasan parlimen yang sama dengan saya. Kebetulan nama panggilannya sama dengan nama panggilan adik bongsu saya. Kebetulan juga usianya sebaya dengan adik bongsu saya. Kebetulan juga ‘abang’ yang ditanya tadi adalah sahabat yang saya kenali. Segalanya kebetulan. Dan kebetulan itulah membuatkan saya rindukannya bila saya rindukan adik bongsu saya yang cergas otaknya itu.

Saya belajar daripada semua penghuni di situ hasil lawatan pada hari itu. Oleh itu, mereka juga tersenarai dalam senarai ‘guru-guruku’ dalam doa saya. Saya belajar erti sebuah kehidupan dan erti taubat dan pengampunan-Nya. Bukankah walau satu ilmu atau satu huruf yang dapat kita peroleh daripada seseorang itu, dia sudah dikira sebagai guru kita?

Di sana, saya rasa ketenangan melihat wajah-wajah bersih mereka. Kesilapan yang mereka lakukan adalah satu titik tolak untuk merasai betapa nikmatnya sebuah taubat dan keimanan. Mereka bahkan bisa menjadi lebih baik daripada Muslim yang berterusan melakukan ibadah hanya sebagai sebuah ritual, kerana mereka melalukan ibadah atas rasa kehambaan yang sebenar-benarnya.



“..Wahai anak Adam, tidak akan masuk ke dalam syurga melainkan mereka yang
merendah diri terhadap kebesaran-Ku dan mengingati-Ku setiap waktu serta melawan
nafsunya daripada ajakan syahwat semata-mata kerana-Ku..” (Petikan Hadith Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali: al-Mawa’iz fil Ahadis al-Qudsiah).


Penghuni Raudhatus Sakinah, kalian juga adalah guru-guruku! Terima Kasih.

Wednesday, May 20, 2009

U-Turn ke Jalan Lurus



“Awak kenal tak siapa diri awak?” tanya saya dan sahabat bergilir-gilir kepada seorang peserta.

“Tak! Saya tak kenal diri saya! Saya benci diri saya!” Jawab peserta tersebut sambil linangan air mata dan badan yang terhuyung hayang sambil kaki bergetar. Ketika ayat itu dilafazkan, tangannya juga mencengkam tudung di bahagian dadanya, menambahkan lagi ekspresi kebencian kepada dirinya yang sekarang.

Jawapan tersebut juga menyentap sanubari saya yang tidak saya sangka akan terpacul keluar dari bibir seorang Muslimah yang sudah hampir 21 tahun menghirup nafas di muka Bumi Allah SWT ini. Lalu saya sedar, saya tidak mampu membantunya mengenali diri kerana ayatnya yang satu, ‘Saya benci diri saya’. Saya tidak punya pengalaman yang banyak membantu adik-adik peserta mengenali potensi diri untuk diletakkan dihadapan kelemahan mereka. Jika sekadar untuk menambahkan keyakinan diri untuk bercakap di khalayak, atau keyakinan diri untuk tsiqah (mempercayai) sahabat yang lain, ataupun juga membuang rasa inferiority complex, insya-Allah itu mampu saya lakukan serba sedikit. Tetapi, untuk masalah seserius ini, saya menyerah kepada sahabat-sahabat senior yang lain untuk membantu peserta tersebut. Saya sedar, peserta ini sangat memerlukan bantuan untuk beliau kembali menghargai dirinya sendiri, lantas bersyukur dikurniakan segalanya dalam hidupnya walau sederita manapun pengalaman beliau membesar.

Sebagaimana beliau, kita semua perlu bermuhasabah dan menilai kembali apa yang telah kita lakukan dalam kehidupan. Sahabat-sahabat senior saya mengambil langkah dan kalimat yang cukup berhati-hati dalam membuatkan peserta tersebut menoleh kembali ke sejarah hidupnya. Bukan untuk membuatkannya semakin jatuh dan membenci diri, tetapi mengambil ibrah (pengajaran) daripada sejarah yang pahit. Bak kata Ust Hasrizal Abdul Jamil, “Jujur terhadap kejayaan dan kesilapan, pencapaian dan kejatuhan – pada semua itulah munculnya ibrah yang matang untuk diteladani oleh mereka yang mahu berfikir” (Rindu Bau Pohon Tin, 2009). Mereka membuatkan dirinya meneroka dan menyelak helaian-helaian diari lamanya mencari punca kenapa kebencian itu muncul.

Alhamdulillah. Akhirnya, beliau menyedari sikapnya selama ini yang menyebabkan bibirnya terpacul ayat maha kecewa sebentar tadi. Katanya, beliau akan menyerahkan seluruh dirinya yang hina dan kerdil kepada segala ketentuan Allah SWT. Mencuba yang terbaik dalam hidup dan menyayangi sahabat-sahabat yang lain untuk disayangi oleh mereka. Beliau tahu, memberi itu sangat bermakna dalam kehidupan sebagai seorang pejuang terutamanya memberi kepercayaan kepada sahabat-sahabat. Beliau sedar, dirinya tidak keseorangan dalam hidup. Ada sahabat-sahabat untuk membantu.


Menoleh kembali ke belakang tidak salah jika tujuannya untuk mencari makna dan hikmah pada sebuah sejarah. Buatlah U-Turn dalam hidup yakni U-Turn ke jalan yang lurus.

Book-addicted!




Alhamdulillah. Pesta buku antarabangsa pada tahun ini dapat saya jejakkan kaki sebanyak dua kali. Terasa benar nikmatnya membeli buku pada kali ini. Puas. Itulah yang dapat saya ungkapkan. Kenapa saya rasa puas? Kerana saya bisa memberi menfaat kepada orang lain juga dan dapat menghabiskan beberapa buah buku dalam masa seminggu selepas membelinya.

Ini adalah buku-buku yang sempat saya beli dengan kapasiti ketebalan dompet saya. Ahaks!

Rindu Bau Pohon Tin – Ust Hasrizal Abdul Jamil (Galeri Ilmu)
Bercinta Sampai ke Syurga – Ust Hasrizal Abdul Jamil (Galeri Ilmu)
Nota Hati Seorang Lelaki – Ust Pahrol Mad Juoi (Telaga Biru)
Travelog Seorang Da’i – Abdul Rahman Mohamed (Telaga Biru)
Novel Moga Bonda Disayang Allah – tere-liye (PTS)
Koleksi 6 siri Majalah Solusi – Telaga Biru

Saya juga dihadiahkan sebuah buku oleh kak Shida yang begitu menyayangi saya dan saya kasih padanya. Buku catatan memoir istimewa tentang Tok Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat oleh isteri beliau, Tuan Sabariah yang bertajuk Bidadari dari Timur terbitan Anbakri Publika. Terima kasih, kakak.

Juga dengan baik hati (baca nada bergurau), saya membelikan pesanan-pesanan Abang saya.
Aku Terima Nikahnya – Ust Hasrizal Abdul Jamil (Galeri Ilmu)
Bercinta Sampai ke Syurga – Ust Hasrizal Abdul Jamil (Galeri Ilmu)
CD Album Azhan Atan – Hijjaz Records
CD Album Inteam Reunited – Inteam Records

Sebenarnya, banyak buku yang saya letak dan ambil semula. Namun letak semula ke rak kerana budget yang kecil. Andai saya punya ribuan ringgit, mahunya penuh sebuah kereta dengan buku-buku belian saya. Inilah ketagihan saya yang boleh membuatkan saya diserang sakit gastric kerana terlalu leka membaca sehingga terlupa perut belum diisi. Dan juga sebab mengikat perut semata-mata untuk mengumpul duit untuk membeli buku yang diidamkan.

Semalam, sahabat saya yang baru mengorak langkah serius dalam perniagaan buku-buku ilmiah memohon saya menjadi agen jualan bukunya di UIAM ini. Saya menerima dengan hati yang gembira kerana ia adalah jalan rezeki yang juga bertepatan dengan minat saya. Justeru ini melengkapkan senarai buku-buku yang saya baca dalam masa 2 minggu kebelakangan ini – Nota Hati Seorang Lelaki, Travelog Seorang Da’i, Moga Bonda Disayang Allah, Rindu Bau Pohon Tin, Muhammad SAW Putera Lembah Bakkah (Galeri Ilmu). Dan dalam proses menghabiskan U-Turn Ke Jalan Lurus (Galeri Ilmu). Nak jual, kenalah ada sedikit pengetahuan tentang buku-buku tersebut. Itu adalah prinsip yang saya pegang setakat ini. Satu kepuasan bagi saya.

Oleh itu duhai sahabat-sahabat, andai berminat untuk memiliki buku-buku daripada Galeri Ilmu dan Telaga Biru, boleh email pada saya atau SMS ye. Kalau dari penerbit lain juga ada. Insya-Allah, dalam sedikit masa lagi, saya akan update buku-buku tersebut dalam http://www.bookworms-world.blogspot.com.

Email: syauqah_el_wardah@yahoo.com
Hp: 013 2951 351