Friday, August 11, 2006

Hegemoni

Berdebat dalam kelas..saya tak lepas peluang….

Kelmarin saya mengikuti kelas Isu-Isu Keselamatan Asia Timur di Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Saya amat meminati subjek ini kerana kami didedahkan dengan aspek strategik dalam peperangan, konsep hegemoni, pengimbangan kuasa unipolar dalam sistem politik, ekonomi dan militari.

Pensyarah saya ini open minded. Dia mengajar dalam keadaan yang adil, pandangan yang tajam serta pengamat suasana yang pintar. Saya ingin belajar cara beliau berfikir. Beliau tidak pernah menafikan kekuasaan Amerika Syarikat sebagai kuasa politik dan ekonomi terkuat di dunia. Amerika bukan lagi Superpower tetapi Megapower yang amat hebat. Perbincangan kami lebih tertumpu kepada kepentingan kita memahami peranan hegemoni Amerika dalam kestabilan politik dunia terutama melibatkan nilai keselamatan dunia. Namun kita melihat dalam hal realiti, Amerika yang kini berada dalam suasana kemuncak kekuatan hegemoninya, tidak mencerminkan sikap sebagai pengimbang tara politik dunia, sebaliknya cuba menguasai wilayah secara terancang dan melalui 'long term strategic operation' nya. Amerika dalam relitinya tidak mahu jatuh dalam keadaan yang teruk seperti mana kejatuhan hegemoni Uthmaniyyah dan British dahulu. Maka pengasakan bertalu-talu dilakukan dalam usaha memperkukuhkan kekebalan politik dan ekonominya.

Belajar di sini terasa kelainannya daripada fakulti saya di kejuruteraan. Di sini masih terpasak budaya berdiskusi, berbincang, berdebat, berhujah secara adil dan terbuka tanpa ada halangan antara pelajar dan pensyarah. Terasa suasana 60an dan 70an fakulti ini masih panas lagi.

Kelmarin kami berbincang tiba-tiba mengenai hal undang-undang Malaysia yang tidak mencerminkan keharmonian kaum. Pensyarah mempertikaikan bahawa ketidakstabilan dan dielektika antara agama kini adalah akibat ketidaksempurnaan sistem perlembagaan yang diurus oleh pentadbiran negara. Seorang pelajar daripada Fakulti Undang-undang (berbangsa Cina) mengatakan bahawa isu artikel 11 tidak dipertikaikan berkenaan hak kebebasan beragama sebaliknya ramai non-muslim mempertikaikan ceraian artikel ini yang menidakkan usaha agama lain untuk berdakwah kepada orang melayu. Mereka inginkan keadilan. Saya terus berhujah bahawa artikel ini pula bercanggah dengan artikel 160 dimana takrifan melayu adalah beragama Islam dan ini akan menyebabkan keserabutan lebih teruk apabila takrifan bercanggah.

Seorang pelajar perempuan (Fakulti sastera dan sains Sosial) pula bangun dan bercakap. Beliau menegaskan bahawa orang Melayu tidak boleh murtad. Ini jelas apabila artikel 160 meletakkan takrifan begitu. Tetapi saya berhujah mengatakan bahawa kesalahan sebenar bukannya pada pertikaian golongan yang inginkan kebebasan beragama, sebaliknya di dalam artikel 160 perlu digubal semula agar meletakkan syarat bahawa Melayu dilarang murtad dan ianya akan menyokong ceraian artikel 11 yang menegaskan agama lain tidak dibenarkan berdakwah kepada orang melayu. Barulah tiada percanggahan dan jelas takrifannya.

Pelajar perempuan ini juga mengatakan bahawa beliau malu apabila ramai perempuan melayu telah murtad dan kini bermasalah sosial yang amat parah. Bila tertangkap, mereka mengaku bukan lagi Islam dan tidak tertakluk lagi di bawah mahkamah syariah. Ini yang berlaku katanya. Dan beliau berhujah bahawa moral golongan Islam semakin parah dan ini tidak mencerminkan artikel 160. Pelaksanaan Islam Hadhari pula tidak meredakan keadaan sebaliknya gejala murtad berleluasa. Saya respek pelajar ini kerana beliau relaks, tak bertudung labuh tetapi agak emosi bila disentuh hal murtad. Beliau mengatakan beliau selalu berdebat dengan mahasiswa Cina berkenaan isu murtad. Beliau selalu cuba memahamkan mahasiswa lain berkenaan isu ini. Cukup bertenaga beliau berhujah. Pada pengamatan saya terlalu ramai gadis bertudung labuh pun…tidak memainkan peranan mereka…tahniah kepada beliau.

Saya masih moderate dalam berhujah. Apabila saya melihat pelajar Cina tidak bersuara lagi dan pelajar-pelajar Undang-undang tidak bersuara (mungkin fakta mereka dalam beberapa kes ini tidak mereka kuasai), amak saya menegaskan kepada pensyarah bahawa persoalan moral dan dielektika beragama tdak boleh disamakan. Mana-mana penganut agama juga menghadapi masalah moral. Pensyarah menyokong saya dan menegaskan bahawa substansi kerangka Islam Hadhari tidak diisi sewajarnya. Apabila berlaku pertembungan kebebasan beragama, kelihatan ada unsur luar yang cuba melakukan ketidakmoralan kepada orang Melayu. Saya tidak nafikan ada agenda tersirat dalam usaha licik tersebut. Tetapi saya menegaskan di hadapan pensyarah bahawa perundangan dan pelaksanaan eksekutif Malaysia belum sempurna. Sebagai contoh, dalam kes Moorthy, bagi kaum lain, adalah menjadi hak bagi kaum keluarga Moorthy untuk menguburkan beliau secara Hindhu kerana secara hariannya beliau tidak bertindak sebagai penganut Islam. Mereka melihat Moorthy perlu dikeluarkan dari mahkamah Syariah. Kita mengetahui kad-kad saudara baru PERKIM tidak diletakkan tanda yang sah mengikut akta keterangan. Hal inilah yang menyulitkan proses apabila bukti kemasukkan Islam Moorthy tidak jelas. Bagi saya kesilapan dalam proses pentadbiran adalah punca fitnah ini berlaku. Keunggulan mahkamah syariah memang boleh tercabar dengan prosedur longgar serta endah-tidak endah terhadap pendaftaran saudara baru.

Secara umumnya pensyarah saya tidak percayakan 'decision makers negara ini. Mereka yang berkuasa menggubal undang-undang ini tidak hadir dari kalangan yang bermoral. Kesilapan mereka terdedah secara jelas. Mana mungkin mereka mampu untuk menstruktur sistem moral yang bermula daripada sistem keagamaan negara ini.
Saya semakin sukakan kuliah ni…..

Muhammad Nuruddin Bashah
Kejuruteraan Bahan UM

_______________________________________________

Ana suka baca tulisan akh Nuruddin dan sahabat-sahabat seangkatan beliau, membina pemikiran ana yang masih di takuk lama. Membaca tulisan sebegini, seolah-olah bebas memberikan pendapat yang mana ana masih belum mampu untuk lakukan walaupun banyak yang ana ingin luahkan dan sampaikan kepada massa. Semoha satu hari nanti, ana mampu melakukannya... insyaAllah, ameen

1 comment:

fa li said...

Pada pendapat ana , ramai yang murtad kerana kurangnya penekanan tauhid.mungkin kita kerapkali mengambil remeh perkara ini kerana rasanya ianya adalah tajuk yang paling simple dalam matapelajaran pendidikan Islam kita.

InsyaAllah,sama-samalah kita saling memperingati antara satu sama lain dikalangan umat Islam semoga pemahaman tauhid kita dipertingkatkan.Semoga kita tidak tewas di jalan yang dikelilingi hawa nafsu.Andai terpesong,semoga kita berkesempatan untuk bertaubat.InsyaAllah.Ameen~