Wednesday, September 27, 2006

Ramadhan Ini

Ramadhan pertama,
bersahur bersama orang asli di Kg Haji Husin, puncak tanah tinggi Perak.

Ramadhan dua,
berbuka puasa bersama anak-anak yatim di UIAM. ifthar anjuran IRKHS.
dapat tazkirah percuma di masjid oleh foreigner Pakistan.

Ramadhan tiga,
berbuka puasa bersama Ili Raihana Jumali.
dapat jemputan ke ifthar oleh Us Yusran (Acheh).
mesyuarat untuk ifthar 9hb ini.

Ramadhan empat,
berbuka puasa didahului dengan tadah kitab Riyadhussolihin oleh Us Yusran.
mesyuarat PISA untuk bincang ijtima' Eidulfitri di Penang nanti.

Ramadhan lima,
????

Tuesday, September 26, 2006

Minggu Pilihanraya

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Hrkh) - Walaupun ditekan dalam pilihan raya kampus (PRK) yang menyebelahi Aspirasi baru-baru ini, namun Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) yang berjaya menawan UIA berikrar akan menjadi 'pembangkang' yang terkuat dalam Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bagi memastikan situasi semak dan seimbang wujud badan tersebut.

Ahmad Tarmizi berazam memastikan PMI kembali berpengaruh di setiap IPT.
Gamis yang dikenali sebagai 'We Unite For Islam' (Wufi) di UIA telah berjaya menawan 28 kerusi daripada 32 buah kerusi yang dipertandingkan di kampus induk di Gombak pada 21 Sept lalu. Wufi juga berjaya menawan 10 buah kerusi yang dipertandingkan di kampus cawangannya di Kuantan, Pahang.

Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini, Presiden Gamis, Ahmad Tarmizi berkata, Gamis juga akan mencari pendekatan terbaik untuk menjadikan PMI setiap IPT kembali berpengaruh sebagai 'pembangkang' yang mantap dan paling aktif di kampus masing-masing.
"Walaupun menang di UIAM, tapi kita masih menerima laporan mengenai kes-kes ugutan yang berleluasa di UTM, UPSI dan lain. Jadi, kami akan terus membuat kenyataan akhbar, road show anti Auku. Sekarang, kami sudah melancarkan Gerakan Mansuhkan Auku."

"Mengenai penyelewengan pilihan raya kampus kali ini, kami akan terus membuat perjumpaan bersama menteri dan pihak-pihak tertentu untuk membincangkan masalah tersebut," kata Ahmad Tarmizi.

Amalan menekan bukan calon pro aspirasi masih berleluasa
Sementara itu, berhubung isu tekanan dalam PRK baru-baru ini, Harakahdaily turut menerima laporan kes ugutan ke atas calon bukan pro aspirasi yang berlaku di kampus Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

Menurut laporan sebuah perkumpulan mahasiswa yang dikenali sebagai Gagasan UTM, seorang calon siswi telah diugut oleh pengetua kolej kediamannya, agar pelajar tersebut berundur dengan alasan, calon itu bertanding tanpa pengetahuannya sebagai pengetua kolej kediaman.
"Sebagai hukuman, siswi itu dikecam di depan ahli jawatankuasa kolej. Hal ini menjatuhkan maruah beliau sebagai seorang calon kerusi umum.

"Ada kes lain yang menunjukkan pengetua kolej kediaman mengugut pelajar agar menarik diri dari menjadi calon pilihan raya kerana tindakan mereka itu menjejaskan imej kolej," lapor Gagasan UTM.

Selain itu, tambah Gagasan UTM, ada calon yang diminta berundur hanya kerana beliau didakwa bertanding bagi mewakili pakatan tertentu, walhal calon itu bertanding di atas tiket bebas.Calon diugut, dilarang bertanding.

Di Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi) Tanjung Malim pula turut menyaksikan kejadian yang sama. Di bawah peraturan tertentu, manifesto calon perlu mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (SPMPP) terlebih dahulu, sedangkan manifesto adalah hak mutlak calon sebagai ikatan janji antara calon dengan mahasiswa.

Menurut sumber Upsi, kempen juga dilarang secara bersemuka seperti di tempat ibadat, bilik bacaan dan dari bilik ke bilik.

"Kempen di bilik kuliah dibenarkan, tapi mestilah mendapat kelulusan pegawai akademik dan hal itu tidak boleh melebihi 10 minit."

"Selain itu, hanya poster dan kain rentang yang mendapat kelulusan SPMPP sahaja yang boleh digunakan. Kita hanya dibenarkan mengguna tali yang disediakan oleh SMPP sahaja dan menampal pada papan kenyataan yang dibenarkan sahaja mereka," jelas sumber berkenaan.

Sumber itu berkata, ada sesetengah calon yang diugut dan dilarang bertanding oleh pengetua kolej dan felo-felo, bahawa nama mereka akan dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai pro pembangkang.

"Calon–calon yang bukan ditaja oleh HEP tidak mendapat tandatangan Dekan malah diugut oleh Dekan sekiranya menang akan memberi kesan untuk 'posting' dalam kerjaya perguruan setelah tamat pengajian."

"Selain itu, pihak HEP sendiri telah menyediakan senarai calon Aspirasi di pihak mereka sahaja. Senarai itu telah digunakan untuk memudahkan rujukan para Dekan sebelum menurunkan tandatangan bagi mengesahkan pencalonan," kata sumber berkenaan.

Menurut sumber, pihak polis turut berada di sekitar pejabat HEP pada hari penjualan borang pencalonan dilakukan. - mks.

___________________________________________________________

Terdapat terlalu banyak kekeliruan di kalangan masyarakat luar kampus UIAM mahupun masyarakat UIAM sendiri yang tidak terlibat secara langsung dalam PRK kali ini. Kebanyakan tajuk-tajuk laporan kemenangan PRK di UIAM berpihak kepada pro-aspirasi. Bagi syauqah, memang benar, WUFI adalah aspirasi pelajar.

Kekesalan yang bertubi-tubi keluar daripada mulut-mulut mahasiswa UIAM dan waris mereka sepanjang 'tenure' SRC yang lepas, insya-Allah akan diubati dengan pembaharuan SRC kali ini. Tetapi, bagi syauqah, kebangkitan semula ini bukan sesuatu yang mudah. Perkara ini memerlukan usaha yang sungguh-sungguh dan kerahan tenaga dan fikiran semua pihak. Gembelingan daripada sekecil-kecil peranan sehinggalah pihak atasan sangat diperlukan.

Semoga kepercayaan dan harapan masyarakat UIAM untuk SRC baru ini dapat direalisasikan.

Insya-Allah dengan doa dan pergantungan seluruhnya kepada Allah Rabbul Jalil, SRC dan sahabat-sahabat mereka dapat melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Tahniah buat semua yang terlibat dan tahniah juga buat pengundi. Pertolongan itu bersama mereka yang ikhlas.

WUFI, teruskan keikhlasan anda dan doa yang tidak putus.

waLlahu ta'ala a'lam

Thursday, September 14, 2006

GAMIS menyambut baik sikap terbuka Menteri Pengajian Tinggi

Oleh Ahmad Tarmizi M. Din, Presiden GAMIS

Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS) menyambut baik sikap terbuka Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Muhammad dalam membenarkan mahasiswa dan pensyarah IPTA untuk menyuarakan pandangan dalam isu yang disepakati oleh rakyat Malaysia.

Dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai taraf universiti kelas dunia, pemugaran dan penyuburan minda serta intelektuaslisme golongan mahasiswa terutamanya perlu dipupuk secara serius.

Golongan modal insan yang mempunyai potensi terbaik ini mestilah terus menerus diberi galakan untuk menjana daya pemikiran yang tertinggi berpandukan nilai-nilai keMalaysiaan yang luhur dengan sopan santun ketimuran.

Selembar sejarah yang disingkap, golongan modal insan ini telah dibelenggu selama 35 tahun oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) semenjak tahun 1971. Kebebasan mahasiswa untuk bersuara, berhimpun dan menyertai pertubuhan luar kampus telah disekat.

Natijahnya, kita boleh menyaksikan tahap kesedaran dan daya responsif mahasiswa di kampus-kampus tempatan sangatlah mengecewakan. Penulis sekadar melontarkan sebutir persoalan, berapa ramaikah mahasiswa yang sensitif dan bangkit memikirkan sumbangan yang boleh dilakukan apabila rakyat Lubnan dan Pakistan sengsara diserang oleh rejim ganas Zionis?

Jelas pada pandangan kita bahawa mahasiswa makin terpinggir daripada arus perdana masyarakat. Mahasiswa tidak lagi menyedari bahawa mereka mempunyai taraf sosial dan sebahagian daripada entiti masyarakat. Mereka sudah hilang keinginan untuk membela nasib rakyat. Inilah hakikat yang perlu diterima jika kita masih lagi selesa dengan status quo mahasiswa zaman ini.

Wawasan tinggi YAB Perdana Menteri tidak mungkin dapat dicapai jika kita masih berasa enggan dan berat untuk mengalihkan sekatan yang ada. AUKU perlu dinilai semula kerelevanannya untuk terus kekal dalam sistem pendidikan dan perundangan negara kita. Mahasiswa perlu dipulangkan semula kebebasan intelektualisme mereka. Jika tidak, modal insan ini hanya bertaraf modal dan tidak menjanjikan keuntungan.

Ahmad Tarmizi M. Din
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS)

Tuesday, September 05, 2006

Kepala Keretapi dan Gerabak

Semalam saya belajar analogi baru.

Analogi tentang imam dan makmum.

Imam ibarat kepala keretapi.

Makmum ibarat gerabak keretapi.

Bila bilal sudah habis iqamat, Imam kenalah tunggu makmum, pastikan saff solat sudah teratur. Sama macam bila tiba masa, loceng dibunyikan, kepala keretapi kena pastikan dulu gerabak dibelakang telah bersambung, kemudian baru boleh jalan.

Kalau ada gerabak yang belum sempat bersambung, (belum sempat nak ’cakok’), sedangkan gerabak yang lain sudah bersambung di awal waktu, itu telah menjadi kesalahan gerabak yang lewat tu. Sama seperti makmum yang lewat (masbuk), siapa suruh dia lewat sangat, jadi terlepaslah.

Analogi ini Ustaz Suhaimi al-Nadwi yang berikan sebagai pemudahfaham orang-orang kampung saya yang bertanya tentang Imam suruh rapatkan sof sebelum solat Jumaat, adakah terputus atau tidak bila bercakap selepas Bilal iqamat dan sebelum Imam mengangkat takbir.

Level bahasa orang kampung kena difahami, baru mudah untuk sampaikan ilmu kepada mereka. Kalau bahasa tinggi-tinggi sangat, guna perkataan bombastik, mereka susah nak tangkap maksud. Takut akhirnya, mereka tidak berminat lagi untuk hadir ke majlis-majlis ilmu sebegitu (level bahasa tinggi).

Cabaran juga bagi pendakwah muda. Kena kenal masyarakat kampung tersebut juga. Contohnya kalau kampung nelayan, kenalah guna laras bahasa nelayan. Kalau guna laras bahasa IT atau paling kurang guna laras bahasa penoreh getah, tak kena tempatlah. Bukan tak boleh guna langsung, boleh guna juga sebab orang-orang tua ni banyak pengalaman, cuma janganlah selalu.

Macam keratapi tu, bolehlah sebab tu analogi yang umum.

Kalau pelajar universiti macam kawan-kawan saya tu, hati-hatilah berbual dengan orang-orang tua di kampung bila sekali sekala kalian pulang ke kampung waktu cuti. Jangan cakap bahasa rojak macam di kampus, ’so’, ’even’, ’but’ (sekadar menulis beberapa perkataan).

Ingat, kalian tidak akan nampak ’stupid’ bila bercakap dalam bahasa Melayu sepenuhnya dengan orang tua, bahkan kalian akan disenangi mereka. Akan ada yang berkata begini, ”Ish ish. Baguslah kamu ni, berbudi bahasa, sopan santun, belajar tinggi.” Silap-silap akan ada yang kata begini, ”Makcik ada sorang anak laki. Berkenanlah makcik nak ambil kamu jadi menantu makcik. Anak siapa ni?”

Konklusinya, kenalah pandai ubah level bahasa mengikut keadaan. Kalau nak berkempen ketika pilihanraya (kampus atau umum), kena ubah laras bahasa mengikut siapa pengundi yang bakal mengundi.

Kalau di kampus, haruslah bijak ’speaking’, barulah nampak ’clever’ dan meyakinkan pelajar-pelajar untuk mengundi seseorang calon itu.

Kalau pilihanraya umum pula (saya masih belum layak mengundi ni...), selalu yang dibuat, yang saya tengok dalam tv, berbagai-bagai janji dibuat dengan menggunakan bahasa Melayu. ’Campurization’ bahasa tidak pula berlaku bila PakLah berucap, barulah senang orang kampung Kepala Batas tu nak faham dan seronok nak jumpa bila sekali sekala PakLah balik kampung. Contohnya hari ini, seawal jam delapan pagi, berbondong-bondong masyarakat dalam kawasan parlimen Kepala Batas menuju ke jambatan baru di Permatang Bendahari. Maklumlah, PakLah balik untuk merasmikan jambatan tersebut. Walau hujan lebat mencurah-curah, tetap diredah. (’In addition’, dapat masuk tv hihi).

Begitulah pengaruh bahasa. Bermanis mulutlah tapi jangan sampai tanam tebu di bibir. Cukuplah seperti makan gula atau madu.

- sekadar pendapat peribadi