Friday, February 06, 2009

Sayang dan kasih pada PR di Perak

Seorang taman akrab bertanya kepada Syauqah semalam, "Kenapa baik dengan budak Perak?". Syauqah pun tak tahu kenapa Syauqah baik dengan sahabat-sahabat yang berasal dari Perak. Apa yang Syauqah sedar sejak PRU-12 lepas, Syauqah merasakan kelainan dalam hati Syauqah terhadap Perak, Penang, Kedah, Kelantan dan Selangor. Kenapa?

Syauqah rasa seperti milik kelima-lima negeri ini. Syauqah rasa 'hatiku di 5 negeri'. Ada yang tersengihkah membaca ayat Syauqah ni? Tapi jujur Syauqah katakan. Mungkin sebab Syauqah bersama-sama majority rakyat yang menyokong PR, dan yang pasti selepas dua Pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terangganu (lebih-lebih lagi Kuala Terengganu), Syauqah dapat rasakan lebih ramai yang bersama-sama 'hati' Syauqah di lima negeri ini.

Syauqah menerima khabar PR di Perak melalui seorang teman yang sangat dekat hubungannya dengan PAS dan PR Perak. Syauqah rasa nak gugur air mata. Bila malamnya, Syauqah menerima SMS daripada junior yang telah grad, Syauqah bertambah-tambah sayu. SMS beliau penuh dengan emosi kemarahan dan geram dengan tindakan 4 ADUN tersebut (tak nak sebut sebab Syauqah pun sangat tak puas hati, tapi dapat kawal lagi perasaan ni). Tapi Syauqah balas dengan tenang dan mohon beliau panjatkan doa yang sungguh-sungguh agar Allah SWT memberikan yang terbaik pada mereka yang ikhlas berjuang kerana-Nya.

Ya Hakim. Allah yang Maha Bijaksana, yang mengetahui segala yang tersembunyi apatah lagi yang jelas. Kami menadah tangan kepada-Mu dengan sungguh-sungguh hati. Kami yakin Allah akan kurniakan yang terbaik buat kami.

Allah Ya 'Adlu. Seandainya melepaskan PR kepada BN kali ini adalah yang terbaik, agar kami bisa menyusun semula strategi dan menjadi lebih kuat selepas ini, maka tentukanlah ia buat kami. Seandainya kuasa itu kekal kepada PR itu yang terbaik buat masa ini, maka kami mohon ya Hakim untuk menentukannya kepada yang layak. Kepada ALlah lah kami bertawakkal dengan sebenar-benar tawakkal.

Kami tahu jalan perjuangan itu penuh dengan ujian tanda kasih-Mu kepada kami. Allah, berikanlah hidayah kepada mereka yang telah menyimpang.

ALLAH.... hanya pada-Mu kami memohon dan hanya kepada-Mu kami merintih penuh mengharap.

Ameen ya Allah.. Ameen.

-----------------------------------------

Aksi dua badut Perak pamer kebodohan sendiri
Mohd Rashidi Hassan rashidi@harakah.net.my Wed Feb 04, 09 10:53:50 am MYT

TIADA apa yang boleh dibanggakan oleh Jamaluddin Mohd Radzi (Adun Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Adun Changkat Jering), apabila kebodohan yang mereka ciptakan menjadi alat mainan politik Barisan Nasional.

Media pengampu BN cuba untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin goyah.

Media pengampu BN cuba memberitahu rakyat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat di Perak mempunyai masalah dalaman yang besar.

Hakikatnya, kerajaan yang dibentuk ketiga-tiga parti, PAS, KeADILan dan DAP tidak mempunyai apa-apa krisis. Kerajaan stabil dan aman.

Yang bermasalah ialah kedua-dua Adun yang juga Exco. Mereka menghadapi tuduhan rasuah yang menanti dibicarakan.

Yang bermasalah ialah BN, yang semakin malu apabila Badan Perhubungan Umno Negeri di bawah pimpinan Dato' Seri Mohd Tajol Rosli dikecam hebat kerana campurtangan sehingga merosakkan perpaduan Umno bahagian-bahagian di Perak.

Yang sedang binggung ialah BN, kerana sehingga kini mereka tidak boleh menerima hakikat terpaksa menjadi pembangkang setelah berkuasa sekian lama.

Lalu, dicetuskan drama dengan menggunakan dua orang 'badut politik', yang berpentingan dan bermasalah, guna menjatuhkan kerajaan negeri.

Dua 'badut sarkas' ini didakwa 'dibeli' untuk memasuki Umno-BN, dengan janji 'melepaskan' mereka dari pertuduhan rasuah, dan janji dikekalkan kerusi exco oleh pihak terbabit, jika BN berjaya membentuk kerajaan.

Drama yang tercetus di Perak bukan salah Pakatan Rakyat. Ia berlaku hasil lakonan dua pihak yang mempunyai kepentingan tertentu iaitu di antara BN dengan dua Adun terbabit.

BN menjangka imejnya akan pulih di Perak, jika mereka berjaya menguasai kembali kerajaan negeri dengan 'membeli dua badut yang bodoh' ini. Namun percaturan mereka tersilap.

Imej Umno-BN yang sudah sedia hodoh, sebagai parti yang paling korup dengan pelbagai tuduhan politik wang dan rasuah tidak akan dapat dipulihkan dengan kemasukan dua 'badut sarkas' ini.

Pertama, kerana keduanya terbabit dengan pertuduhan rasuah berat dan kemasukan mereka akan mencetuskan persepsi 'hanya perasuah sahaja yang diterima masuk dalam parti rasuah seperti Umno.'

Kedua, jika keduanya diterima masuk Umno dengan janji kes rasuah mereka akan digugurkan, ini akan mendorong rakyat semakin membenci Umno, kerana Umno jelas mengamalkan 'double-standard'.

Ketiga, jika keduanya masuk Umno dengan pelbagai tawaran lumayan sebagaimana yang disebutkan dalam afidavit Fauzi Muda, maka jelas Umno-BN yang 'meroyan' akibat kehilangan kuasa di Perak, mengamalkan taktik yang paling kotor, melanggari prinsip-prinsip demokrasi.

Keempat, BN mencemarkan imej Sultan Perak. Kerana mereka mencetuskan krisis dalam kerajaan negeri, pada ketika sepatutnya kerajaan dan rakyat merayakan pemerintahan ke 25 tahun Sultan Azlan Shah menaiki takhta.

Harus diingat, ketika Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, mengalu-alukan kemasukan Ahli Parlimen (MP) BN, yang mahu berhijrah, beliau menerima kecaman yang amat hebat dari kalangan BN.

Apa yang tidak mereka sebutkan ketika 'memaki hamun' Anwar? Beliau dituduh tamak kuasa, gelojoh, merasuah jawatan, tidak demokratik dan sebagainya.

Malah ketika Adun Bota, Dato' Nasaruddin Hashim berhijrah menyertai KeADILan, beliau turut dicerca, kononnya beliau tidak bermoral dan tidak beretika.

Tetapi apa kata Presiden Umno yang juga PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengesahkan beberapa Adun KeADILan mahu memasuki Umno-BN dalam sidang media 1 Februari lepas?

"(Mereka akan) diterima dengan baik kerana itu pilihan mereka dan mereka hendak menyertai kita dalam perjuangan yang lebih besar dalam Umno dan BN.. menjadi satu pengalaman baru dan memberi kesempatan untuk berjuang (dalam BN)," kata Abdullah.

Inilah bukti kenyataan dan dasar 'flip-flop' Umno! Mereka boleh perbodoh dan peralatkan kedua-dua 'badut sarkas' terbabit. Tetapi mereka tidak boleh sama sekali memperbodohkan rakyat.

Dalam kes ini rata-rata rakyat Perak tahu menilai, bagi mereka konflik politik yang wujud di negeri ini, hasil ciptaan Umn-BN sendiri. Hampeh betui, kata orang Perak.

Reaksi spontan rakyat apabila ditanya isu ini mereka menempelak kedua-dua 'badut sarkas' dan BN dengan ungkapan 'bodoh dan memalukan.'

Kedua-dua 'badut sarkas' ini sudah hilang banyak hari, entah ke mana tidak diketahui. Dimaklumkan ketika 'kehilangan' mereka, kereta kerajaan negeri yang digunakan mereka sebagai exco, pun tidak diketahui di mana.

Namun, apabila kes ini tercetus, kedua-duanya dilaporkan cuti sakit (MC) serentak.

Rakyat Perak tertanya-tanya apa penyakit dihidapi oleh dua exconya (kini bekas exco), sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di luar Perak.

"Kami pun hairan, Perak punyalah banyak klinik 'specialist', banyak bomoh, sampai hospital rawat orang gila di Tanjung Rambutan pun ada, mereka pergi cari tempat lain pasal apa," rungut seorang Ketua Kampung di Tanjung Piandang.

"Kalau MC pun takkan tak tau nak bagi notis sampai satu dunia orang cari tak jumpa, gamaknya depa (mereka) ni bekas posmen, bila posmen sakit tak boleh hantar surat, tunggu sihat dulu," komen seorang pengundi Behrang.

"Gamaknya (agaknya) depa kena penyakit gila babi, atau dijangkiti kuman JE, sebab itu kena kuarantin," perli seorang pimpinan KeADILan Perak.

Apa pun komen dan pandangan kepada Jamaluddin dan Osman, walaupun kini keduanya mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas, namun mereka tidak boleh menolak persepsi rakyat bahawa mereka hanyalah pencacai yang dipergunakan Umno-BN.

Maruah mereka sudah tercemar di kalangan rakyat. Harga diri mereka sudah tidak laku dalam Pakatan Rakyat, jawatan exco habis, Adun pun habis, malah belum tentu mereka akan mendapat pembelaan BN, jika kes rasuah mereka berjalan di mahkamah.

Jika pun ada pilihan raya kecil (jika SPR mengubah keputusan), sudah tentu BN tidak akan mengambil mereka sebagai calon. Pakatan Rakyat sudah tolak mereka, orang-orang Umno pun akan tolak mereka.

Kepada Jamaluddin dan Osman, bertaubatlah, anda berdua sudah terperosok dalam perangkap akibat kebodohan sendiri.

Kes rasuah anda akan berjalan, tanpa pembelaan sesiapa, akhirnya jika anda didapati bersalah, anda berdua akan merengkok dalam penjara dengan penuh kehinaan.

----------------------------------------------


Tenangnya Nizar, sebakkan dada
Azamin Amin Fri Feb 06, 09 9:33:20 am MYT

"Inna-Allah ha ma'a sobirin," titah Sultan Perak kepada Nizar Jamaluddin yang bermaksud:'Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar'

4 Februari, Rabu

Tiada ungkapan terbaik melainkan kekaguman dan tersentuh jiwa tatkala melihat Nizar Jamaluddin yang begitu tenang dengan kalimah yang tersusun biarpun di kala menghadapi saat-saat penuh getir tika kerajaan BN dan Umno cuba merampas kembali Perak dengan cara tidak berakhlak.

Hari di mana seorang Adun DAP mengisyhtiharkan bebas, Adun Bota kembali ke Umno dan dua Adun KeADILan juga menjadi berpaling tadah manakala Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dengan lagak angkuh mengisyhtiharkan Perak dikuasai BN tanpa mendapat perkenan terlebih dahulu daripada Paduka Seri Sultan Perak, Raja Azlan Shah.

Dalam kegawatan itu, Nizar bertemu pemerintah adil, Raja Azlan untuk memaklumkan situasi yang dicipta oleh Umno ke atas kerajaan Perak dan selepas itu Menteri Besar itu dengan senyuman dan raut wajah yang tenang, menyatakan bahawa Tuanku Raja Azlan Shah memetik baris ayat yang cukup indah kepadanya.

"Inna-Allah ha ma'a sobirin" titah baginda kepada Nizar yang bermaksud:'Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar'.

"Rakyat bertenang dan jangan bimbang, saya masih lagi Menteri Besar Perak dan menjalankan urusan harian dan pentadbiran negeri seperti biasa.Bahkan saya akan menghadiri majlis-majlis rasmi sambutan Jublki Perak Pemerintahan Tuanku selama 25 tahun," ujar Nizar kepada saya dan para wartawan yang menghimpitnya sejurus selepas selesai mesyuarat PAS di Pejabat Perhubungan PAS Perak jam 7.40 malam.

"Insya-Allah. Keputusan kini di tangan Tuanku dan saya percaya keputusan Tuanku adalah yang adil," demikian ucapan 'penutup' beliau selepas seharian melalui hari penuh mencabar dan genting.

Sebelum itu, ketika saya menunggu di pintu pejabat, Nizar walaupun di susuknya terpancar keletihan sempat menyapa saya yang terpingga-pinga menanti kehadirannya.

"Hah... masih di sini lagi?" tanya beliau tersenyum dan menyua tangan untuk bersalaman dengan saya yang agak gamam.Ya, kali terakhir bertemu beliau di kediaman rasmi Menteri Besar tahun lalu bagi mendapat gambaran kehidupan peribadi bersama keluarganya tercinta yang dirakamkan dalam artikel Harakah bertajuk:'Siapa Sangka Nizar jadi MB...'

Dulu, kini tidak berubah. Masih dengan suara lantang, kemas ayat dan tersusun bicaranya. Yang paling menyebakkan dada, ialah ketenangannya sebagai seorang pemimpin biarpun dilanda 'badai' menghempas dan 'api' marak mencabar.

Sebelum pulang, beliau sempat meminta maaf kepada para wartawan yang terpaksa seharian 'mengejarnya', menunggu dan terpaksa berhujan untuk mendapat jawapan daripadanya yang ketika itu berada di Istana Kinta.

"Saya minta maaflah kepada anda kerana terpaksa berhujan menunggu saya di luar istana. Saya percaya anda semua keletihan." katanya lantas meminta diri untuk solat Magrib.

Wartawan khususnya media alternatif, petugas PAS dan penyokong yang sudah berada di sekitar pejabat yang semakin ramai kelihatan ceria mendengar penjelasan Nizar.

Suasana pekarangan pejabat cukup meriah dengan kehadiran pelbagai pihak dan individu.Orang ramai yang muncul entah dari mana memenuhi sekitar pejabat PAS. Ada yang berkopiah, berbaju biasa. Berpakaian 'rugged' pun ada.Tidak lupa orang Cina dan India yang datang, masing-masing mahu mendapat jawapan tepat situasi sebenar.

Pegawai Khas Menteri Besar Idham Lim membawa beberapa kampit beras untuk bekalan kepada pejabat PAS manakala tiba sebuah van 'catering' membawa makanan, lauk kari ayam dan sayur campur untuk dijamu kepada semua yang hadir tak kira siapa.

Kemudian tiba sepasukan 'Tentera Merah' Unit Amal Perak yang mula setia berkawal termasuk di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar.Suasana sebenarnya aman. Tiada perhimpunan atau situasi huru-hara, dan tiada kawalan keselamtan oleh FRU atau anggota polis di Bangunan Kerajaan seperti digembar-gemburkan pihak tidak bertanggunjawab.


* "YAB Ir Nizar, kami semua sayangkan Tuan".

No comments: