Thursday, September 14, 2006

GAMIS menyambut baik sikap terbuka Menteri Pengajian Tinggi

Oleh Ahmad Tarmizi M. Din, Presiden GAMIS

Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS) menyambut baik sikap terbuka Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Muhammad dalam membenarkan mahasiswa dan pensyarah IPTA untuk menyuarakan pandangan dalam isu yang disepakati oleh rakyat Malaysia.

Dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai taraf universiti kelas dunia, pemugaran dan penyuburan minda serta intelektuaslisme golongan mahasiswa terutamanya perlu dipupuk secara serius.

Golongan modal insan yang mempunyai potensi terbaik ini mestilah terus menerus diberi galakan untuk menjana daya pemikiran yang tertinggi berpandukan nilai-nilai keMalaysiaan yang luhur dengan sopan santun ketimuran.

Selembar sejarah yang disingkap, golongan modal insan ini telah dibelenggu selama 35 tahun oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) semenjak tahun 1971. Kebebasan mahasiswa untuk bersuara, berhimpun dan menyertai pertubuhan luar kampus telah disekat.

Natijahnya, kita boleh menyaksikan tahap kesedaran dan daya responsif mahasiswa di kampus-kampus tempatan sangatlah mengecewakan. Penulis sekadar melontarkan sebutir persoalan, berapa ramaikah mahasiswa yang sensitif dan bangkit memikirkan sumbangan yang boleh dilakukan apabila rakyat Lubnan dan Pakistan sengsara diserang oleh rejim ganas Zionis?

Jelas pada pandangan kita bahawa mahasiswa makin terpinggir daripada arus perdana masyarakat. Mahasiswa tidak lagi menyedari bahawa mereka mempunyai taraf sosial dan sebahagian daripada entiti masyarakat. Mereka sudah hilang keinginan untuk membela nasib rakyat. Inilah hakikat yang perlu diterima jika kita masih lagi selesa dengan status quo mahasiswa zaman ini.

Wawasan tinggi YAB Perdana Menteri tidak mungkin dapat dicapai jika kita masih berasa enggan dan berat untuk mengalihkan sekatan yang ada. AUKU perlu dinilai semula kerelevanannya untuk terus kekal dalam sistem pendidikan dan perundangan negara kita. Mahasiswa perlu dipulangkan semula kebebasan intelektualisme mereka. Jika tidak, modal insan ini hanya bertaraf modal dan tidak menjanjikan keuntungan.

Ahmad Tarmizi M. Din
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS)

No comments: