Wednesday, December 24, 2008

Selamat datang buat diriku

Selamat datang buat diri sendiri ke Semeser 2, sessi 08/09 di Taman Ilmu dan Budi.

AlhamduliLlah. Keputusan imtihan semester lepas telah disemak dan berkat pertolongan Allah SWT dan doa-doa mereka yang menyayangi Syauqah, natijah yang tidak disangka-sangka telah dikurniakan oleh-Nya kepada Syauqah. Syukran ALLAH, terima kasih Mu'allimin mu'allimat, MakAbah Tercinta, Adik-beradik kandung dan Jamaah, sahabat-sahabat dan semua yang mendoakan Syauqah.

Semester ni bermakna Syauqah dah menginjak ke tahun akhir di Hadiqatul Ilm wal Fadhilah ni. Maknanya, lengkaplah tiga kali Pilihanraya Kampus yang sepatutnya Syauqah lalui. Tapi PRK yang diunggu-tunggu tidak muncul. Malukah dia? Atau telah mati dibunuh tangan-tangan kejam? Hmm... Syauqah masih ternanti-nanti dan berharap PRK akan muncul lagi semester ini. Syauqah bukan apa, PRK kan hak mahasiswa.

'Ala kulli hal, Syauqah nak mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua sahabat-sahabat sebatch dan yang senior dan junior yang telah selamat mendirikan rumah tangga (bait muslim insyaALLAH) sepanjang cuti semester 5 minggu tu. Semoga diberkati ALLAH SWT. Syauqah tak dapat pergi atas sebab jauh dan yang mana sempat pergi tu, AlhamduliLlah.


Selamat meneruskan perjuangan di medan jihad masing-masing!

Monday, November 03, 2008

Rencam Rasa

Hmm.. examination sem ni rasa macam nak buat permintaan untuk tambah setengah jam lagi untuk semua paper... Keempat-empat paper yang dah lepas, bagi nak tercabut lengan menulis. TAK SEMPAT !!! Banyak lagi nak ditulis.

Seperti yang soalhati.blogspot.com ceritakan tentang fe'el kawan-kawan beliau selepas tamat paper EAP tu, macam tu lah juga Syauqah. Geram. Nak tulis banyak lagi.

Apa-apa pun, Syauqah tetap bersyukur kerana setakat yang dah Syauqah lalui, AlhamduliLlah boleh dijawab. Tapi markah tu tak tahu lah banyak mana sebab bergantung juga pada skema jawapan mu'allimin wa mu'allimat Syauqah yang baik-baik hati belaka ni.

Syauqah juga gembira sebab peristiwa yang penting dalam hidup Syauqah berjalan dengan lancar setelah tawakkal Syauqah sandar dan gantung pada ALLAH SWT. InsyaAllah itulah yang terbaik untuk Syauqah dan masa depan Syauqah.


Hmm.. dalam setiap apa yang berlaku, kita kena tenang hadapinya kerana dalam setiapnya terselit hikmah yang tidak tercapai dek fikiran kita. Syauqah kena tenang dan terus berusaha hadapi hidup ini dengan sehabis baik. Syauqah kena jadi Mukminah yang BERJAYA! (^_^)

Monday, October 27, 2008

JiHAD Akademik

BismiLlahirrahmanirrahim.

AlhamduliLlah. Setelah 4 bulan melalui rutin ke kelas, sampai juga ke detik jihad dengan qalam. Ada sorang kenalan Syauqah dulu ketika di matrikulasi UIA (sekarang CFS PJ) pelajar Kulliyyah of Medicene sangat seronok bila tiba musim peperiksaan. Ditanya kenapa awak gembira bila tiba masa peperiksaan. Jawapannya seperti biasa, "dah penat belajar. Lepas ni boleh cuti! hehe." Tapi, kami yang lain ni, dah sesak nafas kerana gementar berhadapan dengan peperiksaan.

Itulah bezanya seorang pelajar yang telah cukup persediaannya menghadapi peperiksaan dengan yang belum cukup bersedia. Bila sentiasa belajar dan ulangkaji, gementar itu dapat ditukarkan kepada kegembiraan. (bila Syauqah boleh jadi macam senior saya ni ye..?)


Justeru, memandangkan UIAM Gombak ni dalam fatrah imtihan, Syauqah ambil kesempatan ini mengucapkan SeLaMat MeNeMPuH JiHaD AkaDemiK ini. JiHAD bermaksud ibadat juga, amalan yang baik. Makanya, berMUJAHADAHlah sahabat-sahabatku! \(^_^)


Buat adik sahabat Syauqah yang bakal menduduki SPM, Hannani, "AlL the BEST!" akak ucapkan ye. Moga kejayaan milik Nani, insyaALLAH ;)


Juga buat adik-adik yang pernah mengikuti program-program motivasi yang Syauqah jadi salah seorang tenaga penganjur mahupun fasilitator, Syauqah ucapkan SeLaMaT BerJAYA! :) (Maahad Ahmadiah, Gemenceh; SMK Meru, Klang; SK Rantau Panjang; SMKA Kerian; SMKA Al-Irshad; SMKA Nibong Tebal; SMKA Al-Mashoor L & P; SMK Puteri Wilayah, dll.)

Doakan saya juga ye. Di bawah adalah subjek-subjek dan tarikh peperiksaan akhir semester Syauqah kali ini, sem 1 2008/2009;

29th Oct Islah & Tajdid in Islamic Movements
30th Oct Political Economy of Malaysia

31st Oct Political Thought II

3rd Nov Comparative Politics in Muslim World
6th Nov Methods of Dakwah



Doakan Syauqah dan sahabat-sahabat yang lain ye!

Sunday, October 05, 2008

Syawal 1429

AlhamduliLLah.. ALLAH Maha Agung.. Segala puji-pujian hanya untuk-Nya.

Esok malam dah nak pulang semula ke kampus. Tengahari tadi, Atuk kepada salah seorang sahabat baik Syauqah menghembuskan nafas terakhir dan kembali kepada Pencipta Sejagat Alam. InnaliLlahi wainna ilaihi raaji'uun. Seorang lagi sahabat Syauqah menghantar Bonda tersayang beliau kembali kepada ALLAH pada pagi 1 Syawal lepas. Pilunya hati mendengar khabar demikian. Syauqah tahu sedih rasanya tapi Syauqah juga tahu yang sahabat-sahabat Syauqah redha dengan pemergian orang yang mereka sayangi. Sabar dan tenanglah duhai sahabat-sahabatku. Doakan semoga ruh mereka dicucuri Rahmat daripada Tuhan Ar-Rahman.

1 Syawal sehinggalah hari ke 4 Syawal Syauqah yang baru berlalu, terisi dengan melayan tetamu dan menjadi tetamu (hehe). Seronok melayan tetamu walaupun letih selepas tu. Tangan pun mengelupas sebab banyak guna sabun buat mencuci pinggan mangkuk, periuk belanga, sudu garfu, cawan dan gelas. Tapi semua tu sangat seronok Syauqah lakukan. Terasa benar bezanya beraya dalam usia menginjak dewasa berbanding di zaman kanak-kanak dulu (^_^)

Rumah Aidilfitri kali ni berwarna garang dek pengaruh warna merah langsir. Pilihan MakTercinta. MakTercinta yang jahitkan sendiri (bilalah pula Syauqah nak pandai jahit macam Mak ni?). MakTercinta memang sangat pandai urus masa. Sudahlah susah menjaga kami 4 beradik, ditambah pula 1000 lebih 'anak' di sekolah. Mana tak nya, MakTercinta Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Ini bermakna, semua murid di sekolah tu menjadi tanggungjawab MakTercintalah mengurus kebajikan mereka. TAHNIAH buat MakTercinta! (^^,)/
Baju raya kami adik beradik ada yang MakTercinta jahitkan. Terima Kasih sekali lagi Mak. Mak tak pernah hampakan kami. Hmm, 1 Syawal kami bergambar. Semua pakai baju hitam kecuali AbangTercinta. Sengaja nak kecualikan diri konon-konon eksklusif sebab lain daripada semua (huh! takpa. tak mau jadi geng kami).

Raya ke-2, MakAbah, Abang, dan Adik-adik beraya di kampung Abah, di Parit Buntar dan sekitar utara Perak. Syauqah tak dapat berjejak bersama-sama mereka kerana kondisi diri yang kurang sihat (ha! bukan demam ketupat ek, tapi tak sedap badan la..). Jadi Syauqah menemani TokTercinta (nenek) di rumah melayan sanak saudara yang berkunjung lagi ke teratak dhaif kami (walaupun dhaif, tapi inilah Baiti Jannati tau.. ;-)

Raya ke-3 menerima kunjungan sahabat TerBAIK. Terima kasih kerana sudi datang. Banyak yang dibincangkan. AlhamduliLlah. Bertukar-tukar kisah dan cerita dengan seisi keluarga (bijak juga sahabat Syauqah ni masuk dengan keluarga Syauqah. Tak rugi MakAyah hantar belajar tinggi-tinggi hehe ;-).

Raya ke-4, Syauqah memenuhi undangan pimpinan PISA baru ke Open HoUsE RaYa PISA di Dewan Ahmad Badawi, Butterworth. AlhamduliLlah berjalan lancar walaupun kehadiran pada awalnya half house saja, akhirnya menjadi full house juga. Tahniah ye buat Adik-adik MT baru PISA! (^_^). Hmm di majlis ni, Syauqah bertemu dengan sahabat PISA yang dah lama tidak ketemu, Sdr Azrul Zabidi. AlhamduliLlah. Aidilfitri buatkan kita semua merapatkan ukhuwah kerana ALLAH SWT.

Di sini Syauqah bentangkan album raya Syauqah ahun ni. AlhamduliLlah. Seronoknya lain macam je. Mungkinkah ini Ramadhan dan Syawal terakhir buat Syauqah? ALLAHu ta'ala a'lam.


AlhamduliLlah. Dah bertahun tak sempat ambil gambar walaupun 1 snap gambar My HaPPy FamILy. Dengan kemajuan teknologi digicam masa kini, impian kami dapat direalisasikan! =p


AbahTercinta sedang melayan anak murid MakTercinta sementara MakTercinta menyediakan air di dapur. Syauqah buat apa masa ni tak tolong Mak? Syauqah duk melayan kawan-kawan masa sekolah rendah adik bongsu Syauqah yakni Mira di ruang tamu.

Syauqah adik beradik bersama TokTercinta (nenek).

OpeN HouSe PISA (abaikan tarikh dan masa tu ye. Tak set betul-betul)

Adik-adik junior Irshad yang dijumpai semula melalui wasilah PISA. Sayang adik-adik semua!


Tuesday, September 23, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Fitri


SElAMaT HaRi RaYa AiDiLfiTRi 1429 H

Selamat Hari Raya buat semua. Maaf Zahir Batin saya mohon pada semua pengunjung blog saya ni... Terutamanya yang selalu berasa kecewa bila view blog ni, entry nya tak diupdate. Maaaffff ssaaaannggaaattt.......!

Lepas satu event, satu event... Teringin nak jadikan blog tempat luahan seharian, tapi tak dapat nak buat macam tu. SRC UIAM memang dah buat yang terbaik untum wireless kat kampus ni, tapi saya tak dapat lagi nak menikmatinya sebab laptop masih belum bersih daripada virus. Orang kata sebab tu saya tak dapat connect dengan iiumcommunity (signal wireless) tu. Tak tahulah bila saya nak minta bantuan junior saya, Mahyuddin untuk betulkan laptop saya ni.

AlhamduliLlah sepanjang Ramadhan ni sangat mewah rezeki yang saya terima. Hampir setiap hari akan ada jemputan iftar, kongsi makanan dengan sahabat-sahabat, dibelanja sahabat-sahabat. Selalu saja walaupun 10sen dihalalkan oleh sahabat, saya jadi terharu dan sebak... "AlhamduliLlah... atas rezeki-Mu, ya Allah.. terima kasih."

Di hujung-hujung Ramadhan ni, duit-duit yang dilaburkan untuk CONVEST'08 AlhamduliLlah telah dapat claim semula. AlhamduliLlah. Dapatlah beli pakaian untuk raya nanti. Hari tu, dapat duit zakat daripada sorang hamba Allah ni. Terima kasih pada beliau. Saya rasa saya tahu gerangan hamba Allah tersebut, tapi saya diamkan saja sebab saya tahu dia tak nak saya tahu dirinya. Melalui orang tengah tu, katanya, "Zakat untuk pejuang di jalan Allah..." Lantas terdetik dalam hati, "Layakkah aku bergelar pejuang??"

Semalam, tubuh dah terketar-ketar kerana tak makan nasi lagi. Tanya pada sahabat, "Ada makanan lebih tak iftar kulliyyahnya tadi." Terus dia bawa saya ke tempat program Maghrib tu. AlhamduliLlah ada lagi nasi yang berbaki untuk saya isi perut ini... AlhamduliLlah. Terima kasih Allah SWT. Petang ni ada iftor batch persatuan yang saya sertai, insyaAllah ada yang menaja makanan.

Bila pernah rasa kesusahan ini, saya pasti akan ingat keperitannya dan ini mengajar saya ertinya pengorbanan dan bersedekah. Bila saya dah rasa susahnya tidak berwang banyak ni, kelak bila masanya poket saya penuh, saya wajib menghulurkan pada orang lain. Kerana mereka tidak menceritakan kesusahan mereka, tapi mereka berdoa pada-Nya semoga ada rezeki untuk mereka. Pada harta kita, ada bahagian rezeki orang lain juga. Insya-Allah, moga saya akan ingat apa yang saya katakan ini. Kepada sahabat-sahabat dan yang bakal hidup bersama saya, tolong ingatkan saya kalau saya terlupa hal ni.


'Ala kulli hal, saya dah melalut cerita lain pula. Sebenarnya nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua yang mengenali diri ini, dan kepada yang tak kenal saya tapi saya kenal dirinya.. ;-)

Maaf Zahir & Batin terutamanya buat Mak Abah, Abang, adik-adik yang dikasihi Zaida dan Zamira..

Maaf Zahir & Batin buat keluarga di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan seluruh negara, dan di seluruh dunia..

Maaf Zahir & Batin buat guru-guru Taski Kg Kastam, guru-guru SK Sg Nyiur, guru-guru SK Bgn Ajam, guru-guru SK Kuala Muda, guru-guru SMA Wawasan Al-Hidayah Al-Islamiyyah, guru-guru SMK Seri Muda, dan guru-guru SMKA Al-Irshad. Juga tidak dilupakan pensyarah-pensyarah di Matrikulasi UIAM (sekarang CFS), serta pensyarah-pensyarah di UIAM.

Maaf Zahir & Batin buat sahabat-sahabat Ma'ruf Club; buat Hidayat, Hayaty, kak Hawa, Ili Raihana, Ruqayyah, Sabariah, Rafidah, Izzah, Ain, Dzunnur dan ramai lagi, juga sahabat-sahabat Muslimin yang lain yang sama-sama berjuang sejak dulu lagi.

Maaf Zahir & Batin buat senior-senior yang kukenali yang selalu memberi kata semangat sama ada dalam perjuangan akademik mahupun jihad dakwah; sdr Amin Idris, Kang Zayd, akh Syafawi, dan kak simple_shida yang amat disayangi dan menyayangi saya.


Akhir kata, SeLaMat HaRi RaYa...!! (^_^)

Tuesday, July 29, 2008

Dah hampir sebulan...

Salam'alyk.

Rupa-rupanya dah hampir sebulan sesawang saya ni tidak diupdate, maka memang bersawanglah blog saya ni.

Semester baru telah bermula bagi saya bila kaki melangkah ke bumi UIA ni pada 1July08, ketika sahabat-sahabat atau students UIA lain masih di rumah bersenda kasih mesra dengan ahli family. Jeles! Cemburu! Itulah kalimat biasa yang acap kali mendesak hati saya. Pulang ke kampung sudahlah lewat daripada orang lain, kembali ke kampus juga lebih awal daripada orang lain.

Teringat pernah satu hari, ketika cuti semester 3 bulan, ketika itu saya tidak mengambil semester 3, MakTercinta pernah tidak mahu menerima huluran salam daripada saya kerana setiap hujung minggu saya pasti akan keluar menjadi urusetia program-program kemasyarakatan, program tarbiyah, menghadiri mesyuarat-mesyuarat, dan segala hal untuk masyarakat terutamanya generasi muda. Cuti saya kata MakTercinta bukanlah cuti tapi hari bekerja lebih daripada orang lain. MakTercinta barangkali cemburu dengan masa yang saya luangkan lebih kepada orang lain daripada beliau. Kasihan MakTercinta.

Lalu, sepanjang perjalanan saya ke tempat program, air mata menitis tidak henti-henti. Hati sebak tidak terkata. Tapi tangisan tu masih bisu. Tidak berbunyi melainkan sedu yang tertahan di dada. Bila AbahTercinta parking kereta sejurus tiba di tempat program, sebak dan sedan tidak tertahan lagi, terus terhambur ketika bersalam tangan hangat kasih AbahTercinta. Saya katakan pada Abah, "Abah teranglah kat Mak pasal tarbiyah. Abah bagitahulah kat Mak pasal Jemaah..." Abah dengan nada mendatar memujuk hati saya, "Tak apa. Nanti Mak ok lah tu. Abah bagitahu nanti kat Mak. Balik nanti macam mana?" Dengan sedu sedan yang berbaki, saya menuturkan, "Wani balik dengan kakChik..." (kakChik adalah nama panggilan kepada Bendahari DMPNPP). AbahTercinta menyambung kalimah dengan tenang, "Takpalah. InsyaAllah semua selamat. Jangan risau Mak tu. Nanti ok lah..."

Sepanjang program kemasyarakatan tu, saya pujuk hati dengan sibuk bekerja, menjiwai program, menghiburkan hati dengan keletah peserta kanak-kanak, melihat kelaku warga ibu melayan anak-anak, dan berkongsi pengalaman dengan pimpinan pelbagai peringkat. Menghampirkan diri dengan masyarakat bukan Melayu juga saya lakukan. Saya niatkan dalam hati, pahala kerja-kerja Islam ini adalah untuk Mak dan Abah yang membesarkan saya dengan tarbiyah yang baik dan lurus. Semoga MakTercinta memaafkan saya yang sentiasa sibuk dengan kerja-kerja Islam.

Kepulangan saya dihantar kakChik. Kebetulan, kakChik ada urusan konsultan motivasi di sekolah tempat MakTercinta mengajar. Saya naik meluru ke bilik MakTercinta. Dalam hati saya berdoa moga kata-kata AbahTercinta telah berjaya melembutkan hati MakTercinta. Pintu kamar kerja Mak saya kuak dan sambil tersenyum saya berikan salam. MakTercinta terkejut dan mejawab salam. Tampang MakTercinta saya dekati dengan tangan terhulur. "Maafkan wani, Mak..." Tubuh MakTercinta saya dakap dan pipi MakTercinta saya kucup. MakTercinta tersenyum dan pura-pura bertanya datang dengan siapa. Saya tahu MakTercinta menahan sebak dan terharu.

Sejak peristiwa tu, saya selalu ungkapkan pada MakTercinta yang kami anak-anak MakTercinta bekerja untuk Islam. Dalam setiap gerak kerja kami, anak-anak yang Mak lahirkan, ada pahala untuk MakTercinta di akhirat nanti kerana melahir dan mendidik kami sehingga kami memilih jalan dakwah dalam hidup kami. Doa yang kami harapkan daripada MakTercinta ialah semoga kami sentiasa ikhlas dan terus istiqamah atas jalan ini.

Bila saya dan AbangTercinta terpaksa korbankan masa kami untuk mesyuarat dan kerja-kerja dakwah, MakTercinta sekarang tidak lagi membantah. Saya katakan pada AbangTercinta, "Kita kena mengkualitikan masa bila bersama family". Oleh sebab itu, bila saya pulang ke kampung, kami sekeluarga akan keluar berjalan-jalan. Kalau tak berekreasi, kami shopping sama-sama. Bersenda gurau dan berkongsi cerita hati. Semaksimumnya masa saya peruntukkan untuk berbual dengan Mak dan Abah, Adik-adik dan Abang. AlhamduliLlah. MakTercinta juga sudah bersama-sama kami dalam jalan perjuangan ni, sama-sama menyokong dan menyumbang, baik buah fikiran, kata-kata motivasi, mahupun tenaga dan harta. AlhamduliLlah. Terima kasih MakTercinta. Kami anak-anak Mak semua sayangkan Mak.. ;)


Semester ini, seperti semester-semester 1 yang lalu, semester yang sangat sibuk. PTPTN partial yang saya dapat sudah berbaki berapa ringgit sahaja. Yuran masih belum dijelaskan. Mujurlah boleh ditangguhkan bayarannya. Tapi saya bersyukur kerana mempunyai Mak dan Abah yang tidak lokek kepada anak-anak mereka. Namun manakan sanggup sokmo minta duit. Kena juga berjimat dan cari duit sendiri.

Hmm.... adik-adik junior menjadi sumber kekuatan. Melihat kesibukan sahabat-sahabat pimpinan menuntut saya menghargai masa yang ada dan kurdat yang masih bersisa. Jadilah mereka sebagai motivasi kepada saya yang berada di bawah supaya terus bekerja tidak kenal penat dan lelah.

Doa komohon daripada kalian.
Maaf tintaku kali ini lebih kepada luahan dari lubuk sukma.


Semester ini harus kulalui dengan JAYAnya!
Agenda DAKWAH dan AKADEMIK!


Ikrar seorang Nur Hazwani.

Friday, June 27, 2008

PISA membantah Intensif RM1 juta Sukan Olimpik

PISA membantah Intensif RM1 juta Sukan Olimpik


Merujuk kepada pengumuman yang telah dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberikan wang intensif RM1 juta kepada atlet Malaysia yang memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik di Beijing 2008, Penang Muslim Students Association (PISA) membantah tindakan tersebut atas beberapa sebab yang munasabah. Ganjaran yang bakal diberikan pada kali ini meningkat terlalu tinggi berbanding RM160 000 sebelumnya.

Melihat kepada keadaan masyarakat Malaysia yang semakin terhimpit kerana peningkatan taraf hidup terutamanya setelah harga minyak naik, tindakan menambah ganjaran atlet sukan ini adalah tidak wajar. PISA tidak menafikan kepentingan atlet sukan dalam mengharumkan nama Malaysia di arena sukan dunia, tetapi ganjaran itu biarlah berpada dan mengambil berat kepentingan rakyat seluruhnya.

PISA menyoal kewajaran tindakan ini yang mana hanya akan menjadikan atlet negara berjuang hanyalah untuk ganjaran material berbanding kecintaan kepada negara. Atlet hanyalah kumpulan minoriti di Malaysia yang di'anak emas'kan sedangkan majoriti rakyat negara ini semakin dihimpit kesusahan dan lebih wajar diberi keutamaan.

Barisan kerajaan Malaysia disarankan untuk bertindak lebih baik dan berhati-hati dalam menguruskan kewangan negara. Kebajikan rakyat majoriti terutamanya golongan marhaen sepatutnya diberi tumpuan yang lebih. Kerajaan juga diharap agar mendengar suara rakyat dari akar umbi supaya tidak menimbulkan amarah mereka yang mungkin akan menggugat keamanan negara seterusnya menjadikan ekonomi Malaysia tidak stabil.


Nur Hazwani Hamid
Timbalan Presiden
PENANG MUSLIM STUDENTS ASSOCIATION (PISA)
Kepala Batas
Pulau Pinang

Wednesday, June 25, 2008

Pemergianmu, Cikgu

BismiLlahirrahmanirrahim

AlhamduliLlah was solatuwassalamu 'ala RasuliLlah.

1 Jun 2008, setelah sepotong SMS saya layangkan masuk ke dalam telefon bimbit Mak, Abah, Abang, sahabat akrab, dan kak Ashidah, mohon didoakan kejayaan saya untuk peperiksaan hari esok dan lusanya, telefon berdering lagu 'Kekasih Allah' tanda ada panggilan masuk. Tertera nama, "AbahkuBaik". 'Aik, Abah telefon...' kata saya dalam hati. Abah memang begitu. Bila dapat SMS mohon doakan saya, Abah pasti akan telefon memberikan kata-kata semangat.

Panggilan dijawab. Setelah bercakap-cakap tentang peperiksaan pertengahan semester tersebut, telefon bimbit Abah diserahkan kepada Mak pula. Mak tanya serba sedikit tentang peperiksaan, kemudian memberitahu yang Mak dan Abah baru bertolak pulang dari Kelantan kerana menghadiri walimah urus sepupu.

Kemudian, Mak menyampaikan satu berita yang mengundang hiba pada sekeping hati saya. Topik dimulakan dengan ayat,
"Wani kenal cikgu Anisah?".
"Cikgu Anisah Mohd Taib kah?".
"Ya. Cikgu Anisah yang ajar wani Sejarah dulu tu.."
"Kenapa, Mak? Meninggalkah?" Saya bertanya dalam nada perlahan. Saya telah maklum yang cikgu saya baru jalani pembedahan buang rahim.
"Ya. Semalam pukul 8. Mak tak sempatlah nak pergi. Di Kelantan lagi ni.."
InnaliLlahi wa inna ilaihi raji'un terpacul dari bibir saya.

Allahyarham Cikgu Anisah Mohd Taib banyak mengajar saya ilmu Sejarah. Bila ustaz Hasrizal Abdul Jamil (saifulislam.com) mencoretkan perihal bosannya belajar matapelajaran Sejarah sewaktu sekolah, saya tidak merasakan begitu.

Allahyarham Anisah Hj Mohd Taib adalah guru yang mengajar saya ilmu Sejarah dan kehidupan. Beliau mendidik dengan penuh dedikasi. Mengajar saya untuk berdisiplin, sistematik dan kemas dalam melakukan kerja. Dan yang paling penting ialah tidak tidur dalam kelas.

Cikgu Anisah seorang yang sangat tegas. Lagak jalannya sudah menunjukkan ketegasan beliau. Tapi senyuman dan ketawa cikgu melampirkan watak keibuannya. Cikgu sangat ingat pelajar-pelajarnya, tambah-tambahlah saya yang merupakan anak kepada sahabat baik beliau, Mak saya.

Cikgu Anisah sangat cemerlang dalam melakukan apa jua tugasan. Sebagai guru rumah sukan, Cikgu berhempas pulas memberikan sepenuh tenaga dan kemampuan Cikgu dalam memastikan rumah sukan di bawah seliannya menjadi juara.

Cikgu Anisah memberikan saya satu peluang kecemerlangan yang tidak dapat saya lupakan. Melalui Cikgulah saya berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Esei Sejarah peringkat negeri Pulau Pinang. AlhamduliLlah. Itu adalah antara kejayaan terbesar saya sewaktu di zaman persekolahan dahulu.

Kata-kata dorongan dan semangat yang beliau berikan sangat bermakna dan mengesankan. Saya tidak akan berada dalam bidang pengajian saya sekarang jika bukan kerana ilmu yang beliau turunkan.

Terima Kasih, Cikgu Anisah.

Semoga ALLAH mengampunkan segala dosa-dosamu,
Semoga ALLAH merahmati Cikgu,
Semoga ALLAH mengira setiap huruf yang Cikgu ajarkan pada semua anak muridmu sebagai amal jariah; ilmu yang dimanfaatkan.

Terima Kasih, Allah kerana mengurniakan wani Guru sebaik beliau.

Ameen Ya Rabbal 'Alamin.

BIDUK PATAH KEMUDI

Ketika dunia masih berkabus dia pergi meninggalkan aku. Gerimis turun kesedihan. Lalu aku beredar meninggalkan pulau kecewa. Menaiki biduk kecil tidak bertuan. Membelah ombak yang menggulung hiba. Mencerai percikan air dengan tubir pendayung duka. Tanpa disangka, kemudiku patah dan aku tersadai. Terkandas di pulau tidak bernama. Lalu kunamakan ia Pulau Sepi.

Aku terdampar di pulau ini. Sunyi dan terus menanti. Mengharap muncul seseorang yang membawaku pergi. Lama aku di situ, bermain sendiri. Yang menyanyi untukku adalah alunan angin dicelah pepohon. Yang menyapa tubuhku adalah bayang-bayang tidak berisi. Tiada suara, tiada bahasa yang dapatku fahami. Hanya ada desir dan gemersik. Aku jadi bisu.

Seawall berada di pulau itu, aku fikir sendiri akan buta. Pendengaranku akan hilang perlahan-lahan. Akal warasku akan tumpul kewajaran. Sehingga jasadku akan mongering dan aku mati kelaparan. Saat itu aku rasakan kaki dan tanganku kaku, saraf- saraf di tubuhku hilang rasa, arteri-arteri yang meluru ke jantungku terputus.

Lalu aku membuka kembali simpulan janji. Aku satukan hati. Aku tahu aku perlu terus hidup. Terus menjaga diri sendiri agar tidak mensia-siakan setiap peluang kehidupan yang ada. Aku cuba mengingatkan diri tentang masa depan, tentang harapan. Aku perlu berteguh walau apa jua keadaan. Aku cuba mengungatkan diri di sisi insane ada Tuhan. Ada kuasa yang sentiasa mendengar dan melihat. Yang menghidupkan dan mematikan. Yang merosakkan dan menyuburkan. Yang mengawal segalanya. Perlahan aku menemukan kekuatan.

Darah kembali mengepam jantungku. Saraf-sarafku mencucuk kesakitan dan aku mengaduh. Deriaku kembali mencicip rasa. Mamaksa aku bangkit dan mencari sesuatu untuk meneruskan kehidupan. Tubuh letai itu kugagahi untuk bangun. Aku harus berbicara. Tidak boleh membiarkan sendiri jadi bisu.

Biduk patah kemudi tersesat di lautan,
Teringat Tuan Puteri yang muncul dalam ingatan,
Tugu kasih tinggal kenangan,
Namun hidupku tetap diteruskan.


Entah mengapa, pemergiannya buat aku kesal. Baharu aku tahu, dia sangat istimewa. Walaupun dia Cuma singgah seketika di nubari, namun figurnya telah bermukim di lubuk hati. Dia seolah kekal di situ walaupun takdir menyatakan dia tiada lagi.

Kredit buat penulis A. Ubaidillah Alias, Warkah Cinta Berbau Syurga, PTS Kuala Lumpur, 2008.

Mengamati setiap kalimah dalam novel ini membawaku menyelak kenangan lalu. Ada rasa, ada jiwa yang memahami. Ditambah dengan latar suasana yang juga pernahku gambarkan dalam realiti; sungai Nil, Khan Khalili, Hayyu Sabiek dan lain-lain, menjadikan kisah ini hidup. Musim soifi dan syitanya terasa jelas di retina mata.

AlhamduliLlah. Sepertiga awal cutiku terisi dengan novel membina jiwa ini. Terima kasih, Allah… dan terima kasih kepada yang berusaha dalam menerbitkan novel ini. BarakaLlahulakum.

Sahabat-sahabat, belilah buku ini! (^_^)
[Saya rasa saya nak jual pula novel ni, selain Tautan Hati dan Syabab Musafir Kasih.. hmm…]

Ada beberapa lagi agenda yang perlu aku langsaikan sebelum pulang ke kampus tanggal 1Julai nanti. Antaranya;
1. Report hasil menyuarat dengan penasihat unit dalam persatuan
2. Buat mind mapping silibus usrah (setakat termampu)
3. Habiskan buku ‘Dunia Tanpa Suami’ jilid 1 (kisah-kisah semangat golongan andartu)
4. Hafaz surah-surah pilihan (untuk persediaan awal kelas Special Tahfiz sem depan)

Yang telah berjaya dilaksanakan;
1. Habiskan buku ‘Dunia Tanpa Suami’ jilid 2
(hasil tulisan kisah benar isteri-isteri tahanan ISA)
2. Baca novel ‘Warkah Cinta Berbau Syurga’ –A. Ubaidillah Alias
(Abang yang beli, jadi ia pasti bermesej)
3. Buat kek coklat dan sambut tetamu
(hehehe =p Terima kasih kepada seisi keluarga yang membantu wani)

Hmm… Dapatkah aku selesaikan 4 lagi agenda di atas tu? Bukan 4 saja, ada lagi pecahan-pecahan di bawahnya. Harap-harap aku dapat sentuh semua perkara walaupun tidak berjaya disempurnakan secara keseluruhan.

Insya-Allah.

Monday, May 26, 2008

NuR TuHaN

Untuk semua.. terutamanya diri ini yang begitu lemah dan jauh dari-Mu, ya Allah...

Faghfirli... fa'fu'anni....


Nur Tuhan
Album : Penawar Hati
Munsyid : Hijjaz
http://liriknasyid.com

Tak terucap kepiluan ini
Titik hitam yg menghijab hati
Hitung dosa saat pergi takkan kembali
Sisa umur tidak undur lagi

#Perjalanan dalam kehidupan
Bukan jauh ketentuan datang
Mungkin esok takdir takkan dapat dihalang
Untung nasib di genggaman Tuhan

*Isi alam puspa warna
Bukti Tuhan Maha Kuasa
Ke manakah arah tuju
Hukum Tuhan pasti berlaku

Bukan tempat lalai leka
Di dunia bakti di tempah
Tanam budi luhur budi
Di akhirat tempat Abadi

(Ulang # & * sampai habis)

Tuesday, May 20, 2008

Jemputan ke Walimah Sahabatku

Buat sahabat-sahabat yang mengenali Siti Nur Fatimah bin Hasan, kalian semua dijemput dengan kasih sayang ke kediaman sahabat kita ini untuk memeriahkan dan memberi makna di hari bahagianya. Ceriakan hari bahagianya dengan senyuman ikhlas kalian...
Jom! (^_^)

Cover kad jemputan Fatimah


Hmm... kata-kata jemputan untuk kalian semua. Cuba baca bait-bait page ni. Macam Ibu (panggilan untuk Fatimah) buat sendiri... Indah dan bermakna... Ceewwah! ^_^


Peta ni sengaja saya besarkan supaya kalian nampak, tapi kalau tak nampak juga, mai jumpa saya k.

Hmm.. sebelum terlupa. Saya diminta oleh Ibu untuk tolong distribute kad Ibu pada semua sahabat-sahabat yang ambil sem3 ni. Ibu bagi setiap orang. Kalau ada yang tak dapat lagi, maklumkan pada saya ye. Mungkin terlepas pandang dan tercicir daripada list yang saya dan Hidayat buat. Pada yang tak wujud di bumi UIAM ni, korang ambil kad maya ni je lah ye.. ;p

Doakan kebaikan dan kebahagiaan Ibu kelak bersama bakal suami Ibu,

Mohd Solleh bin Abdul Razak.

Sahabat-sahabat, kita nak pergi dengan apa ni??

Wednesday, May 07, 2008

"Aku Terima Nikahnya"

Assalamu'alaikum warahimatuLlahi

Semua dijemput hadir ke Talkshow ini.
Pastinya ia sarat dengan ilmu yang boleh dijadikan bekalan dan panduan sepanjang hidup. Insya-Allah.

Semoga 'taman syurga' ini diberkat-Nya dan berjalan dengan lancar.





Ameen.

Tuesday, May 06, 2008

Nyawa Kedua

BismiLlahirrahmanirrahim wa shalatuwassalamu 'ala asyrafil anbiya'i wal mursalin.




"Kullunafsin zaaiqatul maut..."

Setiap yang hidup itu pasti akan merasa mati.

Presiden Ma'ruf Club dalam ucapan beliau baru-baru ini menganjurkan ahlinya untuk sentiasa mengingati mati. Dalam apa jua yang dilakukan, bila kita ingat pada kematian, pasti kita akan berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam apa jua bidang; akademik, persatuan, anak kepada Ayahanda dan Bonda, dan yang pastinya sebagai 'abid Allah SWT.

Hmm.. terfikir dan saya mengakuinya dalam hati. Betul juga apa yang dikatakan beliau. Adik junior yang duduk di sebelah saya sudah tersedu sedan menangis. Terkesan dengan apa yang sedang didengarnya, ditambah pula dengan pengalaman yang baru ditempuhi beliau, "hanyut dibawa arus sungai...!" pada 3 April 2008.

Kata adik-adik yang ditarbiyah secara langsung oleh Allah itu, "Rasa macam diberi nyawa kedua... AlhamduliLlah..." Dan ketika hanyut itu, apa yang terlintas di fikiran mereka hanyalah Allah... Allah... dan Allah. Iqamat, zikir, kalimah syahadah terus meluncur laju dari bibir mereka laksana lajunya arus yang menghanyutkan mereka. Sambil mata terpejam, "Aku redha. Ampuni segala dosa-dosaku, ya Allah... Mak Abah, saya tak sempat mohon maaf. Ampunkan saya ya... Allahu Akbar.."

Adik-adikku, kalian beruntung ditarbiyah sedemikian. Kalian pasti lebih terasa manisnya hidup dan manisnya iman serta tawakkal kepada Allah SWT. Kakak kalian ini tidak pasti sama ada apa yang kak rasakan ini wajar atau tidak; "Aku cemburu pada tarbiyah yang kalian peroleh!"

Kenapa kakak kalian ini cemburu? Sebab, dirinya tidak dipilih. Tapi kak sangat bersyukur kerana kak boleh ambil iktibar daripada kisah kalian. "Nyawa kedua". Hmm kakak kalian ini akan ingat calar balar dan birunya lebam ditubuh kalian. Andai kak yang berada di tempat kalian pada waktu itu, mungkin tidak sekuat kalian semua. Hati kak masih belum cukup kuat seperti kalian. Yang lebih tepatnya, iman kak tidak semapan iman kalian.

"Andai aku mati, ya Allah. Lindungilah mayatku, maruahku. Jangan biar auratku terbuka, ya Allah..."

Adikku yang disayangi, kak mungkin tidak terfikir ayat di atas akan terdetik dalam hati kak andai dibawa arus ketika itu. Suci dan bersihnya hatimu. Kau tetap tenang berhadapan dengan semua dugaan ini.

Adikku sayang, izinkan kakakmu ini juga merasai manisnya iman sepertimu. Indahnya tawakkal dalam hatimu. Nyamannya redha pada segala ketentuan-Nya.

Allah yang Maha Kaya dan Maha Pengasih, Maha Pengayang. Sayangilah adik-adikku ini. Sayangilah keluarga mereka. Kurniakanlah kami cinta-Mu, Ya Rahim...


"Nyawa kedua...." hmmm....

Monday, March 31, 2008

Masa Depan

BismiLlahirrahmanirrahim wa ba'da salawat 'ala RasuliLlah SAW.


Apa khabar semua? Dah lama sangat tak up date blog ni.. Dulu sebelum 8 Mac, sibuk dengan persiapan PRU_12, sekarang sibuk pula mengisi kemenangan.


AlhamduliLlah. Akhirnya 5 buah kerajaan negeri ditadbir oleh Barisan Alternatif. Ini merupakan satu cabaran buat kita semua. Meneladani kemenangan AKP di Turkey pada 2007 lepas, AKP yang pada 2002 dan 2004 memenangi beberapa kerusi di parlimen dan memenangi sedikit demi sedikit hati rakyat Turkey, harus diambil berat. AKP yang baru berusia 6 tahun adalah sebuah gerakan dinamik dan fleksibel. Mereka tidak pandai berkata-kata atau 'good orator' tetapi mereka mengamalkan konsep "lebih bekerja daripada bercakap".


Kemenangan AKP mungkin semakin tenggelam daripada perhatian masyarakat Malaysia yang pada tahun lepas sangat menggemparkan dunia, tetapi kali ini Malaysia mengambil tempat mengejutkan dunia dengan perubahan landskap politik Malaysia.


AlhamduliLlah perbandingan dua buah gelombang dan kemenangan ini berjaya memberi markah yang agak tinggi (18/20) pada assignment atau research project subjek Comparative Politics saya dan sahabat seperjuangan. Pembangunan dan perubahan yang dibawa oleh AKP kami bandingkan dengan kemenangan BA di Malaysia. Kesedaran di kalangan majoriti masyarakat di kedua-dua buah negara menjadi salah satu perkara yang dikaji. Sebagai konklusinya, harapan kami kepada kemenangan ini agar ia benar-benar diisi dengan penuh makna.


Semoga kerajaan baru di 5 buah negeri tersebut akan berjaya menonjolkan wajah Malaysia baru lantas cemerlang memenangi hati rakyat untuk memberikan Malaysia sebuah kerajaan baru yang lebih cerah 4 atau 5 tahun akan datang.


"Lebih bekerja daripada bercakap!"



Demi masa depan, imtihan akhir semester ni perlu dilalui dengan penuh semangat! Buat sahabat sahabat seperjuangan di UIAM, berjuang dan berjihadlah dengan mata pena kalian! Moga kita juga beroleh kemenangan dan berusaha keras serta bermunajat seperti mana kita sama-sama berjuang dengan poster dan bendera serta solat tahajjud dan hajat mendoakan kemenangan Islam!


Semoga kita beroleh kejayaan!


Monday, March 03, 2008

Masa depan anak.





Aku harus bijak bertindak hari ini untuk masa depan anak-anak yang belum kumiliki. Tertanya juga pada diri, 'Sempatkah aku memiliki anak?'. Tidak perlu dijawab soalan itu kerana hanya Allah SWT yang ada jawapannya. Andai pun tidak sempat untuk anak-anakku, aku boleh lakukan sesuatu untuk anak-anak saudaraku dan anak-anak sahabat-sahabatku, juga buat semua generasi baru Malaysia, tanah air tercinta.


8 Mac 2008 dan masa depan

Aku punya hak kali ini dan tiada siapa yang mampu menafikannya. Telah sekian lama aku menanti saat ini. Aku perlu lakukannya. Aku mesti lakukannya. Aku wajib tunaikannya.

Apakah aku mahu menghantar anakku ke masa depan yang megah dengan pencakar langit yang mengoyak jiwa hamba manusia yang menghuni? Apakah aku mahu menghantar anakku ke masa depan yang bangga dengan bilangan masjid yang sama banyak dengan pusat serenti? Atau aku mahu menyediakan sebuah kehidupan yang ada segala-galanya buat mereka…. kecuali damai, selamat, sejahtera, tenteram yang semua itu pernah dianggap tidak bermakna?

Mampukah anakku melihat cahaya ESOK jika HARI INI penuh korupsi? Mampukah anakku mengecap bahagia, jika teladan SEMALAM tidak ditoleh lantaran alpa?

Demi ESOK yang kuimpikan buat anak-anak yang kubawa ke kehidupan ini, aku harus bijak bertindak di HARI INI!

Ayuh warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas! Tunaikan hak anda demi masa depan anak-anak anda!
-Edited version from www.saifulislam.com

Sunday, February 03, 2008

Tiada erti 'weekend' untuk pejuang!

BismiLlahirrahmanirrahim

Salawat dan salam buat junjungan mulia RasuluLlah SAW.

AlhamduliLlah, hari ini saya berkesempatan mencoret sesuatu di blog saya ini. Telah banyak kali saya ditanya, "wani, bila nak update blog?" Ini adalah masalah saya. Saya selalu saja online, tapi untuk update blog saya sendiri saya rasa tak sempat. Saya rasa terlalu banyak bahan dan blog-blog lain yang perlu saya lawat dan baca. Mungkin saya masih belum hadam 'Erti Hidup Pada Memberi.' Hmm..?

Weekend terlalu sibuk dengan tugasan sebagai petugas Islam terutama menjelang PRU_12 ni. Melihat teman-teman berpeluh lenjun sudah cukup meletihkan pandangan, inikan pula diri yang merasa. Tapi ianya manis bila sinar purnama itu semakin kelihatan.

Masuk kelas, keluar kelas. Masuk kelas tuition, keluar kelas tuition. Makan di cafe, masuk masjid, pergi kulliyyah agama. Di semua tempat bercakap tentang pilihanraya ke-12 yang semakin hampir. Hatta couple yang duduk di cafe pun bercakap tentang topik ini. 'Ada juga political awareness dalam diri diorang. Ingatkan duk cakap tentang hati je..' ;-p

Kelakar bila tengok situasi sekarang. Mainan gurauan Pak Lah. Kempen UMNO, kempen PAS. Semuanya buatkan saya seronok dan ketar. Kenapa ketar? Sebab saya takut yang haq kalah. Tapi ust Nasharuddin Mat Isa ada sebut, "PAS tidak kalah, cuma belum MENANG." Hmm..?

Saya sempat bertanya kepada beberapa makcik dan pakcik yang pada ketika itu ringan pula mulut saya nak bertanya.

Saya: Makcik rasa-rasa pilihanraya kali ni macam mana? Makcik nak bagi peluang pada PAS kah?
Makcik 1: Makcik memang dari dulu lagi sokong PAS. Biarlah tak menang pun, makcik tetap akan jalankan tugas makcik sokong Islam. Keputusan tu nanti pada Allah SWT. Kita dah buat kerja, kita doalah. Tawakkal.

Saya: Makcik & pakcik rasa-rasa pilihanraya kali ini macam mana? Makcik nak bagi peluang pada PAS kah?
Makcik 2: Hmm tu makcik taktau lah, nak. Tengoklah macam mana nanti. Undi tu rahsia.

Pakcik 1: Pakcik tengok dulu. Pakcik kerja dengan kerajaan dah lama.

Makcik 3: Makcik kerja kat SPR dah 25 tahun. Makcik anak saudara pada Dato' Hassan, bekas Menteri Besar Selangor dulu. Faham-faham saja la ye. Terima kasih lah. Makcik dengan semua anak-anak makcik.

Hmm.. demikianlah beberapa respon yang sempat saya coretkan di sini. Anda fikirkan adakah anda ingin menjadi Makcik 1? Atau Makcik 2? Atau Pakcik 1? Atau Makcik 3?

Huh... pertama kali saya nak mengundi ni. Harap-harap nama saya ada dalam senarai pemilih ketika hari pembungan undi PRU ke-12 nanti. Semak di SPR sekarang ada, cuma takut-takut tak ada bila tiba hari tersebut.

Undi saya? Kata Datuk Siti Nurhaliza, "Biarlah rahsia.." hihi (^_^)