Monday, November 26, 2007

Susahhhnnyyyaaa!

Kadang-kadang dalam berjuang, kita diterpa kesedihan dan kepayahan. Perasaan adalah sesuatu yang tidak dapat dihalang jika ia datang menerjah, tapi yang mampu kita lakukan adalah mengawalnya dan cuba mengubati dengan bisikan kebaikan.

Perjuangan itu memang susah.
Berjuang kemudian muhasabah.
Berjuang lagi dan kembali muhasabah.
Terus berjuang dan terus muhasabah.
Perjuangan itu susah kerana di hujungnya terhidang manisan yang tiada sudah.
Teruskan perjuangan wahai diri sendiri,
Teruskan perjuangan sahabat-sahabat jamaah,
Teruskan perjuangan sahabat-sahabat Ukhwah,
Teruskan perjuangan sahabat-sahabat ummah.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sunnah Berjuang - Nadamurni

Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid memburu syahid

Dibuang dia berkelana
Dipenjara dia uzlah dibunuh syahid
Namun jiwa tetap mara menuju cita
Membara demi Allah dan Rasulnya

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang tegang silih berganti
Inilah sunnah, orang berjuang

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa airmata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Memerah keringat, meluah tenaga

Berjuang memang pahit
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara dua pasti terjadi
tunggulah syahid
Atau menang...

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang tegang silih berganti
Inilah sunnah, orang berjuang

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa airmata
Siangnya bagaikan singa dirimba
Memerah keringat, meluah tenaga

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara dua pasti terjadi
tunggulah syahid
Atau menang...

Allahuakbar!!!
HAYYA Alal FALAH...
Allahuakbar
Allahuakbar..
Lailahailallah...

Thursday, November 08, 2007

Jangan Optimis Meskipun Dalam Ketaatan

Hari ini, saya nak kongsi dengan kawan-kawan semua, satu artikel yang kadang-kadang kita tidak sedar intipati artikel tersebut menyerang diri kita. Kira seperti musuh dalam selimut, duri dalam daging yang boleh membunuh iman kita, malah membunuh diri kita.


JANGAN OPTIMIS MESKIPUN DALAM KETAATAN
Oleh: Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Di antara hasrat dan cita-cita orang-orang yang beriman itu tidak lain ialah untuk menjadi hamba Allah yang taat, melaksanakan segala kewajiban dan kefarduan, agar menjadi orang yang soleh dan bertaqwa. Menghindari segala yang dilarang oleh Allah SWT, serta menghindari sifat-sifat keji, seperti yang diajar oleh Rasul SAW dan berusaha mencari keredaan Allah Ta’ala berpandukan wahyu-Nya.

Bagaimana untuk mencapai hasrat dan cita-cita tersebut amatlah sukar bagi manusia yang lemah ini, meskipun seseorang itu telah mendapat hidayah sehingga pada zahirnya dia menjadi orang yang taat, namun Allah mempunyai kuasa mutlak untuk merubah keadaan itu menjadi sebaliknya, kerana kehendak Allah SWT tidak siapa yang dapat memaksa Dia. Meskipun manusia berusaha untuk berdiri teguh di atas keimanannya, namun terserah kepada kemahuan Allah SWT, dan natijah kepada segala perbuatan manusia itu sesungguhnya masih ghaib dan hanya dalam ilmu Allah Azza wa Jalla.

Justeru, tidak boleh bagi seseorang yang telah melakukan ketaatan kepada Allah Ta’ala, merasa senang hati di atas segala qurbah atau usaha mendamping diri kepada-Nya, melalui ibadahnya seperti solat, puasa, zakat, haji, jihad dan sebagainya. Walaupun segala usaha ketaatan telah dilakukan sekuat tenaga sedaya mungkin, tetapi oleh kerana ibarat cerita yang masih dipertengahan, belum diketahui apakah kesudahannya, maka atas alasan apakah sesorang itu boleh merasa senang hati?

Sejak mula kejadian manusia lagi, apabila Allah menciptakan Adam dan mengumumkan untuk menajdi khalifah Allah di muka bumu, sedangkan sebelum itu makhluq ciptaan Allah bernama Iblis yang telah beribadah kepada Allah sepuluh ribu tahun, merasa sangsi di atas kewibawaan manusia untuk menjadi khalifah di bumi.

Kesangsian iblis menyebabkan dia tidak bersedia untuk sujud kepada Adam sekalipun Allah SWT menyuruh golongan iblis dan malaikat berbuat demikian. Iblis bukan sahaja enggan malah berdendam kepada Adam AS dan keturunannya, apabila Allah Ta’ala melaknat iblis di atas keangkuhannya. Iblis yang tersisih kerana keingkarannya dan ditaqdirkan bakal menjadi penghuni neraka, mereka berazam untuk terus memusuhi keturunan Adam, agar dia tidak keseorangan di dalam neraka, tetapi turut ditemani oleh anak cucu Adam yang dapat dipengaruhinya.

Bertaruh dengan musuh secara berdepan adakalanya manusia tertewas, tidakkah manusia akan lebih sulit apabila bertarung dengan musuh yang tidak dapat dilihat? Iblis yang menubuhkan pasukan tenteranya akan terus-terusan mengatur serangan terhadap keturunan Adam, tanpa mengenal penat lelah, tanpa tidur tanpa rehat dan tanpa lalai. Dengan demikian manusia pasti terdedah dengan ancaman iblis, sebahagian manusia sudah menjadi tawanan iblis dikenali sebagai golongan kuffar.

Iblis sebagai makhluq yang tidak dapat dilihat dengan indera penglihatan, pasti lebih mudah menyusup ke dalam diri dan hati manusia. Sehingga kadang kala berjaya membentuk rekrut baru di kalangan manusia, yang akhirnya menjadi pendukung ideology iblis, serta memusuhi golongan orang yang beriman yang mendokong aqidah yang benar dan bertauhidkan Allah Ta’ala.

Di kalangan orang yang beriman pun kadang kala tentera iblis berjaya menyusup, sehingga golongan beriman turut bertelagah sesama sendiri, kerana sebahagian daripada mereka sudah termakan hasutan iblis. Yang selamat hanyalah golongan yang mendapat pertolongan dan taufiq daripada Allah SWT, iaitu mereka yang digelar sebagai hamba Allah yang mukminin, solihin dan muttaqin.

Manusia yang hidup di muka bumi ini adalah khalifah dan tentera Allah, yang sedang berperang dan bertarung dengan musuh tradisi dari luar iaitu iblis, serta disokong pula oleh musuh dalaman iaitu nafsu yang sering mengajak kepada kegiatan yang buruk.

Merasa amankah setiap orang yang sedang berperang? Sedangkan musuh terus-menerus menghujani berbagai-bagai jenis peluru yang dahsyat. Musuh tradisi itu menggunakan peluru hasad, peluru dengki, peluru tamak, peluru khianat, peluru takbur, peluru ‘ujub, peluru riyak, peluru sum’ah dan berbagai-bagai lagi. Justeru tidak ada kawasan aman dan selamat sehingga manusia tidak mungkin dapat rehat.

Dalam suasana begini mana mungkin manusia merasa optimis untuk mencapai kemenangan yang total terhadap iblis itu, justeru sikap optimis akan menjadikan manusia lalai dan tidak waspada malah tidak berusaha untuk mengatasi musuhnya.

Sekalipun sudah dimaklumi bahawa segala yang ma’ruf itu disukai Allah Ta’ala, malah dijanjikan pahala bagi mereka yang melakukan ketaatan, tetapi janganlah merasa bangga dengan semua ketaatan yang telah dilakukan itu. Kerana walaupun demikian namun segala usaha itu ibarat seorang usahawan yang menggunakan modal orang lain.

Jika seseorang melakukan solat, dia menggunakan anggota tubuh yang dipinjamkan. Jika menunaikan haji, pasti menggunakan kemudahan rezeki yang didatangkan oleh Allah. Berda’wahlah dan mengadakan kuliyah pengajian, tidak lain hanyalah menyampaikan ilmu yang didatangkan oleh Allah Ta’ala melalui Rasul-Nya. Jika dia banyak menderma untuk kebajikan, tidak lain hanyalah ibarat memulangkan wang yang dipinjam. Sesungguhnya semua itu adalah pemberian dan kurnia Allah yang mencurah kepada hamba-Nya, maka yang manakah yang dating dari diri manusia sendiri?

Oleh kerana manusia melakukan segala ketaatan kepada Allah, tidak lain mereka menggunakan semua kurnia dari Allah, maka tiada suatupun ketaatan amalan yang bersifat mendampingkan diri kepada Allah SWT itu dapat dibanggakan dan dimegahkan oleh manusia itu, ibarat orang yang bermegah dengan baju yang dipinjam daripada orang lain. Jika manusia hendak berbangga dengan ketaatan sedikit sebanyak yang telah dilakukan itu, hanyalah ibarat orang yang bermegah dengan harta orang lain.

Walaupun manusia melakukan berbagai-bagai ketaatan yang melibatkan fikiran tenaga dan wang ringgit, namun tiada tempat bagi manusia untuk berbangga, kerana andainya Allah tidak menerima kesemua jenis kebajikan dan ketaatan yang dibanggakan itu, nescaya ia manjadi kosong ibarat perut unta, kerana sebenarnya perut unta itu jika dibedah, ia hanya dipenuhi dengan najis tetapi kosong dari kebaikan.

Dengan demikian maka tidak ada yang dapat untuk menjadi cagaran bagi manusia di akhirat, kerana sesungguhnya dia telah datang kepada Tuannya dengan bekalan kosong.

Janganlah menjadi manusia yang bangga dengan bunga-bungaan dipohon serta putik-putik buah di dahan, apabila datang hujan ribut yang memusnahkan bunga dan putik buah-buahan itu musnah hingga tiada apa yang tinggal.

Bunga-bunga dan putik buah-buahan itu ibarat amalan kebajikan yang belum ditimpa malapetaka, kerana sesungguhnya malapetaka kepada amal ibadah seseorang itu ialah umpama tidak ikhlas beramal, dengki kepada orang lain lebih banyak dari kebajikan yang dilakukan. Apabila bunga-bunga dan buah amal itu dilanda rebut dan taufan dosa kerana tidak ikhlas, riyak, dengki dan lain-lain lagi, maka gugur bertaburanlah bunga serta buah-buah amal itu.

Justeru tidak ada masa untuk manusia itu merasa senang dan lapang dada sekalipun berbagai-bagai qurbah atau usaha ikhtiar telah dilakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala, namun ibarat putik yang belum membesar dan masak sehingga dapat dipetik hasilnya, maka apa yang perlu dilakukan ialah tidak lalai dari mengawasi perkara-perkara yang boleh menghancurkan kebajikan itu.

Seorang yang pulang ketika petang dengan keimanan dan rajin beramal, tetapi pastikah keadaan itu berkekalan hingga esok harinya? Segala kemungkinan boleh terjadi, mungkin ketika malam hari hatinya mendengar bisikan iblis lalu melakukan maksiat, maka matahari yang terbit di pagi itu menyambut dia sebagai seorang yang zalim, bukan lagi sebagai hamba yang soleh dan bertaqwa.

(Dipetik daripada buku, Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Insan Ingatlah!, NurfairStreet, Kuala Lumpur, 2006, hlmn 53-57)


Wallahu a’lam.

Tuesday, November 06, 2007

SMART

Setiap kali hujung semester, bila duduk-duduk berbual sambil makan bersama kakak-kakak senior UIAM, soalan tentang perancangan hidup selepas graduasi tidak pernah lupa saya tanyakan. Seperti kata kakak naqibah saya dalam usrah terakhir semester ini, “Seronok dapat tahu impian hidup seseorang. Mungkin impian itu tidak menjadi impian orang lain, atau mungkin juga impian itu bukanlah sesuatu yang seronok bagi orang lain, tapi bila tercapainya impian tersebut, hidup akan terasa begitu puas. Orang lain mungkin tak rasa kepuasan yang kita rasa.” Maka usrah hari itu tidak sempat kami tamatkan dengan silibus, tetapi menyentuh impian setiap daripada kami. (Aduh! Hati tiba-tiba ditambat rasa rindu pada usrah).
Jadi, bila menyentuh soal impian atau cita-cita, saya seronok mendengarnya daripada setiap orang yang saya tanya. Betul. Saya suka amat. Begitu juga yang saya rasa bila saya melayari dan membaca perjalanan hidup orang-orang yang berjaya melalui laman web mereka di dunia internet.

Selepas meneliti (bukan sekadar membaca) beberapa weblog termasuk blog Aminidris.com, satu soalan saya utarakan kepada beliau, “Sdr Amin puaskah dengan pilihan hidup sekarang, membina manusia?”

Jawapan beliau kepada saya, “Sudah puas dengan pilihan tetapi perjalanan dalam pilihan tersebut masih panjang. Wani bagaimana?”

Dalam merancang untuk masa depan, Sdr Amin Idris mengingatkan saya untuk memastikan, plan hidup saya mengandungi SMART. Mari kita tengok, apakah SMART tersebut.

S = Specific
M = Measurable
A = Action
R = Relevant
T = Time Frame

Hari ini, umur saya sudah menjangkau 22 tahun. Pelan hidup atas kertas dah ada. Tapi rasanya masih belum mencapai standard SMART tu. Jadi, kena review dan edit semula.

Hmm… Jadi kawan-kawan semua, rancang perjalanan hidup kawan-kawan. Ingat, kena ada SMART tahu. Kalau boleh, jangan sekadar dalam kepala, kena betul-betul catatkan, tak kiralah dalam bentuk ‘copy keras’ atau ‘copy lembut’ (meminjam istilah sahabat seperjuangan saya yang sangat kelakar).

Motivation of the day!

waLlahu a’lam

Friday, November 02, 2007

Fatrah Imtihan

Assalamu'alaykum warahmatuLlahi wabarakatuh

Mesti semua dah merungut kenapa saya dah tak 'update' blog saya ni.

Saya mohon maaflah sebab tak pandai mencuri masa untuk update.

Sekarang tengah exam

doakan.

Thursday, September 06, 2007

Warna Warni Eidulfitri

Panggilan pertama untuk Anak Perantau Pulau Pinang,
selamat pulang ke kampung,
anda semua dijemput menghadiri,
WARNA WARNI 'AIDIL FITRI 1428H / 2007
3 Syawal 1428
10.30am
Pulau Pinang
[tempat akan dimaklumkan kemudian]
Sajian raya yang enak!
Persembahan yang menarik!
Jumpa kawan-kawan lama!
Acara tahunan yang penuh warna warni!
Jangan lepaskan peluang ini!
Anjuran:
Kelab Remaja Lestari
[Jab Mufti Pulau Pinang]
Anjuran bersama:
Penang Muslim Students Associaton [PISA]
Nisa' cawangan Pulau Pinang
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
abunawe - 012 5904857
syauqah wardah - 013 2951351

Thursday, August 23, 2007

FOR-LOT

Assalamu'alykum warahmatuLlahi wabarakatuh

FOR-LOT
Adalah nama satu forum atau diskusi yang sedari di matrikulasi UIAM (sekarang CenFos) lagi telah sampai ke pengetahuan saya. Tapi tidak pernah menghadirkan diri ke sana. Terasa rugi pula.

Tapi, kali ini, setelah dijemput oleh Ketua Helwani GAMIS untuk menghadiri diskusi kali ini, saya ke sana dengan hati terbuka (tidak seperti dahulu, ketika fikiran masih belum jelas). AlhamduliLlah. Bila dah besar ni, dah matang sikit =)

Jadi, entry kali ini adalah perkongsian input dengan pembaca semua sekitar diskusi tersebut (yang mana saya sempat salinlah ye. Maaf kalau tak berpuas hati).

Ini saya sambung daripada entry sahabat saya di http://mahasiswaislam.blogspot.com/

Saya tertarik dengan beberapa pandangan ahli panel yang membincangkan tajuk tersebut, antaranya ialah:

  1. Adi Hamka: "Mahasiswa perlu berani memperjuangkan nasib masyrakat, contohnya mahasiswa sepatutnya telah mengmbil tindakan bagi menyokong golongan pekerja mengenai tuntutan gaji minimum RM900 dan Cola RM300 yang dicadangkan oleh MTUC baru-baru ini. Namun, tidak ada sebarang tindakan daripada mahasiswa."
  2. W.M.Firdaus: "Kita perlu membezakan antara 'pelajar' dan 'mahasiswa' kerana mahasiswa mempunyai kelebihan dan idealismenya yang tersendiri. jadi kita perlu ubah MPP (Majlis Pewakilan Pelajar) kepada MPM (Majlis Perwakilan Mahasiswa) seperti yang dilakukan oleh mahasiswa-mahasiswa UK (Unied Kingdom). Untuk merubah dan mengusai sesebuah negara (ke arah Negara Islam) penglibatan dalam politik sangat penting."
  3. Saifullah: " Kita menghadapi masalah 'engagement' diantara sesama gerakan Islam, kelompok yang tidak sehaluan dengan kita dan massa. 'engagement' memainkan penaran yang sangat penting dalam menyatukan umat Islam dan memastikan keberkesanan dakwah Islam."

(Sambungan oleh saya)

Hidayat Saifuddin a.k.a Adi Hamka

- Dalam memperkatakan tajuk tersebut, ada dua soalan yang perlu dijawab.

1. Siapa yang dibina?

2. Siapa yang membina?

-Bagaimana generasi membentuk abad akan datang? Kuncinya ialah dengan kesedaran dalam diri mahasiswa. Bagaimana menyuntik rasa kesedaran tersebut? Tidak lain tidak bukan seperti kata Imanuel Kent dalam bukunya "Erti Pencerahan", generasi muda harus "Berani untuk berfikir dan menggunakan fikiran". Mahasiswa perlu berani menerobos sempadan fikiran.

Mahasiswa perlu ada kesedaran politik dan berhikmah dalam menyampaikan pandangan mereka kepada masyarakat, tidak kira kelompok mahasiswa juga ataupun masyarakat luar. Ruang untuk ini telah tersedia, hanya terpulang kepada kita sama ada untuk memanfaatkannya atau tidak.

Kelompok intellek muda seharusnya melihat isu dengan perspektif muda/baru dengan tidak meninggalkan isu-isu di sekeliling mereka. Mahasiswa tidak pernah mempunyai sempadan dalam memberikan pendapat yang hanya tertumpu kepada 'hal perut' mereka sahaja, malahan lebih melangkaui batasan tersebut. Sebagai contoh, isu golongan pekerja menuntut gaji minimum RM900 dan Cola RM300 yang dicadangkan oleh MTUC baru-baru ini. Namun, tidak ada sebarang tindakan daripada mahasiswa sedangkan ini merupakan isu masyarakat yang sangat perlu untuk mahasiswa memberikan respon.

Sedar atau tidak, mahasiswa adalah antara kelompok rakyat yang besar dalam Malaysia. Justeru kembalikan slogan "Mahasiswa Menggugat."

Wan Mohd Firdaus memberi idea sesuatu yang lebih praktikal:

1. Perlunya mahasiswa mempunyai akhbar sendiri. Berjuang melalui 'publication'.

2. Hubungkan diri dengan golongan korporat dan NGO. Ini kerana, golongan ini adalah golongan masyarakat yang berpengaruh dan mampu mempengaruhi keputusan negara. Tetapi tidak semua daripada mereka yang menyokong penuh aspirasi kerajaan, mereka ada yang neutral. Kelas masyarakat begini berfikiran terbuka dan sangat rasional. Justeru, sangat penting mempunyai jaringan hubungan dengan mereka. Mereka juga dapat menjadi benteng kepada 'kita' yang memperjuangkan kebenaran bilamana kita ditimpa sesuatu yang di luar jangkaan kerana kita dikenali sebagai seorang yang tidak membahayakan.

3. Dapatkan penceramah yang tepat. Di Malaysia, kita ada ramai penceramah yang hebat, yang kelihatan neutral. Jangan cari yang terlalu kontroversi kerana yang tidak kontroversi juga bisa punya impak yang hebat dalam menyampaikan pendapat.

Mahasiswa kena bijak mencari isu yang boleh dikritik. Tidaklah bertujuan untuk menampakkan bahawa kita ini bertentangan dengan pihak yang di atas, tetapi membuktikan mahasiswa tidak pasif sebaliknya responsif kepada masyarakat yang hidup di sekitar mereka.