Wednesday, May 20, 2009

U-Turn ke Jalan Lurus



“Awak kenal tak siapa diri awak?” tanya saya dan sahabat bergilir-gilir kepada seorang peserta.

“Tak! Saya tak kenal diri saya! Saya benci diri saya!” Jawab peserta tersebut sambil linangan air mata dan badan yang terhuyung hayang sambil kaki bergetar. Ketika ayat itu dilafazkan, tangannya juga mencengkam tudung di bahagian dadanya, menambahkan lagi ekspresi kebencian kepada dirinya yang sekarang.

Jawapan tersebut juga menyentap sanubari saya yang tidak saya sangka akan terpacul keluar dari bibir seorang Muslimah yang sudah hampir 21 tahun menghirup nafas di muka Bumi Allah SWT ini. Lalu saya sedar, saya tidak mampu membantunya mengenali diri kerana ayatnya yang satu, ‘Saya benci diri saya’. Saya tidak punya pengalaman yang banyak membantu adik-adik peserta mengenali potensi diri untuk diletakkan dihadapan kelemahan mereka. Jika sekadar untuk menambahkan keyakinan diri untuk bercakap di khalayak, atau keyakinan diri untuk tsiqah (mempercayai) sahabat yang lain, ataupun juga membuang rasa inferiority complex, insya-Allah itu mampu saya lakukan serba sedikit. Tetapi, untuk masalah seserius ini, saya menyerah kepada sahabat-sahabat senior yang lain untuk membantu peserta tersebut. Saya sedar, peserta ini sangat memerlukan bantuan untuk beliau kembali menghargai dirinya sendiri, lantas bersyukur dikurniakan segalanya dalam hidupnya walau sederita manapun pengalaman beliau membesar.

Sebagaimana beliau, kita semua perlu bermuhasabah dan menilai kembali apa yang telah kita lakukan dalam kehidupan. Sahabat-sahabat senior saya mengambil langkah dan kalimat yang cukup berhati-hati dalam membuatkan peserta tersebut menoleh kembali ke sejarah hidupnya. Bukan untuk membuatkannya semakin jatuh dan membenci diri, tetapi mengambil ibrah (pengajaran) daripada sejarah yang pahit. Bak kata Ust Hasrizal Abdul Jamil, “Jujur terhadap kejayaan dan kesilapan, pencapaian dan kejatuhan – pada semua itulah munculnya ibrah yang matang untuk diteladani oleh mereka yang mahu berfikir” (Rindu Bau Pohon Tin, 2009). Mereka membuatkan dirinya meneroka dan menyelak helaian-helaian diari lamanya mencari punca kenapa kebencian itu muncul.

Alhamdulillah. Akhirnya, beliau menyedari sikapnya selama ini yang menyebabkan bibirnya terpacul ayat maha kecewa sebentar tadi. Katanya, beliau akan menyerahkan seluruh dirinya yang hina dan kerdil kepada segala ketentuan Allah SWT. Mencuba yang terbaik dalam hidup dan menyayangi sahabat-sahabat yang lain untuk disayangi oleh mereka. Beliau tahu, memberi itu sangat bermakna dalam kehidupan sebagai seorang pejuang terutamanya memberi kepercayaan kepada sahabat-sahabat. Beliau sedar, dirinya tidak keseorangan dalam hidup. Ada sahabat-sahabat untuk membantu.


Menoleh kembali ke belakang tidak salah jika tujuannya untuk mencari makna dan hikmah pada sebuah sejarah. Buatlah U-Turn dalam hidup yakni U-Turn ke jalan yang lurus.

No comments: