Wednesday, April 01, 2009

Al-Kisah Perihal Sahabat 1


Gambar hiasan.

Majid Ali Khan (1978) in the book named The Pious Caliph;

“We think everything in terms of worldly benefit, they (Khulafa’ Ar-Rashidin) considered every matter in terms of love with Allah, love with Prophet of Allah and the success in the hereafter” (p.204).

Sidang pengunjung laman Syauqah-el-wardah yang serba dhaif dan kerap kali bersawang dek jarang dikemas kinikan, petikan di atas berjaya memancing hati Syauqah tatkala menyudah kertas kajian yang bertajuk ‘Fitnah Al-Kubro; A Watershed from Democracy to Monarchy in Caliphate Dynasty’.

Petikan di dalam bahagian keempat iaitu bahagian ‘Ali Ibn Abi Talib (35-40A.H./656-661 A.D.) ini mengisahkan bagaimana sikap dan sifat keempat-empat Khalifah (Sy. Abu Bakar, Sy. Umar, Sy. Uthman, dan Sy. Ali –RadhiyaLlahu’anhum) menentukan sesuatu perkara semasa pentadbiran mereka. Jika dibandingkan dengan pemimpin Islam sekarang, hanya berapa kerat sahaja yang benar-benar memikirkan hal pemerintahan atas kecintaan kepada Allah SWT dan RasullaLlah SAW dan kerana kejayaan di akhirat nanti.

Seandainya bukan pemimpin pun, sebagai Muslim dan Muslimah, adakah benar kita memutuskan apa jua hal dalam hidup kita atas dasar kecintaan kepada Allah SWT dan RasulaLLah SAW? Dan adakah betul atas ingatan kita pada kejayaan di akhirat nanti? Syauqah pun kena buat check list dalam hal ni.

Syauqah nak kongsi satu lagi petikan daripada buku yang sama, iaitu;
Mu’awiyah bertanya kepada Dirar Asadi berkenaan peribadi Sy. Ali, dan dijawab,
“I bear witness that in many battles he woke up during the night and took hold of his beard and started to cry and weep before Allah as though he was in the state of commotion and exclaimed: O world! Do not try to betray me. I have divorced (left) you long ago. Do not have any desire for me. I hate you. Your age is short and your end is despised. O! The provision is very little and the journey is too long (i.e. the journey to hereafter), and the way is full of danger…”

Mendengar jawapan tersebut, Amir Mu’awiyah menangis dan berkata, “Semoga Allah memberkati Abul Hasan (‘Ali). Demi Allah, beliau adalah seperti yang kau gambarkan.”

Sahabat-sahabat, marilah kita sama-sama menilai sejauh mana kecintaan kita kepada dunia. Sy Ali (R.A.) begitu membenci dunia dan sangat mencintai akhirat.

Dalam entry akan datang, insyaAllah, Syauqah akan berkongsi tentang kertas kajian Syauqah tentang Fitnah Al-Kubro. Banyak kefahaman kita terhadap peribadi Mu’awiyah yang silap hasil daripada kerja golongan Syi’ah. Bila berbincang dengan teman sebilik yang sedang hamilkan anak kedua, dia berkata, “Hmm Mu’awiyah rupa-rupanya seorang yang baik. Tapi orang tak tahu. Sebab tu kita tak pernah jumpa orang namakan anak mereka ‘Mu’awiyah’.”

Allahu ta’ala a’lam.

Thursday, March 26, 2009

ustaz kata...

2 Mac 2009
Kulliyyah Usul ad_Da'wah
Ust Ridhauddin ibn Muhammad Salleh

Dalam banyak-banyak kalimah yang keluar dari bibir hikmah Ustaz, ada satu benda yang Syauqah paling ingat dan terkesan di hati;


Nta orang terasa tak bila pakwe / makwe tak balas mesej?
Nta orang terasa tak bila kawan tak balas miscall?
Nta orang tau tak? Kawan buat macam tu pun nta orang boleh terasa, inikan pula ALLAH SWT yang menciptakan kita... Lebih-lebih lagi mudah terasa. Hampa buat sikit saja, ALLAH dah terasa. Cuba check adakah nta orang betul-betul jaga hati ALLAH.
Azan tu miscall ALLAH la tu. Bila nta orang jawab? Bila nta orang balas (solat)?
Langgar larangan-larangan ALLAH tu... Ingat ALLAH tak terasa apa-apakah?
Oleh itu sahabat-sahabat, jangan bagi ALLAH terasa???


Syauqah terfikir, kalau Mak Abah kita semua akan terasa bila kita tak jawab panggilan mereka, lambat datang bila dipanggil, kita jawab "kejap..kejap" atau "nanti..nanti" atau 'sat..sat..", maka bagaimana pula dengan Kuasa yang menciptakan kita. Kita diciptakan untuk taat dan patuh serta wala' sepenuhnya kepada ALLAH, tapi kita tak buat, makanya mestilah ALLAH akan terasa...


Tapi, macam Mak Abah kita juga, bila kita buat salah dan betul-betul sedar kemudian minta maaf, Mak Abah akan lembut hati juga untuk maafkan kesalahan kita tu.


ALLAH kan lembut hatinya. Maka itu, ALLAH itu juga Maha Pengampun bagi ciptaanNYA yang Dia ciptakan dengan penuh kasih sayang dan ketelitian. Lembutnya hati Mak Abah, lembut lagi hati yang menciptakan kita dan Mak Abah kita, bahkan seluruh alam... the whole universe!


Maka, SEDARlah dan berINGATlah kita semua, "Janganlah bagi ALLAH terasa dengan keingkaran kita padaNYA."

Wednesday, March 18, 2009

Sebuah Luahan


Syauqah sangat sedih...


Syauqah sedih sebab badge Syauqah "Malaysia Bebas dari ISA" ni terjatuh masa Syauqah nak keluar lif di Kulliyyah Law.


Syauqah sepanjang hari tu memang sedih... Macam hari sedih dalam hidup Syauqah..

Homework banyak lagi tak siap (homework banyak sangat semester ni)..


Syauqah dapat keputusan peperiksaan pertengahan semester satu subjek ni. Markah sangatlah tidak memuaskan. Syauqah rasa Syauqah boleh jawab dah, tapi nak buat macam mana, jawapan Syauqah tak menepati skema jawapan yang pensyarah Syauqah nak.. Malam tu Syauqah sedih lagi.


Syauqah kena masuk mesyuarat persatuan pula. Ada seorang junior Syauqah tegur, "Akak macam tak sihat je.."


Syauqah teruskan perjalanan kaki Syauqah sambil menundukkan kepala yang sangat. Mengira langkah kaki sendiri. Terasa rindu pada Mak dan Abah Tercinta di kampung. Dah lama tak kukucup tangan hangat kasih sayang mereka. Kali terakhir pulang ke kampung pada cuti Tahun Baru Cina lepas.


Tiba di bilik mesyuarat. Syauqah masuk. Menjadi tabiat Syauqah bila orang bercakap, Syauqah akan pandang wajah orang tu. Sama juga bila dalam mesyuarat. Tapi malam tu, Syauqah tak tengok sesiapa pun. Syauqah tundukkan kepala. Sekali-sekala Syauqah kesat air mata. Bila pengerusi mesyuarat mula bercakap tentang bidang tugas Syauqah, baru Syauqah angkat kepala dan dengar betul-betul. Tu pun Syauqah pandang sekali sekala sahaja pada pengerusi sebab Syauqah tak nampak apa pun. Syauqah sengaja tak pakai cermin mata. Tapi sebenarnya, kerja persatuan adalah ubat hati Syauqah bila Syauqah sedih. Bila Syauqah lemah sangat, 'down' emosi dan motivasi, Syauqah akan recharge bila berada dalam aktiviti persatuan. Tapi kalau dah parah sangat macam Syauqah sekarang ni, Syauqah nak Mak Abah Tercinta....!


Syauqah nak balik kampung...


Sebaik sahaja bangun dari kerusi di bilik mesyuarat tu selepas membaca tasbih kafarah dan surah Al-Asr, handphone berkelip-kelip.. Tertera ^Abahkubaik^.. Yea! Abah telepon!


+ Assalamu'alaykum Abah... (^_^)

- Wa'alykumussalam warahmatuLlah.. kak duk buat apa?

+ Baru habis meeting.

- Laa.. ingat ada kat bilik. Sihat ka?

+ AlhamduliLlah sihat. Tadi ada kelas. Lepas tu masuk meeting sat. Ni nak balik dah la..

- Nak cakap dengan adik ka? Tadi tak perasan mesej kak. Pi Jaya Jusco tadi. Jalan-jalan sat.

+ Oh ya ka? Takpa takpa.. Nak.. Nak cakap dengan Mira.

= Hello...

+ Assalamualaikum, budak kecik.. hehe (^_^)

= Oii.. ehehe wa'alaikumussalam..

+ Duk buat apa tu?

= Orang baru balik Jusco. hehe..

+ Ooo mana aci. Akak tak pi pun lagi. Mira pi banyak kali dah.

= Dak la. Mira baru sekali ni. KakEda yang banyak kali dah pi.

+ Mira tak dak kelas tambahan ka?

= Hehe.. baru habis hari ni..

+ Tension dak kena belajar ja?

= Tak tau. Biasa ja..

+ Huu... akak tension.. akak sedih ni..

= Awatnya? Laa.. janganlah sedih...

(luahan perasaan kat adik form3..)

+ Hmm.. nanti Mira doa la kat kak wani na...

= Ha.. Buatla homework tu.. Kak, esok Mak nak pi Padang.

+ Oh ya ka? Sampai bila? Mak tak cakap pun..

= Sampai 20 kot..

+ Aik sat nya.

= Tak tau. hehe.. Abah minta telepon dah ni..

+ Ok..

- Kakak, dah cakap dah? Sudah na..

+ Abah, Mak pi Padang sampai bila?

- Hmm cakap dengan Mak lah... (nah..)

* Assalamu'alaykum...

+ Wa'alaikumussalam Mak (^_^)

* Sihat ka?

+ Sihat! Eh tak... tak sihat emosi sebenaqnya....

(luahan perasaan kat MakTercinta.. sambil menangis...)

Menangis lagi sampai perbualan terputus sebab handphone Abah habis bateri.


Biarlah Syauqah buat luahan kat sini pula.. Syauqah jarang nak cerita tentang fitrah Syauqah sebagai manusia. Fitrah Syauqah sebagai seorang anak perempuan sulung. Fitrah Syauqah sebagai student. Fitrah Syauqah sebagai kakak. Fitrah Syauqah sebagai ahli persatuan.. Fitrah Syauqah sebagai sahabat.


Syauqah pun kadang-kadang lemah. Syauqah pun kadang-kadang nak meluahkan perasaan... Tapi Syauqah jarang nak tunjuk kat orang lain yang Syauqah sedih...


Syauqah dari kecil seorang pemendam. Syauqah lebih suka cakap dengan anak patung. Cakap dengan pokok-pokok. Cakap dengan bunga-bunga. Cakap dengan serangga. Cakap dengan angin. Cakap dengan diri sendiri. Sebab Syauqah dulu membesar dalam tekanan. Sebab tu masa di sekolah dulu, Syauqah seorang budak yang pasif. Tak pandai macam orang lain. Tapi Syauqah tak macam orang lain yang takut-takut bila kena balik rumah sorang-sorang dari asrama atau dari mana-mana. Syauqah lebih indipendent dan berani. Sebab Syauqah sangat suka bila dapat bersendirian. Syauqah rasa macam terbang! Tapi Syauqah ada Mak Abah Tercinta yang sangat baik, penyayang dan lembut mendidik Syauqah. Jadi, Syauqah tak merayau-rayau macam budak-budak lain walaupun di rumah ada tekanan. Syauqah rindu dan sayang pada Mak Abah Tercinta. Syauqah kasihan pada Mak dan Abah Tercinta. Syauqah anak perempuan sulung. Anak kedua pada Mak Abah Tercinta. Jadi, Syauqah tahu Syauqah adalah inspirasi kekuatan Mak Abah dan penghibur Mak Abah di rumah. Jadi Syauqah kena balik juga bila urusan di luar selesai. Sampai Syauqah besar, Syauqah tetap boleh travel sorang diri ke mana pun. Masa ziarah Abang di Mesir dulu pun, ada sorang Mutawif bertanya pada Syauqah, "Enti belajar sini ke?". Syauqah pun jawab, "Tak lah. Ana UIA. Sekarang tengah cuti. Ana saja ikut Mak Abah ke sini. Kenapa enta tanya macam tu?" Kata Mutawif tu, "Oh. Ana ingat pelajar sini. Nampak enti macam tau jalan jalan kat sini. Macam dah biasa." Syauqah pun jawab lagi, "Tak lah. Tadi nampak orang lalu kat sini. Ana ikut je lah." Masa tu dari Khan Khaleeli nak ke Masjid Azhar.


Hmm.. dah melalut pula. Syauqah ambil positif setiap apa yang berlaku dalam hidup Syauqah. Tekanan yang Syauqah hadapi semasa kecil sangat mematangkan Syauqah. Syauqah belajar bila besar nanti tak boleh didik anak dalam tekanan, nanti anak akan jadi pasif macam Syauqah. Minda pun tak berkembang. Jadi lambat belajar.


Satu perkara yang Syauqah baru sedar. Syauqah jadi manja dengan Mak Abah dan keluarga bila usia meningkat dewasa ni sebab Syauqah tak ada pengalaman bermanja semasa kecil. Tapi Syauqah boleh hidup sendiri lagi sekarang ni. Syauqah nak rasa setiap hari telefon Abah dan Mak. Tapi Mak ajar, bila ada sebab baru telefon untuk jimat duit. Tapi selalunya Syauqah langgar juga. Syauqah telefon Mak, Syauqah kata rindu nak dengar suara Mak. Jadi, Mak pun layanlah Syauqah... hehe (^_^)



Terima Kasih, Mak Abah.

Terima Kasih, Abang.

Terima Kasih, kak Ida.

Terima Kasih, Mira.

Terima Kasih, teman akrabku.

Terima Kasih, sahabat-sahabat.

Terima Kasih, sahabat sejamaah.


Terima Kasih, semuanya!



Terima Kasih yang tidak terhingga, ALLAH yang Maha Pengasih atas kurniaan-Mu ini. Kurniaan insan-insan pelengkap hidup wani di dunia fana ini.


Friday, February 06, 2009

Sayang dan kasih pada PR di Perak

Seorang taman akrab bertanya kepada Syauqah semalam, "Kenapa baik dengan budak Perak?". Syauqah pun tak tahu kenapa Syauqah baik dengan sahabat-sahabat yang berasal dari Perak. Apa yang Syauqah sedar sejak PRU-12 lepas, Syauqah merasakan kelainan dalam hati Syauqah terhadap Perak, Penang, Kedah, Kelantan dan Selangor. Kenapa?

Syauqah rasa seperti milik kelima-lima negeri ini. Syauqah rasa 'hatiku di 5 negeri'. Ada yang tersengihkah membaca ayat Syauqah ni? Tapi jujur Syauqah katakan. Mungkin sebab Syauqah bersama-sama majority rakyat yang menyokong PR, dan yang pasti selepas dua Pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terangganu (lebih-lebih lagi Kuala Terengganu), Syauqah dapat rasakan lebih ramai yang bersama-sama 'hati' Syauqah di lima negeri ini.

Syauqah menerima khabar PR di Perak melalui seorang teman yang sangat dekat hubungannya dengan PAS dan PR Perak. Syauqah rasa nak gugur air mata. Bila malamnya, Syauqah menerima SMS daripada junior yang telah grad, Syauqah bertambah-tambah sayu. SMS beliau penuh dengan emosi kemarahan dan geram dengan tindakan 4 ADUN tersebut (tak nak sebut sebab Syauqah pun sangat tak puas hati, tapi dapat kawal lagi perasaan ni). Tapi Syauqah balas dengan tenang dan mohon beliau panjatkan doa yang sungguh-sungguh agar Allah SWT memberikan yang terbaik pada mereka yang ikhlas berjuang kerana-Nya.

Ya Hakim. Allah yang Maha Bijaksana, yang mengetahui segala yang tersembunyi apatah lagi yang jelas. Kami menadah tangan kepada-Mu dengan sungguh-sungguh hati. Kami yakin Allah akan kurniakan yang terbaik buat kami.

Allah Ya 'Adlu. Seandainya melepaskan PR kepada BN kali ini adalah yang terbaik, agar kami bisa menyusun semula strategi dan menjadi lebih kuat selepas ini, maka tentukanlah ia buat kami. Seandainya kuasa itu kekal kepada PR itu yang terbaik buat masa ini, maka kami mohon ya Hakim untuk menentukannya kepada yang layak. Kepada ALlah lah kami bertawakkal dengan sebenar-benar tawakkal.

Kami tahu jalan perjuangan itu penuh dengan ujian tanda kasih-Mu kepada kami. Allah, berikanlah hidayah kepada mereka yang telah menyimpang.

ALLAH.... hanya pada-Mu kami memohon dan hanya kepada-Mu kami merintih penuh mengharap.

Ameen ya Allah.. Ameen.

-----------------------------------------

Aksi dua badut Perak pamer kebodohan sendiri
Mohd Rashidi Hassan rashidi@harakah.net.my Wed Feb 04, 09 10:53:50 am MYT

TIADA apa yang boleh dibanggakan oleh Jamaluddin Mohd Radzi (Adun Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Adun Changkat Jering), apabila kebodohan yang mereka ciptakan menjadi alat mainan politik Barisan Nasional.

Media pengampu BN cuba untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin goyah.

Media pengampu BN cuba memberitahu rakyat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat di Perak mempunyai masalah dalaman yang besar.

Hakikatnya, kerajaan yang dibentuk ketiga-tiga parti, PAS, KeADILan dan DAP tidak mempunyai apa-apa krisis. Kerajaan stabil dan aman.

Yang bermasalah ialah kedua-dua Adun yang juga Exco. Mereka menghadapi tuduhan rasuah yang menanti dibicarakan.

Yang bermasalah ialah BN, yang semakin malu apabila Badan Perhubungan Umno Negeri di bawah pimpinan Dato' Seri Mohd Tajol Rosli dikecam hebat kerana campurtangan sehingga merosakkan perpaduan Umno bahagian-bahagian di Perak.

Yang sedang binggung ialah BN, kerana sehingga kini mereka tidak boleh menerima hakikat terpaksa menjadi pembangkang setelah berkuasa sekian lama.

Lalu, dicetuskan drama dengan menggunakan dua orang 'badut politik', yang berpentingan dan bermasalah, guna menjatuhkan kerajaan negeri.

Dua 'badut sarkas' ini didakwa 'dibeli' untuk memasuki Umno-BN, dengan janji 'melepaskan' mereka dari pertuduhan rasuah, dan janji dikekalkan kerusi exco oleh pihak terbabit, jika BN berjaya membentuk kerajaan.

Drama yang tercetus di Perak bukan salah Pakatan Rakyat. Ia berlaku hasil lakonan dua pihak yang mempunyai kepentingan tertentu iaitu di antara BN dengan dua Adun terbabit.

BN menjangka imejnya akan pulih di Perak, jika mereka berjaya menguasai kembali kerajaan negeri dengan 'membeli dua badut yang bodoh' ini. Namun percaturan mereka tersilap.

Imej Umno-BN yang sudah sedia hodoh, sebagai parti yang paling korup dengan pelbagai tuduhan politik wang dan rasuah tidak akan dapat dipulihkan dengan kemasukan dua 'badut sarkas' ini.

Pertama, kerana keduanya terbabit dengan pertuduhan rasuah berat dan kemasukan mereka akan mencetuskan persepsi 'hanya perasuah sahaja yang diterima masuk dalam parti rasuah seperti Umno.'

Kedua, jika keduanya diterima masuk Umno dengan janji kes rasuah mereka akan digugurkan, ini akan mendorong rakyat semakin membenci Umno, kerana Umno jelas mengamalkan 'double-standard'.

Ketiga, jika keduanya masuk Umno dengan pelbagai tawaran lumayan sebagaimana yang disebutkan dalam afidavit Fauzi Muda, maka jelas Umno-BN yang 'meroyan' akibat kehilangan kuasa di Perak, mengamalkan taktik yang paling kotor, melanggari prinsip-prinsip demokrasi.

Keempat, BN mencemarkan imej Sultan Perak. Kerana mereka mencetuskan krisis dalam kerajaan negeri, pada ketika sepatutnya kerajaan dan rakyat merayakan pemerintahan ke 25 tahun Sultan Azlan Shah menaiki takhta.

Harus diingat, ketika Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, mengalu-alukan kemasukan Ahli Parlimen (MP) BN, yang mahu berhijrah, beliau menerima kecaman yang amat hebat dari kalangan BN.

Apa yang tidak mereka sebutkan ketika 'memaki hamun' Anwar? Beliau dituduh tamak kuasa, gelojoh, merasuah jawatan, tidak demokratik dan sebagainya.

Malah ketika Adun Bota, Dato' Nasaruddin Hashim berhijrah menyertai KeADILan, beliau turut dicerca, kononnya beliau tidak bermoral dan tidak beretika.

Tetapi apa kata Presiden Umno yang juga PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengesahkan beberapa Adun KeADILan mahu memasuki Umno-BN dalam sidang media 1 Februari lepas?

"(Mereka akan) diterima dengan baik kerana itu pilihan mereka dan mereka hendak menyertai kita dalam perjuangan yang lebih besar dalam Umno dan BN.. menjadi satu pengalaman baru dan memberi kesempatan untuk berjuang (dalam BN)," kata Abdullah.

Inilah bukti kenyataan dan dasar 'flip-flop' Umno! Mereka boleh perbodoh dan peralatkan kedua-dua 'badut sarkas' terbabit. Tetapi mereka tidak boleh sama sekali memperbodohkan rakyat.

Dalam kes ini rata-rata rakyat Perak tahu menilai, bagi mereka konflik politik yang wujud di negeri ini, hasil ciptaan Umn-BN sendiri. Hampeh betui, kata orang Perak.

Reaksi spontan rakyat apabila ditanya isu ini mereka menempelak kedua-dua 'badut sarkas' dan BN dengan ungkapan 'bodoh dan memalukan.'

Kedua-dua 'badut sarkas' ini sudah hilang banyak hari, entah ke mana tidak diketahui. Dimaklumkan ketika 'kehilangan' mereka, kereta kerajaan negeri yang digunakan mereka sebagai exco, pun tidak diketahui di mana.

Namun, apabila kes ini tercetus, kedua-duanya dilaporkan cuti sakit (MC) serentak.

Rakyat Perak tertanya-tanya apa penyakit dihidapi oleh dua exconya (kini bekas exco), sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di luar Perak.

"Kami pun hairan, Perak punyalah banyak klinik 'specialist', banyak bomoh, sampai hospital rawat orang gila di Tanjung Rambutan pun ada, mereka pergi cari tempat lain pasal apa," rungut seorang Ketua Kampung di Tanjung Piandang.

"Kalau MC pun takkan tak tau nak bagi notis sampai satu dunia orang cari tak jumpa, gamaknya depa (mereka) ni bekas posmen, bila posmen sakit tak boleh hantar surat, tunggu sihat dulu," komen seorang pengundi Behrang.

"Gamaknya (agaknya) depa kena penyakit gila babi, atau dijangkiti kuman JE, sebab itu kena kuarantin," perli seorang pimpinan KeADILan Perak.

Apa pun komen dan pandangan kepada Jamaluddin dan Osman, walaupun kini keduanya mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas, namun mereka tidak boleh menolak persepsi rakyat bahawa mereka hanyalah pencacai yang dipergunakan Umno-BN.

Maruah mereka sudah tercemar di kalangan rakyat. Harga diri mereka sudah tidak laku dalam Pakatan Rakyat, jawatan exco habis, Adun pun habis, malah belum tentu mereka akan mendapat pembelaan BN, jika kes rasuah mereka berjalan di mahkamah.

Jika pun ada pilihan raya kecil (jika SPR mengubah keputusan), sudah tentu BN tidak akan mengambil mereka sebagai calon. Pakatan Rakyat sudah tolak mereka, orang-orang Umno pun akan tolak mereka.

Kepada Jamaluddin dan Osman, bertaubatlah, anda berdua sudah terperosok dalam perangkap akibat kebodohan sendiri.

Kes rasuah anda akan berjalan, tanpa pembelaan sesiapa, akhirnya jika anda didapati bersalah, anda berdua akan merengkok dalam penjara dengan penuh kehinaan.

----------------------------------------------


Tenangnya Nizar, sebakkan dada
Azamin Amin Fri Feb 06, 09 9:33:20 am MYT

"Inna-Allah ha ma'a sobirin," titah Sultan Perak kepada Nizar Jamaluddin yang bermaksud:'Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar'

4 Februari, Rabu

Tiada ungkapan terbaik melainkan kekaguman dan tersentuh jiwa tatkala melihat Nizar Jamaluddin yang begitu tenang dengan kalimah yang tersusun biarpun di kala menghadapi saat-saat penuh getir tika kerajaan BN dan Umno cuba merampas kembali Perak dengan cara tidak berakhlak.

Hari di mana seorang Adun DAP mengisyhtiharkan bebas, Adun Bota kembali ke Umno dan dua Adun KeADILan juga menjadi berpaling tadah manakala Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dengan lagak angkuh mengisyhtiharkan Perak dikuasai BN tanpa mendapat perkenan terlebih dahulu daripada Paduka Seri Sultan Perak, Raja Azlan Shah.

Dalam kegawatan itu, Nizar bertemu pemerintah adil, Raja Azlan untuk memaklumkan situasi yang dicipta oleh Umno ke atas kerajaan Perak dan selepas itu Menteri Besar itu dengan senyuman dan raut wajah yang tenang, menyatakan bahawa Tuanku Raja Azlan Shah memetik baris ayat yang cukup indah kepadanya.

"Inna-Allah ha ma'a sobirin" titah baginda kepada Nizar yang bermaksud:'Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar'.

"Rakyat bertenang dan jangan bimbang, saya masih lagi Menteri Besar Perak dan menjalankan urusan harian dan pentadbiran negeri seperti biasa.Bahkan saya akan menghadiri majlis-majlis rasmi sambutan Jublki Perak Pemerintahan Tuanku selama 25 tahun," ujar Nizar kepada saya dan para wartawan yang menghimpitnya sejurus selepas selesai mesyuarat PAS di Pejabat Perhubungan PAS Perak jam 7.40 malam.

"Insya-Allah. Keputusan kini di tangan Tuanku dan saya percaya keputusan Tuanku adalah yang adil," demikian ucapan 'penutup' beliau selepas seharian melalui hari penuh mencabar dan genting.

Sebelum itu, ketika saya menunggu di pintu pejabat, Nizar walaupun di susuknya terpancar keletihan sempat menyapa saya yang terpingga-pinga menanti kehadirannya.

"Hah... masih di sini lagi?" tanya beliau tersenyum dan menyua tangan untuk bersalaman dengan saya yang agak gamam.Ya, kali terakhir bertemu beliau di kediaman rasmi Menteri Besar tahun lalu bagi mendapat gambaran kehidupan peribadi bersama keluarganya tercinta yang dirakamkan dalam artikel Harakah bertajuk:'Siapa Sangka Nizar jadi MB...'

Dulu, kini tidak berubah. Masih dengan suara lantang, kemas ayat dan tersusun bicaranya. Yang paling menyebakkan dada, ialah ketenangannya sebagai seorang pemimpin biarpun dilanda 'badai' menghempas dan 'api' marak mencabar.

Sebelum pulang, beliau sempat meminta maaf kepada para wartawan yang terpaksa seharian 'mengejarnya', menunggu dan terpaksa berhujan untuk mendapat jawapan daripadanya yang ketika itu berada di Istana Kinta.

"Saya minta maaflah kepada anda kerana terpaksa berhujan menunggu saya di luar istana. Saya percaya anda semua keletihan." katanya lantas meminta diri untuk solat Magrib.

Wartawan khususnya media alternatif, petugas PAS dan penyokong yang sudah berada di sekitar pejabat yang semakin ramai kelihatan ceria mendengar penjelasan Nizar.

Suasana pekarangan pejabat cukup meriah dengan kehadiran pelbagai pihak dan individu.Orang ramai yang muncul entah dari mana memenuhi sekitar pejabat PAS. Ada yang berkopiah, berbaju biasa. Berpakaian 'rugged' pun ada.Tidak lupa orang Cina dan India yang datang, masing-masing mahu mendapat jawapan tepat situasi sebenar.

Pegawai Khas Menteri Besar Idham Lim membawa beberapa kampit beras untuk bekalan kepada pejabat PAS manakala tiba sebuah van 'catering' membawa makanan, lauk kari ayam dan sayur campur untuk dijamu kepada semua yang hadir tak kira siapa.

Kemudian tiba sepasukan 'Tentera Merah' Unit Amal Perak yang mula setia berkawal termasuk di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar.Suasana sebenarnya aman. Tiada perhimpunan atau situasi huru-hara, dan tiada kawalan keselamtan oleh FRU atau anggota polis di Bangunan Kerajaan seperti digembar-gemburkan pihak tidak bertanggunjawab.


* "YAB Ir Nizar, kami semua sayangkan Tuan".

Wednesday, February 04, 2009



Terima Kasih Teman Yang Dikasihi.


Selamat Hari Lahir Akak ^_^



SeLaMaT HaRi LaHiR ke-26
buat kakak yang dihormati lagi dikasihi,
kak Farhana.
Ni ada lagu untuk Akak yang dirindui sempena hari jadimu ^_^

Awan berarak ceria tiada titisan hujan,

Pohon melambai tanda sokongan,

Kususuri perjalanan bertemankan senyuman,

Di hari lahirmu kakakku,

Dedaun berguguran,

Membuktikan kedewasaan,

Walau tanpa madah dan hadiah,

Namun cukup untukmu sekadar ucapan...

Selamat Hari Lahir,

Iringan doa kuhulur,

Bersyukur kepada-Nya,

Atas nikmat usia,

Awan berarak ceria tiada titisan hujan,

Pohon melambai tanda sokongan,

Kususuri perjalanan bertemankan senyuman,

Di hari lahirmu kakakku,

Usiamu ibarat mutiara,

Tiada berganti lagi,

Hiaskan iman bersulam taqwa,

Agar sempat menuju haruman syurgawi,

Selamat Hari Lahir,

Iringan doa kuhulur,

Bersyukur kepada-Nya,

Atas nikmat usia.

(^_^)
4 Feb 2009
daripada
wani dengan hati yang ikhlas