Thursday, May 04, 2006

:: sahabat dunia akhirat ::

Assalamualaikum warahmatuLlahi wabarakatuh

Kesyukuran dirafa’kan buat Pencipta seisi semesta, yang melimpahkan kasih sayangNya kepada semua makhluq ciptaanNya, yang menggerakkan setiap inci pergerakan sekalian kejadian yang bergerak, yang berhak atas setiap apa jua hidupan dan perjalanannya, juga yang mengutuskan RasulaLlahi salaLlahu ‘alaihi wasallam. Selawat dan salam buat junjungan kekasih Allah subhanahu wa ta’ala yang dengan jerih dan payahnyalah aku berada dalam ni’mat Islam. Terima kasih buat Mak dan Abah yang mentarbiyah diri ini dari kecil hingga sebegini besar. Juga penghargaan buat semua yang pernah memberikan apa jua ilmu kepada diri ini.

Tak tahu kenapa malas menguasai segenap diri daripada meng’update’ blog. Dah banyak kali percubaan dilakukan untuk ’update’ blog, tapi tak berjaya juga. Bukannya tak online, online tiap-tiap hari tapi tak berjaya berjaya pun. Bila tak online, terasa nak sangat ’update’, nak sangat tulis itu tulis ini. Macam banyak sangat perkara yang nak dimasukkan dalam blog. Tapi tu lah, tak tahu kenapa begitu malas.

Tengahari tadi, online sekejap untuk hantar mesej kepada sahabat saya via ym sebab dia ’on mobile’. Handset saya tak ada kredit. Seorang sahabat saya menyapa, ”’Update’lah blog. Best baca.” Kasihan sahabat saya yang sorang ni. Tapi terima kasihlah sebab bagi motivasi sikit pada saya. Tengahari tu juga, saya berkunjung ke blognya. Nampak link weblog yang dia pautkan ke senarai link sahabat-sahabatnya. Paling atas sekali ditulis, ’Sahabat dunia akhirat’. Sengajalah tangan ni nak tengok weblog sahabat dunia akhirat dia tu. Bila terbit blog tu, pink colour, masyaAllah tertera syauqah-el-wardah.blogspot.com. MasyaAllah...begitu penghargaan dia buat diri ini dalam hidupnya. Terharu nian hati ini. Disamping keterharuan tersebut, saya bertanya pada diri saya, ”Adakah aku benar-benar telah menyempurnakan haq-haq dia sebagai sahabat aku?” ”Adakah aku juga menghargai dirinya sebagaimana dia menghargai aku?” Berpuluh-puluh pertanyaan menerpa fikiran saya.

Saya masih ingat katanya suatu masa dahulu, ”Kalau ana buat salah, tegurlah direct. Itulah hikmah bagi ana.” Dia juga pernah berkata, ”Terima kasih wani. Sebelum ni takde orang yang berani tegur ana direct bila sesuatu benda yang ana buat atau ana nak buat tu salah.”

Ya. Bagi saya, saya buat apa yang saya rasa betul, saya kata apa yang saya rasa benar. Dalam kes sahabat saya ni, saya tahu kondisi hidupnya dan cabaran di tempat belajar dia, saya tahu kawan-kawannya di sana bagaimana, saya tahu perangainya macam mana, dan keluarganya. Walaupun semuanya serba sedikit, tetapi cukup bagi saya untuk memilih pendekatan apa yang perlu saya gunakan untuk mengatakan ’salah’ pada sesuatu yang dia lakukan dan ’intended to’. Semuanya ini sebab dia selalu bertanya, dan mahu berubah kepada lebih baik walau saya tahu ianya terlalu sukar.

Saya bukanlah terlalu baik dan mengetahui segala perkara berkaitan agama atau kehidupan dunia ini, setakat apa yang mampu saya jawab dan katakan padanya, saya cuba sampaikan. Sekarang ini, saya yakin, dia lebih baik dari saya dan menjadi rujukan saya pula.

Saya tahu serba sedikit kata-kata yang bagaimana perlu disampaikan kepada sesiapa yang berada dalam situasi begini, kerana saya pernah mengharapkan kata-kata sedemikian daripada orang untuk saya ketika itu. Saya bersyukur kerana akhirnya saya memperolehnya juga walaupun bukan daripada manusia. Oleh kerana itu, saya tak nak orang lain merasa sedih dan lemah bila tidak mendapat kata-kata semangat dan pertolongan dalam proses penting ini. Saya hanya buat setakat mana saya mampu dan apa yang diilhamkan oleh Allah inilah sebaik mungkin yang saya sampaikan.

Saya berharap kepada semua yang membaca, sahabat saya atau sesiapa pun, anda adalah yang terpilih antara ramai untuk membaca tulisan ini, tolonglah jadikan amalan mengingatkan perkara kebaikan kepada sesiapa sahaja terutamanya sahabat kita sebagai kewajipan dalam hidup kita. Kita tidak tahu dan mungkin juga tidak sedar betapa orang-orang di sekeliling kita memerlukan kita untuk menegur mereka. Tolonglah laksanakan haq mereka untuk mendapat teguran daripada kita. Mana kita sedar, dalam senyum dan hilai tawa mereka, sebenarnya tersembunyi keinginan untuk berubah menjadi lebih baik dan meninggalkan segala keburukan yang telah dilakukan mereka, cuma mereka malu untuk suarakan kepada kita.

Lain pula andai orang di sekeliling kita itu jenis yang memang memilih jalan tidak baik sebagai pilihan hidup. Walaupun kita mengingatkan dia, kita tegur dia, dia tetap dengan pilihan dia. Tetap janganlah tinggalkan dia, kerana selagi dia tidak putus nafasnya, dia masih ada peluang untuk bertaubat dan berubah. Mungkin kita yang perlu dengan lebih gigih menasihatinya dan gunakan strategi lain.

Teringat sebuah kisah, di mana Ikhwan (bukan nama sebenar) sedang menunaikan rutin qiyamullail di biliknya pada suatu dinihari, sedang teman sebiliknya, Shahrul (bukan nama sebenar) masih belum tidur. Satu lampu telah dimatikan dan tinggal satu lampu lagi setakat untuk memberi cahaya kepada Ikhwan ketika itu. Tapi, Ikhwan tak perlukan pun lampu itu dipasangkan untuknya. Bila Ikhwan baru mengangkat takbir, Shahrul barulah naik ke katilnya dan berusaha untuk tidur. Tika sedang berdoa, Ikhwan tersedar yang Shahrul seolah-olah begitu gelisah. Dia tidak tahu kenapa. Tetapi kerana terlalu hendak berdoa, dan sayunya tidak mampu ditahan-tahan lagi, dia tidak bangun mematikan lampu. Sebenarnya, dia tidak tahu bagaimana lagi untuk menyedarkan teman biliknya yang dia telah semakin lama semakin lalai. Quran langsung tidak pernah dilihat membaca, solat juga jenuh dikejutkan dan disuruh. Kelas apatah lagi sampai menyuruh dengan sungguh-sungguh, masih memberi beribu alasan. Cuma dengan cara qiyamullail itulah diharap dapat Shahrul sedar sedikit kelalaiannya. Tapi, ternyata Shahrul tidak sedar, bahkan gelisah dan tidak senang dengan qiyamullail Ikhwan. Esak tangis Ikhwan dinihari itu menjadi lebih deras. Dia terlalu sedih dengan teman sebiliknya yang juga teman sekolahnya dahulu, sekolah agama di mana mereka belajar dosa pahala, wajib mubah, makhruh syubhah, dan halal haram. Asas pendidikan agama itu ada. Mereka ambil matapelajaran Al-Quran dan Al-Sunnah, dan Syari’ah Islamiyyah. Tapi, bila bangku sekolah ditinggalkan, kenapa jadi begitu? Luluh benar hati Ikhwan dengan Shahrul. Dia buntu. Berpindah kampus menjadikan mereka terpisah, tidak lagi sebilik ataupun sekolej. Shahrul tukar nombor telefon selularnya tanpa memaklumkan pada Ikhwan. Ikhwan tahu, Shahrul tidak menyenangi teguran Ikhwan dan melarikan diri daripadanya agar Ikhwan tidak tahu apa yang dilakukannya. Ikhwan bagaimanapun tetap dapat menjejaki berita perkembangan dirinya. Beristighfar Ikhwan setiap kali mendengar kisahnya, dan hati seolah-olah direnggut kecewa yang nian. Ikhwan sayang akan kawannya yang dia kenal sedari sekolah itu. Dia masih memikirkan bagaimana caranya untuk menegur kesalahan Shahrul itu. Dia tahu, dia perlu laksanakan haq kawannya itu untuk mendapat teguran daripadanya. Dia tahu, itu adalah tanggungjawabnya sebagai orang yang tahu kesilapan orang yang dia kenal untuk dibetulkan. Dia merasakan, bila dia dapat tahu, ini bermakna Allah memilih dirinya untuk sedarkan kawannya itu. Ikhwan masih berfikir bagaimana caranya mengembalikan Shahrul ke jalan yang benar kerana dia telah jauh berlayar dalam samudera duniawi yang penuh kelalaian. Dia masih mencari peluang untuk hampir.

Kembali kepada kisah sahabat saya tu. Saya tahu dia sebenarnya banyak potensi dan antara orang penting dalam persatuan besar di kampusnya. Saya tahu itu, tapi dia taknak mengaku. Banyak perkara yang dia ajarkan pada saya di bawah sedarnya. Ucapan terima kasih daripadanya tak pernah putus. Tak pernah. Selalu saja buat saya terharu.

’Ala kulli hal, terima kasih juga buat sahabatku. Terima kasih.


(entry kali ni, saya taip dulu kat words.so tarikhnya dengan kejadian, tak samalah waktunya..orang yang terlibat akan faham benar.. k ^_^)

wassalam

No comments: