Friday, April 09, 2010

Aku Harus GARANG terhadap diriku!

Jika kau mahukan kemesraan dengan ALLAH,
maka kau mesti garang terhadap dirimu sendiri.
Tidak mengikut hawa nafsumu!

Bila kau sudah merasakan manisnya berhubung dengan ALLAH,
tahulah kau bagaimana pahitnya berpisah dengan-Nya!

Tuesday, April 06, 2010

Teruskan Perjuanganmu, Abang. Bawalah Daku Bersama.

AlhamduliLlah. Segalanya telah Allah tentukan. Semuanya sudah Allah susun dengan sebaik-baiknya. Hanya Dialah yang mengetahui apa yang terbaik buat kita kerana kita adalah hamba-Nya, kita adalah ciptaan-Nya.

Setelah dua minggu suami berkunjung ke rumah Mak Abah di Pulau Pinang, giliran saya pula dengan suka rela berkunjung ke Perak, melepaskan rindu kepada suami tercinta juga buat keluarga di sana. AlhamduliLlah, masa kami berdua di sana terisi dengan manfaatnya. Walaupun suami bekerja pada hari Sabtu.

Sabtu malam selepas suami pulang kerja, kami berkesempatan melakukan ziarah ke rumah MakTam, adik kepada Ayah mertuaku. Melihat telatah Auni dan Auliya yang merindui Ayah mereka, sedikit membuat hati tercuit sedih. Auliya menyarung stokin dan kasut kerja Ayahnya, Auni melihat dan menuntun tangan adik ke motorsikal Ayah mereka selepas siap Auliya memakai kasut Ayah mereka yang pastinya sangat besar untuk kaki budak berusia 3 tahun. Mereka mengikut lagak Ayah yang bersiap untuk ke tempat kerja. Paktam tiada di rumah kerana ke Kuala Lumpur bagi menyaksikan perlawanan Formula 1 di Sepang. Dijamu dengan laksa dan cucur udang, alhamduliLlah rezeki kami pada malam itu. Kami mempelajari sesuatu bahawa, memang benar bahawa ibubapa adalah contoh teladan yang paling dekat dengan anak-anak, juga bahawa rumah merupakan madrasah pertama yang mendidik dan mencorakkan peribadi insan-insan kecil ini. Pulang ke rumah, kami mempersiapkan mental dan fizikal untuk ke Mesyuarat Agung PAS Kawasan Bukit Gantang kali ke-43 pada keesokan harinya, 4 April 2010 di Markaz PAS Air Kuning.

Keesokan harinya, selepas bersarapan bihun goreng, kami melangkah ke Mesyuarat Agung dengan perasaan yang kosong kerana menyangka mesyuarat ini hanya dihadiri oleh sedikit orang sahaja. Tiba di kaunter pendaftaran, hati mula berdegup sedikit kencang dan fikiranku menjadi keliru sebentar. Adakah ini Mesyuarat Agung Kawasan atau Pemuda Kawasan kerana tidak lansung terlihat kelibat Muslimat. Sekilas kubaca header borang pendaftaran pemerhati. Betullah ini Mesyuarat Agung Kawasan. Pemuda yang menjaga kaunter memohon maaf kepada suamiku kerana kehabisan tag dan buku laporan. Terdengar juga perbualan pemuda-pemuda di kaunter tersebut, "Fuh, lega sedikit sekarang! Tadi ramai sungguh yang datang sekali gus untuk daftar." SubhanaLlah. Wah, ini sudah bagus! Justeru kami melangkah masuk ke dewan yang pada ketika itu sedang bergema dengan nyanyian lagu tema PAS.

Kulihat di pentas pada ketika itu, YAB Nizar, YB Wan Abdul Rahim dan saff kepimpinan PAS Kawasan Bukit Gantang bersungguh-sungguh seiringan dengan para perwakilan menyanyikan lagu itu. Penuh semangat. Hatiku tersuntik semangat mereka. Setelah selesai nyanyian, diterukan pula dengan ucapan-ucapan daripada YDP Bukit Gantang, YAB Nizar sebagai wakil Persuruh Jaya Negeri, dan ucapan perasmian oleh senior PAS iaitu YB Wan Abdul Rahim. Ucapan-ucapan yang penuh berisi dan berinformasi. Bukan fakta yang direka mahupun sejarah yang sengaja dicipta untuk menaikkan semangat perjuangan itu. Ucapan mereka punya ruh jihad yang tulin kerana disampaikan dari hati yang terus menusuk ke hati pendengar sehingga ada kalanya air mata para perwakilan dilihat menitis jatuh.

Mesyuarat berlangsung dengan penuh semangat. Pembentangan laporan dipenuhi dengan soal jawab. Suamiku turut mengambil bahagian. Tahniah buat Abang. Walaupun ini adalah Mesyuarat Agung pertama di Bukit Gantang yang kita hadiri, Abang dapat bangun berkeyakinan menyampaikan pendapat Abang. Tahniah sekali lagi buat Abang. Isterimu sangat berbangga dengan, Abang. Kemudian, laporan kewangan menyusul juga dengan respon yang pelbagai. Perbahasan usul mengambil bahagian selepas itu. Hujah-hujah daripada perwakilan kulihat matang. Begitu juga perwakilan Dewan Muslimat. Aku yang melihat dari belakang, terpegun dengan suasana mesyuarat agung ini. Gayanya mengingatkan aku suasana di Dewan Dato' Haji Fadhil Noor di Taman Melewar. Tidak seperti 'kekampungan' yang aku dan suamiku bayangkan sebelum ini.

Selain daripada rutin-rutin mesyuarat agung, ada yang lebih menarik yang aku saksikan iaitu penyampaian anugerah Jejak Tokoh PAS Bukit Gantang yang diberikan kepada Allahyarham Abdul Samat yang merupakan sosok tubuh penting bagi PAS Bukit Gantang yang telah kembali ke rahmatuLlah bertemu cinta teragung pada 15 Mac 2010. Disediakan tayangan video biodata dan sumbangan Allahyarham kepada masyarakat dan PAS yang disambut dengan linangan air mata semua perwakilan dan tetamu yang hadir. Hati menjadi semakin sebak apabila melihat anak Allahyarham yang mengambil hadiah itu berwajah jernih dan sungguh tulus seperti mewarisi ketenangan Ayahanda beliau. Kepada yang telah lama mengenali Allahyarham, pastinya perasaan mereka lebih sedih lagi. Insan yang baik, pergi mereka ditangisi, didoakan oleh ramai manusia. Semoga ruhnya damai dan sejahtera di sana. Terfikir bagaimanakah akhir usiaku dan suami nanti...


Buatmu, Abang, suamiku tercinta,

Isterimu tahu bahawa hatimu sungguh berat untuk meninggalkan sahabat-sahabat seperjuangan di Gombak. Setelah ukhuwwah yang dicipta sudah tersimpul erat, selepas jiwa sudah sebati dengan rentak ragam kerja-kerja PAS di Gombak, isterimu faham kesedihan yang Abang tanggung. Kuingat lagi suatu malam itu, Abang terlelap dengan tangan memegang handphone. Kuambil kemudiannya dan ada mesej yang tertera di skrin, mesej program yang rupa-rupanya kiriman sahabat PAS Gombak. Rindu sungguh hatimu pada rutinmu di sana.

Abang,

Isterimu juga sedih. Meninggalkan teman-temanku yang berkhidmat dengan PAS Gombak. Meninggalkan Muslimat-muslimat PAS Gombak yang sudah kujalin ukhuwwah dengan mereka. Isterimu juga sedih bilamana sesampainyaku sebagai pemerhati di Mesyuarat Agung Dewan Muslimat PAS Kawasan Kepala Batas, diriku terus dilantik menjadi pencatat minit mesyuarat. Seorang AJK Dewan Muslimat berkata, "Baguslah ada kamu. Kami memang susah nak cari orang yang pandai komputer ni. Lega sikit kamu dah ada." Tapi, Abang. Isterimu terpaksa dengan hati yang kelat mengatakan kepada mereka bahawa diriku hanya sebentar sahaja di sini. Aku perlu berangkat ke Perak untuk tinggal bersama suami.

Abang Tersayang,

Isterimu tidak pernah menyesal diletakkan di mana-mana pun. Suamiku juga begitu bukan? Inilah hijrah kita. Ini adalah hijrah kita. Bukit Gantang walaupun bertaraf luar bandar, tapi penduduknya semakin matang dan celik politik. Mesyuarat Agungnya sahaja sudah dihadiri oleh 284 perwakilan juga ada ramai pemerhati. Buku laporan dan makanan yang disediakan juga tidak mencukupi. Lihat sahaja hujah mereka yang sungguh matang dan kaya fakta, baik Pemuda mahupun Muslimat. Mungkin ini adalah fenomena di mana-mana juga, Abang.

Teruskan semangatmu, Abang. Biarlah kita ini tergolong dalam kalangan mereka yang menggemilangkan PAS di Bukit Gantang seterusnya Perak dan seterusnya Malaysia. Semoga kita menjadi ahli yang mendokong gerak kerja perjuangan di antara 8000 ahli PAS di sini. Terus barakan semangatmu, Abang. Isterimu ini akan terus menyokong perjuanganmu tanpa jemu.

Harapanku buatmu, Suamiku. Bawalah juga daku bersama. Semoga Islam terus gemilang dan semakin bersinar. Kita akan terus bersemangat demi Islam! Semoga akhir nafas kita adalah di atas jalan perjuangan Islam. Rakan-rakan, ingatkanlah kami sentiasa bahawa perjuangan itu masih panjang. Teruslah beristiqamah.

Insya-Allah. Amin.

Thursday, March 25, 2010

Alhamdulillah. Syukran liLlah.



Alhamdulillah was solatuwassalamu 'ala rosulillah.

Tanggal 28 Rabiul Awwal 1431 bersamaan 14 Mac 2010, terbinanya sebuah Baitul Muslim yang telah lama kami doakan. Terima kasih yang tidak terhingga buat Abah Mak dan Mama Abah serta seluruh ahli keluarga kami, saudara mara juga sahabat handai. Segala pengorbanan kalian hanya Allah yang mampu membalasnya.




Sunday, January 31, 2010

Jemputan ke Majlis Meraikan Ikatan Baitul Muslim Hazmin & Hazwani

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah melimpahkan rahmat serta 'inayah-Nya ke atas kami dan anda yang sedang membaca blog ini. Juga buat semua manusia & seluruh makhluq yang sentiasa dikasihi Allah yang Maha Pengasih. Selawat dan salam yang penuh sejahtera buat junjungan mulia RasulaLlah SAW, kekasih Allah dan yang kita rindui. Buat keluarga & seluruh kerabat baginda SAW.

Kesyukuran ini kami panjatkan seagung-agungnya kepada Allah SWT dan penghargaan paling tinggi kami ucapkan kepada kedua-dua Bonda dan Ayahanda kami yang meredhai dan sentiasa mendoakan hubungan kami berterusan dengan baik. Inilah kemuncak pertautan hubungan dua hati dan dua buah keluarga yang bertemu di atas jalan dakwah dan ibadah kepada-Nya, insyaAllah.

Justeru, saya mewakili Bonda, Ayahanda, dan Nenda sekeluarga, serta bakal suami saya dan keluarganya menjemput saudara mara, sahabat handai, rakan taulan, dan seluruh kenalan alam maya ini ke majlis meraikan ikatan baitul muslim kami, insyaAllah seperti yang tercatat pada e-card di bawah ini. Semoga kehadiran kalian membawa rahmat dan keberkatan di majlis kami.

Sila klik pada gambar untuk lebih jelas.

Pelan lokasi ke rumah saya di Kuala Muda, Pulau Pinang.


Pelan lokasi ke rumah Zu Hazmin di Simpang, Perak.


Monday, January 11, 2010

Di depan Retinaku, Merentap Batinku

Jelas. Terang. Nyata.

Di retinaku terpampang jelas tubuh seorang lelaki berkulit cerah lengkap dengan pakaian berwarna hijau. Lagaknya seperti seorang tentera perkasa. Dia sedang berdiri sambil menundukkan kepala memandang ke tanah, terarah pada satu bulatan yang di atasnya dilitupi dengan lapisan kaca tebal yang sedikit cembung ke atas. Ada lubang di tanah tersebut. Di belakang, kiri dan kanan tentera itu juga terdapat banyak lubang yang sama. Hatiku mula berdegup kencang.

Tanah dan keadaan sekeliling sewaktu itu bertonakan kelabu, tanda kelam dan sunyi. Badan tentera itu terbongkok mencapai sisi penutup lubang berkaca itu untuk membukanya. Denyutan jantungku bertambah kencang. Kelihatan kepala manusia yang berambut hitam kecoklatan. Kemudian tentera itu dengan wajah tidak berperikemanusiaan merentap rambut tersebut dan menarik keluar sosok tubuh yang berada di dalam lubang tersebut dengan kasar.

Maka muncullah dia. Dia seorang Muslim yang sama aqidahnya denganku. Nafasku ibarat terhenti. Aku tidak sanggup melihat apa yang bakal terjadi selepas itu. Tapi mataku seolah-oleh dipaksa melihat segalanya.

Tentera itu dengan pantas menjerut leher Muslim itu dengan tali sekuat hati. Dia longlai dan jatuh terlentang. Tubuhnya terbaring di tanah dan kepalanya terkulai di tubir lubang itu laksana sudah diambil nyawanya oleh malaikat Izrail. Tapi, entah bagaimana sang tentera dapat mengesan yang Muslim itu masih bernyawa dan hanya berpura-pura mati.

Bengangnya tidak terkata. Dia mencangkung di sebelah saudara Muslimku. Jari jemarinya menggenggam kedua-dua pipi Muslim itu dan memaksa mulutnya dibuka. Kelihatan seolah-olah manik-manik kecil di dalam mulutnya. Ia ditarik keluar dan rupanya, manik-manik itu adalah rantai tasbih yang dibuat daripada kayu kokka. Dia memasukkan tasbih di dalam mulut dan rahangnya untuk mengelakkan dirinya mati akibat jerutan tentera yang dilaknat Allah SWT. Subhanallah. Allahu Akbar.

Namun, akibat terlalu marah, tasbih itu dilempar sejauhnya dan sang kejam itu berdiri sambil mengacukan senapang ke arah saudara Muslimku. Muncung senapang dimasukkan ke dalam ruang mulutnya sehingga ke tekak dan picu senapang ditarik. Maka, seorang lagi syahid di muka bumi Allah SWT ini.

Aku tersentak. Hati menjadi pilu. Aku ingin keluar daripada kawasan tersebut. Aku tidak mahu lagi melihat kekejaman dan kezaliman ini. Aku tidak mahu. Aku tidak sanggup. Bawa aku ke alam nyata.

Mata kubuka. Tangan meraba-raba mencari handphoneku. Mata kukerling padanya. Aku belum solat Subuh lagi. Astagfirullahal'azim. "Ya Allah. Selamatkanlah saudara-saudaraku di Palestin sana."

Kata Mak pada siang harinya selepas mendengar cerita mimpiku, "Palestin memang duk tengah perang pun." Reaksi adik pula, "Sampai terperinci macam itukah mimpi kak wani?".

Malam itu ketika menonton berita di TV3, dilaporkan pihak kerajaan Mesir telah melepaskan penahanan sebuah rombongan kemanusiaan yang membawa barang-barang perubatan dan makanan untuk pelarian Palestin. Lagi berita lain, terowong bawah tanah yang digali oleh Muslim Palestin yang menjadi satu-satunya jalan kepada mereka untuk mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan dari Mesir telah dikambus dan beberapa orang Muslim di dalamnya terperangkap dan ada yang meninggal dunia di dalamnya.

"Ya Allah. Bantulah kami membebaskan tanah Palestin daripada tangan-tangan durjana itu, Ya Allah..."

Pemukim Yahudi sedang membakar sebuah masjid di Nablus.

(sumber gambar: www.haluanpalestin.haluan.org.my)

Sunday, December 27, 2009

Mana Damai Itu?

Menerobos kala ini ke relung hati
Mencari damai yang kurasa telah pergi
Tapi serasa seperti masih berbaki
Cuma terperosok ke sudut hati.

Terasa ingin kurobek hati
Mencari damai yang kurasa telah pergi
Tapi serasa seperti masih berbaki
Cuma terkeronyok dek kegelapan hati.

Berlari!
Mencari damai yang kurasa telah pergi.

Kejar!
Kejarlah damai itu sebelum ia jauh pergi.

Damai, jangan engkau lari.

Damai, kembalilah.

Nokhtahkan langkahmu.

Aku merinduimu.

Kembalilah padaku.

Aku amat perlukanmu.

Damai,
Datanglah kembali...