Wednesday, June 25, 2008

Pemergianmu, Cikgu

BismiLlahirrahmanirrahim

AlhamduliLlah was solatuwassalamu 'ala RasuliLlah.

1 Jun 2008, setelah sepotong SMS saya layangkan masuk ke dalam telefon bimbit Mak, Abah, Abang, sahabat akrab, dan kak Ashidah, mohon didoakan kejayaan saya untuk peperiksaan hari esok dan lusanya, telefon berdering lagu 'Kekasih Allah' tanda ada panggilan masuk. Tertera nama, "AbahkuBaik". 'Aik, Abah telefon...' kata saya dalam hati. Abah memang begitu. Bila dapat SMS mohon doakan saya, Abah pasti akan telefon memberikan kata-kata semangat.

Panggilan dijawab. Setelah bercakap-cakap tentang peperiksaan pertengahan semester tersebut, telefon bimbit Abah diserahkan kepada Mak pula. Mak tanya serba sedikit tentang peperiksaan, kemudian memberitahu yang Mak dan Abah baru bertolak pulang dari Kelantan kerana menghadiri walimah urus sepupu.

Kemudian, Mak menyampaikan satu berita yang mengundang hiba pada sekeping hati saya. Topik dimulakan dengan ayat,
"Wani kenal cikgu Anisah?".
"Cikgu Anisah Mohd Taib kah?".
"Ya. Cikgu Anisah yang ajar wani Sejarah dulu tu.."
"Kenapa, Mak? Meninggalkah?" Saya bertanya dalam nada perlahan. Saya telah maklum yang cikgu saya baru jalani pembedahan buang rahim.
"Ya. Semalam pukul 8. Mak tak sempatlah nak pergi. Di Kelantan lagi ni.."
InnaliLlahi wa inna ilaihi raji'un terpacul dari bibir saya.

Allahyarham Cikgu Anisah Mohd Taib banyak mengajar saya ilmu Sejarah. Bila ustaz Hasrizal Abdul Jamil (saifulislam.com) mencoretkan perihal bosannya belajar matapelajaran Sejarah sewaktu sekolah, saya tidak merasakan begitu.

Allahyarham Anisah Hj Mohd Taib adalah guru yang mengajar saya ilmu Sejarah dan kehidupan. Beliau mendidik dengan penuh dedikasi. Mengajar saya untuk berdisiplin, sistematik dan kemas dalam melakukan kerja. Dan yang paling penting ialah tidak tidur dalam kelas.

Cikgu Anisah seorang yang sangat tegas. Lagak jalannya sudah menunjukkan ketegasan beliau. Tapi senyuman dan ketawa cikgu melampirkan watak keibuannya. Cikgu sangat ingat pelajar-pelajarnya, tambah-tambahlah saya yang merupakan anak kepada sahabat baik beliau, Mak saya.

Cikgu Anisah sangat cemerlang dalam melakukan apa jua tugasan. Sebagai guru rumah sukan, Cikgu berhempas pulas memberikan sepenuh tenaga dan kemampuan Cikgu dalam memastikan rumah sukan di bawah seliannya menjadi juara.

Cikgu Anisah memberikan saya satu peluang kecemerlangan yang tidak dapat saya lupakan. Melalui Cikgulah saya berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Esei Sejarah peringkat negeri Pulau Pinang. AlhamduliLlah. Itu adalah antara kejayaan terbesar saya sewaktu di zaman persekolahan dahulu.

Kata-kata dorongan dan semangat yang beliau berikan sangat bermakna dan mengesankan. Saya tidak akan berada dalam bidang pengajian saya sekarang jika bukan kerana ilmu yang beliau turunkan.

Terima Kasih, Cikgu Anisah.

Semoga ALLAH mengampunkan segala dosa-dosamu,
Semoga ALLAH merahmati Cikgu,
Semoga ALLAH mengira setiap huruf yang Cikgu ajarkan pada semua anak muridmu sebagai amal jariah; ilmu yang dimanfaatkan.

Terima Kasih, Allah kerana mengurniakan wani Guru sebaik beliau.

Ameen Ya Rabbal 'Alamin.

No comments: