Saturday, March 18, 2006

Kaca Kasih

Nackvision.com web graphics codes


Buat sahabat yang amat kukasihi,
Mungkin kita perlu sesekali berenggang
Agar kerinduan itu bisa mengubat sakit dalam hati.
Entah badai apa,
Entah gelombang apa yang menghadirkan sakit itu padamu
Mungkin juga salahku
Banyak menyakiti hatimu.
Tapi,
Aku telah pun sedaya tak melukai hatimu
Mungkin sudah suratan hidupku
Kasih yang lama terjalin, berderai bagaikan kaca
Oh teman,
Maafkanlah diriku.
Walau jauh dari rasa seindah dulu
Doaku lebih acap kuanyam untukmu
Agar kau lebih bahagia dan sejahtera.
Aku tak tahu bagaimana hidupku selepas ini
Rantauku yang jauh dan panjang,
mungkin tidak terkesankan dirimu.
tapi aku,
akan tetap mengingatimu
setiap saat dan setiap waktu
Sebagaimana citaku dalam kartu hari lahirmu,
Itu tetap menjadi impianku
Mungkin,
ia hanya akan kekal sebagai impian yang tak kesampaian.
Moga Allah balasi kasih sayangmu selama ini
Kau insan yang baik
Allah akan makbulkan segala doa mu.
dan aku,
bukan insan sebaikmu.
Kerana itu,
selayaknya kau menjauhiku.
Kau lebih hampir denganNya
Mungkin kerana kau dikasihiNya,
Dia campakkan rasa itu untuk kau tinggalkan aku
kerana mungkin,
aku akan membawamu ke daerah curang
lebih awal, lebih baik
sebelum kau terjebak.
Atau,
Mungkin juga ada syaitan yang dengki
Keakraban ini menyebabkan dia marah
Bimbang kalau kalau paduan minda fikiran dan ruh kita
bisa menggugah bejatnya lumpur dosa ummah
kerana,
kita pernah sama-sama menghuraikan
'temu janji' dua sejoli.
atau juga,
kita pernah menitipkan kerisauan
pada 'orang yang bertemu janji'.
Atau,
syaitan itu risau kerana
bicara kita kerap kali dalam ilmiah
Destinasi kita,
selalu ke medan ilmuNya.
Atau,
mungkin kerana kita tidak sefikrah?
Namun kita telah sama bincang,
ini tidak mungkin memisahkan kita.
Sudah.
terlalu banyak aku berprasangka
Sudah.
banyak nian aku ber'atau'
Sudah.
air mata jangan kau turun lagi
Sudah.
teruskanlah usahamu.
Sahabat,
mungkin aku tidak serasi untuk menjadi sahabatmu
Carilah sahabat yang tidak sakitkan hatimu
Carilah sahabat yang bisa puaskan hatimu selalu
Carilah sahabat yang mampu senangkan hatimu
Carilah sahabat yang boleh buat kau tersenyum bila duka
Carilah sahabat yang jujur dan setia
Carilah sahabat yang sanggup mengasihimu lebih daripada aku mengasihimu.
Agar kau bisa ketemu dia.
Maafkan segala salahku.
Konklusi aku,
Aku masih tidak mampu menjadi sahabat kepada sesiapa.
Sampai bila?
- nur hazwani hamid
taman ilmu dan budi
18 03 2006

Wednesday, March 01, 2006

da'ie

Assalamualaikum warahmatuLlahi wabarakatuh

Ni posting yang ana amik dari dhanysarip.blogspot.com

_____________________________________________________

Agen Dakwah: Satu Anugerah, Satu Tanggungjawab
Berikut adalah ringkasan dan terjemahan ucapan Penasihat YAPIS-UIA, Sheikh Abu Huzayfah Aiman Yosof Al-Dakkak dalam Sesi Bersama Penasihat, 9 Muharram 1427 H / 8 Februari 2006, Masjid UIAM. Ucapan yang disampaikan oleh beliau benar-benar menginsafkan dan mengingatkan kita tentang kedudukan sebagai seorang da'i. Ingin saya kongsikan ucapan ini, kerana saya pasti, isinya begitu penting untuk dihayati oleh semua Muslim yang cintakan Allah dan Rasul-Nya. Sila hayati...


********************

Setiap individu yang meluangkan masa dan tenaga untuk usaha dakwah sebenarnya menerima anugerah nikmat yang sangat besar dari Allah, dan setiap mereka sepatutnya bersyukur kerana dipilih Allah sebagai pendakwah untuk menyebarkan agama-Nya dan meneruskan perjuangan Rasul-Nya. Anugerah ini datang dengan tanggungjawab yang besar, di mana kita memikul tugas mulia yang pernah disandang oleh Rasulullah dan para Sahabat dan generasi terdahulu yang dipilih Allah untuk menyebarkan agama-Nya di muka bumi.

Sungguhpun pemilihan sebagai pendakwah adalah satu nikmat dari Allah, janganlah kita lalai dan berasa bangga. Ini kerana sekiranya kita gagal melaksanakan tugas dakwah, nescaya Allah akan melemparkan kehinaan kepada kita dan memberikan tugas yang amat mulia ini kepada orang lain, seperti firman-Nya:
"Dan Allah-lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang memerlukan-Nya; dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan mengganti kamu dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan jadi seperti kamu." (Muhammad: 38)


Biarlah ayat ini menjadi peringatan keras buat setiap pendakwah agar mereka sentiasa waspada dengan diri mereka sendiri.

Merancang untuk Masa Depan dan Menilai Prestasi Masa Lalu

Dalam apa jua bentuk organisasi, kepentingan merancang masa depan dan menilai prestasi masa lalu mempunyai pengaruh besar dalam menentukan kejayaan dan kegagalan sesuatu organisasi. Sebagai gerakan dakwah, kita sangat berhajat kepada penyusunan gerak kerja yang terancang di mana perbincangan perlu diadakan untuk merancang hala tuju dan aktiviti pada masa akan datang. Perancangan yang teliti akan memastikan segala matlamat yang ditetapkan berjaya dicapai. Begitu juga dengan prestasi masa lalu mestilah sentiasa dinilai semula, di manakah kegagalan dan kelemahan yang wujud agar dapat kita baiki. Prestasi masa lalu penting dalam menjadi kayu ukur yang dapat kita guna dalam menilai hasil kerja kita.

Setiap individu yang terlibat dalam gerakan dakwah mesti sentiasa saling memberi nasihat sesama mereka. Kita perlu sentiasa duduk berbincang mengenai prestasi kita pada masa lalu dan merancang strategi untuk masa depan. Kita bukan anti organisasi, bahkan gerak kerja dakwah sangat memerlukan kepada pentadbiran yang sistematik.

Dakwah Fardiyyah Faktor Utama Gerakan Dakwah

Dalam menyampaikan mesej Islam kepada orang lain, kita perlu sedar bahawa dakwah yang benar-benar meninggalkan kesan kepada manusia lain ialah dakwah fardiyyah, dakwah yang kebanyakan kita lakukan tanpa kita sedari, melalui perkataan dan perlakuan kita seharian yang menjadi contoh ikutan kepada orang lain. Sesungguhnya apabila Islam tegak di hati kita, nescaya segala amal perbuatan kita akan lahir dari asas-asas Islam yang kukuh. Contoh tauladan inilah yang akan mempengaruhi orang ramai agar menyahut seruan Islam. Maka adalah menjadi kemestian bagi kita untuk berakhlak dan beradab menurut lunas-lunas al-Quran dan al-Sunnah.

Setiap manusia yang kita temui setiap hari adalah peluang untuk kita sebarkan mesej Islam. Tidak kira sama ada rakan sebaya, rakan di tempat kerja, atau sesiapa sahaja yang berhubung dengan kita merupakan ladang yang subur untuk kita semai benih-benih Islam. Janganlah kita abaikan peluang yang besar ini, kerana para nabi-nabi dan pejuang-pejuang dakwah terdahulu tidak pernah melepaskan peluang walau sesaat dalam hidup mereka untuk menjadi agen penyampai mesej Islam kepada manusia di sekeliling mereka.

Kepentingan Ilmu sebagai Pemangkin Gerakan Dakwah

Setiap pendakwah mesti memandang diri mereka sebagai tentera yang bertanggungjawab untuk mempertahankan Islam. Sebagai agen dakwah, kita akan dilihat sebagai imej ajaran Islam. Jadi, kita perlu memastikan bahawa setiap kelakuan kita mencerminkan ajaran Islam yang sebenar tanpa melanggar garis panduan Islam. Andai kita berkelakuan buruk, akan tercalarlah imej Islam yang kita bawa bersama.

Dalam keghairahan menjaja tenaga untuk dakwah, setiap pendakwah perlu memastikan mereka sentiasa dalam proses menuntut ilmu. Ilmu memainkan peranan yang amat penting dalam dakwah. Tanpa ilmu, manusia akan mudah terperangkap dalam lembah kejahilan. Sehebat mana seseorang manusia, masih banyak ilmu yang perlu dipelajari. Janganlah ada antara pendakwah yang merasa ilmunya telah cukup, sebaliknya perasaan tidak cukup ilmu perlu sentiasa wujud di hati mereka agar mereka akan berusaha bersungguh-sungguh mengejar seberapa banyak ilmu yang dapat.

Pengorbanan dalam Dakwah dan Keperluan Individu

Dalam percaturan kehidupan pendakwah, tidak dapat tidak akan berlaku pertentangan antara usaha dakwah yang memerlukan pengorbanan besar dengan keperluan manusia memenuhi beberapa kepentingan hidupnya.

Sungguhpun masa merupakan sumber yang amat terhad terutama dalam kehidupan seorang penuntut universiti, pendakwah mestilah mempunyai keinginan untuk meluangkan masa di jalan Allah. Kita mesti pandai membahagikan masa. Kehadiran ke kuliah-kuliah ilmu dan perjumpaan-perjumpaan seperti ini, untuk membincangkan hala tuju dan aktiviti dakwah akan melatih kita komited dengan tugasan dakwah. Perjumpaan-perjumpaan untuk kebaikan agama sudah tentu akan diberkati Allah, dan masa kita tidak terbuang begitu sahaja. Tiada kurangnya jika kita meluangkan sekadar 30 minit atau sejam dalam masa sebulan untuk hadir ke perjumpaan seperti ini.

Hendaklah kita faham sepertimana para nabi-nabi dan pejuang-pejuang dakwah terdahulu, tatkala mereka meletakkan kepentingan Allah dan kepentingan dakwah mendahului segenap kepentingan lain dalam hidup mereka. Ini adalah hasil pemahaman yang jelas mengenai konsep al-wala' wa al-baraa' yang selama ini menjadi tonggak kemampanan Islam merentasi dimensi masa dan lokasi. Semoga Allah memberi kejayaan kepada kita dan merahmati kita semua.

Allahu Ta'ala a'lam...