Sunday, January 31, 2010

Jemputan ke Majlis Meraikan Ikatan Baitul Muslim Hazmin & Hazwani

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah melimpahkan rahmat serta 'inayah-Nya ke atas kami dan anda yang sedang membaca blog ini. Juga buat semua manusia & seluruh makhluq yang sentiasa dikasihi Allah yang Maha Pengasih. Selawat dan salam yang penuh sejahtera buat junjungan mulia RasulaLlah SAW, kekasih Allah dan yang kita rindui. Buat keluarga & seluruh kerabat baginda SAW.

Kesyukuran ini kami panjatkan seagung-agungnya kepada Allah SWT dan penghargaan paling tinggi kami ucapkan kepada kedua-dua Bonda dan Ayahanda kami yang meredhai dan sentiasa mendoakan hubungan kami berterusan dengan baik. Inilah kemuncak pertautan hubungan dua hati dan dua buah keluarga yang bertemu di atas jalan dakwah dan ibadah kepada-Nya, insyaAllah.

Justeru, saya mewakili Bonda, Ayahanda, dan Nenda sekeluarga, serta bakal suami saya dan keluarganya menjemput saudara mara, sahabat handai, rakan taulan, dan seluruh kenalan alam maya ini ke majlis meraikan ikatan baitul muslim kami, insyaAllah seperti yang tercatat pada e-card di bawah ini. Semoga kehadiran kalian membawa rahmat dan keberkatan di majlis kami.

Sila klik pada gambar untuk lebih jelas.

Pelan lokasi ke rumah saya di Kuala Muda, Pulau Pinang.


Pelan lokasi ke rumah Zu Hazmin di Simpang, Perak.


Monday, January 11, 2010

Di depan Retinaku, Merentap Batinku

Jelas. Terang. Nyata.

Di retinaku terpampang jelas tubuh seorang lelaki berkulit cerah lengkap dengan pakaian berwarna hijau. Lagaknya seperti seorang tentera perkasa. Dia sedang berdiri sambil menundukkan kepala memandang ke tanah, terarah pada satu bulatan yang di atasnya dilitupi dengan lapisan kaca tebal yang sedikit cembung ke atas. Ada lubang di tanah tersebut. Di belakang, kiri dan kanan tentera itu juga terdapat banyak lubang yang sama. Hatiku mula berdegup kencang.

Tanah dan keadaan sekeliling sewaktu itu bertonakan kelabu, tanda kelam dan sunyi. Badan tentera itu terbongkok mencapai sisi penutup lubang berkaca itu untuk membukanya. Denyutan jantungku bertambah kencang. Kelihatan kepala manusia yang berambut hitam kecoklatan. Kemudian tentera itu dengan wajah tidak berperikemanusiaan merentap rambut tersebut dan menarik keluar sosok tubuh yang berada di dalam lubang tersebut dengan kasar.

Maka muncullah dia. Dia seorang Muslim yang sama aqidahnya denganku. Nafasku ibarat terhenti. Aku tidak sanggup melihat apa yang bakal terjadi selepas itu. Tapi mataku seolah-oleh dipaksa melihat segalanya.

Tentera itu dengan pantas menjerut leher Muslim itu dengan tali sekuat hati. Dia longlai dan jatuh terlentang. Tubuhnya terbaring di tanah dan kepalanya terkulai di tubir lubang itu laksana sudah diambil nyawanya oleh malaikat Izrail. Tapi, entah bagaimana sang tentera dapat mengesan yang Muslim itu masih bernyawa dan hanya berpura-pura mati.

Bengangnya tidak terkata. Dia mencangkung di sebelah saudara Muslimku. Jari jemarinya menggenggam kedua-dua pipi Muslim itu dan memaksa mulutnya dibuka. Kelihatan seolah-olah manik-manik kecil di dalam mulutnya. Ia ditarik keluar dan rupanya, manik-manik itu adalah rantai tasbih yang dibuat daripada kayu kokka. Dia memasukkan tasbih di dalam mulut dan rahangnya untuk mengelakkan dirinya mati akibat jerutan tentera yang dilaknat Allah SWT. Subhanallah. Allahu Akbar.

Namun, akibat terlalu marah, tasbih itu dilempar sejauhnya dan sang kejam itu berdiri sambil mengacukan senapang ke arah saudara Muslimku. Muncung senapang dimasukkan ke dalam ruang mulutnya sehingga ke tekak dan picu senapang ditarik. Maka, seorang lagi syahid di muka bumi Allah SWT ini.

Aku tersentak. Hati menjadi pilu. Aku ingin keluar daripada kawasan tersebut. Aku tidak mahu lagi melihat kekejaman dan kezaliman ini. Aku tidak mahu. Aku tidak sanggup. Bawa aku ke alam nyata.

Mata kubuka. Tangan meraba-raba mencari handphoneku. Mata kukerling padanya. Aku belum solat Subuh lagi. Astagfirullahal'azim. "Ya Allah. Selamatkanlah saudara-saudaraku di Palestin sana."

Kata Mak pada siang harinya selepas mendengar cerita mimpiku, "Palestin memang duk tengah perang pun." Reaksi adik pula, "Sampai terperinci macam itukah mimpi kak wani?".

Malam itu ketika menonton berita di TV3, dilaporkan pihak kerajaan Mesir telah melepaskan penahanan sebuah rombongan kemanusiaan yang membawa barang-barang perubatan dan makanan untuk pelarian Palestin. Lagi berita lain, terowong bawah tanah yang digali oleh Muslim Palestin yang menjadi satu-satunya jalan kepada mereka untuk mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan dari Mesir telah dikambus dan beberapa orang Muslim di dalamnya terperangkap dan ada yang meninggal dunia di dalamnya.

"Ya Allah. Bantulah kami membebaskan tanah Palestin daripada tangan-tangan durjana itu, Ya Allah..."

Pemukim Yahudi sedang membakar sebuah masjid di Nablus.

(sumber gambar: www.haluanpalestin.haluan.org.my)