Wednesday, June 28, 2006

Berjalan, Melihat, Mentafsir



AlhamduliLlah... syukur kepada Allah atas limpah dan rahmat daripadaNya, saya dapat menghirup udara di tanah berlainan. Syukur tidak terkira atas ni'mat kurniaanNya yang telah membawa saya menjejak bumi Anbiya' melihat dan menziarah saudara seaqidah di sana. AlhamduliLlah, impian untuk ke sana telah Allah makbulkan dengan perantara wang daripada MakTercinta. AlhamduliLlah alhamduliLlah... AlhamduliLlah...

Perjalanan pengalaman berharga ini bermula pada 25 Mei 2006 sehingga 1 Jun 2006 lalu. Menelusuri sungai Nil, sahara, berjalan di persisir pantai Iskandariah, menjejak maqam-maqam anbiya', auliya', `ulama', dan bermacam-macam lagi, ternyata tiada alasan untuk saya memadamnya dari ingatan.

Lawatan ke Singapura, meneliti kehidupan Muslim minoriti di sana begitu terkesan. Di Mesir yang majoritinya adalah Muslim dengan kehidupan yang berbeza, di Singapura yang minoritinya Muslim juga berbeza, dan Malaysia juga dengan karekter Muslim yang berbeza.

Perjalanan yang panjang dan meletihkan akhirnya terubat setelah meliaht gampang Kekanda yang dirindui nian. Kekanda melambai dengan senyuman di bibir. Indah dirasakan tatkala itu. Bonda meluru pada Kekanda, anak sulung dan tunggal putera Bonda, memeluk erat dan kucupan Bonda singgah di pipi bersih Kekanda. Kucupan rindu seorang ibu yang terpisah sementara dengan anaknya hampir tiga tahun. Bonda menitiskan ai mata rindu dan terharu serta syukur dapat bertemu kembali dengan anakandanya yang dirindui.

Kubiarkan Bonda dan Ayahanda melepaskan rindu dan kasih sayang mereka yang tertahan sejak tiga tahun lalu, kemudian barulah tangan kuhulur untuk bersalaman dengan Kekanda tercinta. Tangan murni itu kukucup dengan penuh kesyukuran akhirnya bertemu Kekanda di bumi barakah itu. Orang sekeliling kuabaikan sebentar. Karenah pegawai imegresen di kaunter dalam tadi juga aku lupakan sebentar.

Memang benar kata Kekanda, tubuh Kanda sudah susut banyak. Mungkin kerana makanan ilmu terlalu banyak sehinggakan makanan jasmani itu tidak terkesankan tubuhnya. Teringat tulisan Kanda di belakang foto yang dikirimkan buat kami sekeluarga lewat tahun pertama Kanda di sana, ”Sekarang ni dah kurus sikit, baru macho”. Ayat tersebut segera membuatkan Ninda di rumah menangis dan kerisauan. Mana tidaknya, Kandalah cucu putera tunggal dalam keluarga. Kesihatan Kanda adalah paling penting bagi Ninda. Kalau Ninda tidak makan kerana hendak cukupkan suapan ke mulut Kanda pun Ninda sanggup. Ninda sanggup buat apa sahaja untuk Kanda. Ninda terlalu sayangkan Kanda.

Teringat pada satu masa ketika aku sedang menikmati juadah tengahari bersama Ninda di dapur. Hari itu hari biasa, bukan hari perayaan atau apa pun. Sengaja aku mainkan album lagu-lagu Ramadhan dan EidulFitr di radio kerana terasa rindu pada suasana EidulFitr. Tiba-tiba Ninda menangis teresak-esak di meja makan. Lantas aku bertanya, kenapa. Rupanya hati Ninda tersentuh dan terkenangkan Kanda bila mendengar laungan takbir raya di radio. Kata Ninda, ”Macam manalah Abang hang kat sana. Kesian dia, makan ka dak dia kat sana. Makan pun mesti tak sempurna.” Segara aku bangun untuk mematikan radio dan aku tenangkan Ninda dengan berkata bahawa kehidupan mereka di sana baik belaka. Mereka masak sendiri dan makanan di sana murah-murah. Ninda tidak perlu khuatir.

Ketika kami di sana, musim peperiksaan baru bermula. Seluruh institusi pendidikan di Mesir melalui waktu peperiksaan hampir serentak, tidak kira sekolah rendah, menengah mahupun universiti-universiti. Kanda masih mempunyai baki lima hari sebelum waraqah imtihan pertama Kanda. Kanda agak gusar memikirkannya memandangkan imtihan kali ini jugalah merupakan penentu samada Kanda adalah pelajar tiga tahun atau empat di Shoubro. Namun aku tenangkan dengan berkata, ”Moga berkat Abang gembirakan hati Mak dan Abah dengan layanan baik di sini akan menjadi pemudah yang Allah berikan pada Abang di hari imtihan nanti, insya-Allah.” Kanda mengaminkan doaku.

Hari pertama:
Tiba di lapangan terbang Kaherah mengundang sedikit simpati di hati ini. Sedih membandingkan KLIA dengan lapangan terbang Kaherah. Bahkan bukan sebesar KLIA, lapangan terbang Bayan Lepas pun tidak mampu ditandingi lapangan terbang Kaherah. Kekurangan dan terlalu sederhana.
Kata Kanda, sewaktu mereka mula-mula tiba tiga tahun lalu, keadaannya bahkan lebih teruk daripada itu. Sekarang semakin baik kerana mengikut nasihat Tun Dr Mahathir Mohamed yang menjadi penasihat ekonomi bagi tanah pelbagai tamadun itu, ”Mutu lapangan terbang adalah paling utama dan pertama perlu dinaiktarafkan kerana lapangan terbang merupakan gerbang pertama yang akan dilalui oleh pelancong dan pelabur luar negara.”


(bersambung...)